Gambaran keseluruhan ulasan sistematik mengenai intervensi kesihatan mental untuk migran paksa

Pelarian, pencari suaka, dan orang tersingkir secara dalaman adalah migran paksa, yang sering mengalami stres apabila terpaksa meninggalkan rumah mereka, dalam perjalanan, dan dalam proses menetap di negara tuan rumah atau persekitaran baharu. Promosi kesihatan mental, pencegahan, dan rawatan untuk masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kegelisahan, dan kecelaruan stres pasca-trauma mungkin berfungsi secara berbeza dalam kumpulan ini daripada populasi umum. Gambaran keseluruhan ulasan sistematik ini merumuskan ciri-ciri ulasan sedia ada bagi topik ini, bagi membantu pengulas menentukan soalan kajian yang paling penting untuk ditangani dalam ulasan Cochrane pada masa akan datang.

Pengulas mencari ulasan sistematik dan protokol ulasan sistematik mengenai promosi kesihatan mental, pencegahan, dan rawatan masalah kesihatan mental untuk pelarian, pencari suaka, dan orang tersingkir secara dalaman. Promosi kesihatan mental, sebagai contoh, boleh melibatkan intervensi kesejahteraan berasaskan bilik darjah untuk kanak-kanak. Contoh pencegahan adalah terapi berfokuskan trauma untuk mencegah kecelaruan stres pasca-trauma. Sebagai contoh, rawatan boleh menyertakan terapi psikologi untuk kemurungan. Pengulas menemui 23 ulasan sistematik dan 15 protokol ulasan yang sedang dijalankan. 23 ulasan sistematik yang telah diterbitkan itu menyertakan 336 rujukan, 175 daripadanya adalah kajian yang unik. Ulasan kebiasaannya memasukkan pelarian dan pencari suaka daripada orang tersingkir secara dalaman, dan lebih kerap menumpukan orang dewasa daripada kanak-kanak. Terdapat lebih banyak perhatian diberikan terhadap rawatan kecelaruan stress pasca-trauma daripada promosi kesihatan mental atau pencegahan, atau daripada rawatan kemurungan atau kegelisahan. Kajian Terapi Tingkah Laku Kognitif, Terapi Pendedahan Naratif, dan terapi integratif dan interpersonal lebih besar kemungkinan untuk dimasukkan dalam ulasan.

Kualiti ulasan dibatasi oleh pelbagai isu, kebanyakannya berkaitan pelaporan metodologi ulasan yang lemah.

Bukti sedia ada daripada ulasan sistematik mungkin tidak sepadan dengan keperluan untuk intervensi berdasarkan bukti bagi kesihatan mental migran paksa. Penulis ulasan perlu mempertimbangkan kumpulan yang relevan seperti orang tersingkir secara dalaman, kanak-kanak, dan orang dengan kemurungan atau kegelisahan, dan intervensi yang relevan seperti untuk promosi atau pencegahan kesihatan mental, dan rawatan selain terapi psikologi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information