Faktor yang mempengaruhi sama ada pekerja penjagaan kesihatan mengikuti garis panduan pencegahan dan kawalan jangkitan untuk penyakit respiratori berjangkit

Apakah matlamat ulasan ini?

Coronavirus (COVID-19) adalah penyakit respiratori berjangkit yang telah merebak ke seluruh dunia. Pekerja penjagaan kesihatan yang merawat pesakit COVID-19 berisiko menjangkiti diri sendiri dan orang lain dengan menyedut titisan dari pesakit yang dijangkiti dan menyentuh permukaan tercemar. Kerajaan dan organisasi menerbitkan garis panduan pencegahan dan kawalan jangkitan (IPC) untuk mengurangkan penularan jangkitan. Garis panduan IPC merangkumi penggunaan kelengkapan perlindungan diri (PPE) seperti topeng, sarung tangan, dan gaun; memisahkan pesakit dengan jangkitan respiratori; dan rutin pembersihan yang lebih ketat. Walau bagaimanapun, setakat mana pekerja penjagaan kesihatan mengikuti garis panduan ini berbeza-beza.

Matlamat ulasan Cochrane penyelidikan kualitatif ini (‘sintesis bukti kualitatif’) adalah untuk meneroka apa yang mempengaruhi sama ada pekerja penjagaan kesihatan mengikuti garis panduan pencegahan dan kawalan jangkitan (IPC) untuk penyakit respiratori berjangkit. Bagi menjawab soalan ini, kami menganalisis 20 kajian kualitatif pandangan dan pengalaman pekerja penjagaan kesihatan terhadap garis panduan IPC.

Mesej utama

Pekerja penjagaan kesihatan menekankan beberapa faktor yang mempengaruhi kebolehan dan kesediaan mereka untuk mengikut garis panduan IPC apabila mengurus penyakit berjangkit respiratori. Ini termasuk faktor yang berkait dengan kandungan garis panduan dan cara ia disampaikan, sokongan pengurus, budaya tempat kerja, latihan, ruang fizikal, akses kepada dan kepercayaan dalam kelengkapan perlindungan diri (PPE), dan keinginan untuk memberi penjagaan pesakit yang baik. Ulasan ini juga menekankan kepentingan melibatkan semua staf fasiliti penjagaan kesihatan apabila melaksanakan garis panduan.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami mencari kajian yang mengkaji pandangan dan pengalaman pekerja penjagaan kesihatan terhadap garis panduan IPC - terutamanya penyakit respiratori yang bermula secara tiba-tiba, seperti COVID-19. Garis panduan boleh jadi tempatan, nasional, atau antarabangsa, untuk sebarang persekitaran penjagaan kesihatan. Kami menyertakan kajian sebarang pekerja penjagaan kesihatan yang menjaga pesakit dalam sebarang persekitaran penjagaan kesihatan. Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan dari 2002 dan seterusnya untuk meliputi wabak sindrom respiratori akut yang teruk (SARS) pada 2003 dan seterusnya.

Apakah penemuan utama ulasan ini?

Kami menganalisis 20 kajian. Sepuluh kajian adalah dari Asia, empat dari Afrika dan Amerika Utara dan Tengah, dan dua dari Australia. Kajian-kajian tersebut meneroka pandangan dan pengalaman jururawat, doktor dan pekerja penjagaan kesihatan lain semasa mengendali SARS, H1N1 (‘selesema babi’), sindrom respiratori Timur Tengah (MERS), tuberkulosis atau influenza bermusim. Kebanyakan pekerja penjagaan kesihatan bekerja di hospital.

Ulasan kami menekankan beberapa faktor yang mempengaruhi kepatuhan pekerja penjagaan kesihatan kepada garis panduan IPC. Kami menilai penemuan berikut disokong baik atau sangat baik (keyakinan sederhana hingga tinggi) dari kajian-kajian yang kami temui.

Pekerja penjagaan kesihatan tidak pasti sama ada untuk mengikuti garis panduan tempatan jika ia berbeza daripada garis panduan nasional atau antarabangsa. Mereka berusaha sedaya upaya untuk mengikut garis panduan yang panjang atau tidak jelas, terutama jika nasihatnya tidak praktikal atau sering berubah. Penggunaan PPE dan pembersihan tambahan bermakna mengikuti garis panduan IPC meningkatkan beban kerja dan keletihan. Respon pekerja penjagaan kesihatan kepada garis panduan IPC dipengaruhi oleh sokongan yang diterima dari pihak pengurusan dan budaya tempat kerja mereka.

Pekerja penjagaan kesihatan menekankan kepentingan komunikasi yang jelas tentang garis panduan IPC. Tetapi pekerja penjagaan kesihatan menekankan kekurangan latihan tentang jangkitan dan cara menggunakan PPE. Mereka berpendapat adalah bermasalah apabila latihan tidak diwajibkan dan percaya semua kakitangan, termasuk tukang bersih, porter, staf dapur dan sokongan lain, perlu disertakan dalam latihan IPC.

Kekurangan ruang untuk mengasingkan pesakit, dan kekurangan ruang antara, bilik mandi dan akses mudah kepada fasiliti mencuci tangan adalah suatu masalah. Langkah yang praktikal, seperti mengurangkan kesesakan, mempercepatkan pengesanan pesakit yang dijangkiti dan menyekat pelawat adalah penting untuk mengurangkan jangkitan.

Kekurangan PPE, dan PPE berkualiti rendah merupakan kebimbangan serius untuk pekerja penjagaan kesihatan dan para pengurus. Bekalan perlu diselaraskan semasa wabak jangkitan berlanjutan. Pekerja penjagaan kesihatan mendapati PPE tidak selesa untuk diguna dan sesetengah orang mendapati PPE membuat pesakit merasa terasing dan takut.

Pekerja penjagaan kesihatan percaya mereka mengikuti garis panduan IPC dengan lebih teliti apabila mereka melihat nilainya, contohnya, mengurangkan risiko menjangkiti diri sendiri dan keluarga mereka, atau melindungi pesakit mereka.

Banyak faktor mempengaruhi kesediaan dan kemampuan pekerja penjagaan kesihatan untuk mengikuti garis panduan IPC. Ulasan kami menyertakan beberapa pertanyaan yang diambil dari penemuan kami untuk membantu penyedia penjagaan kesihatan merancang, melaksana, atau mengurus strategi IPC untuk membantu pekerja mereka mengikuti garis panduan IPC.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Ulasan ini menyertakan kajian yang diterbitkan sehingga 26 Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save