Latihan berjalan secara mekanikal untuk kanak-kanak dengan cerebral palsy

Latar belakang

Kanak-kanak dengan cerebral palsy mengalami kesukaran untuk berjalan sendiri. Mereka mungkin mendapat manfaat daripada latihan berjalan secara mekanik berbanding dengan tidak berjalan kaki atau berjalan kaki di darat (iaitu tanpa sokongan mekanikal). Latihan berjalan secara mekanikal termasuk menggunakan alat bermotor seperti treadmill, pelatih berjalan (alat bantuan berjalan beroda) atau alat latihan robotik (seperti pendakap lutut robotik) untuk membantu kanak-kanak dengan cerebral palsy untuk berjalan lebih jauh. Latihan ini boleh diberikan sama ada dengan atau tanpa sokongan berat badan (seperti abah-abah, pegangan tangan atau sokongan fizikal manual).

Soalan ulasan

Apakah kesan berjalan dengan bantuan mekanikal berbanding dengan tidak berjalan kaki atau jumlah berjalan kaki di darat yang sama terhadap berjalan kaki, penyertaan dan kualiti hidup pada kanak-kanak dengan cerebral palsy yang berumur 3 hingga 18 tahun.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini merangkumi 17 kajian yang melibatkan sejumlah 451 kanak-kanak dengan usia purata antara 4 dan 14 tahun. Semua kanak-kanak mengalami cerebral palsy. Kami mendapati empat kajian yang membandingkan berjalan dengan bantuan mekanikal tanpa sokongan berat badan dengan tidak berjalan; dua kajian yang membandingkan berjalan dengan bantuan mekanikal tanpa sokongan berat badan dengan jumlah berjalan kaki di darat yang sama; lapan kajian membandingkan berjalan dengan bantuan mekanikal dan sokongan berat badan dengan tidak berjalan; dan tiga kajian membandingkan berjalan dengan bantuan mekanikal dan sokongan berat badan dengan jumlah berjalan kaki di darat yang sama. Latihan secara mekanikal diberikan sesi selama 15 hingga 40 minit, dua hingga lima kali seminggu, selama 4 hingga 12 minggu. Lima kajian dibiayai oleh geran dan satu kajian dibiayai oleh dua geran yang berbeza. Tujuh kajian tidak menyatakan maklumat pembiaya dan tiga kajian tidak menerima sokongan dana.

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2020.

Keputusan utama

Berjalan secara mekanikal tanpa sokongan berat badan

1. Berbanding dengan tidak berjalan, terdapat manfaat kecil dari segi kelajuan berjalan dan fungsi motor kasar (kemahiran diperlukan untuk mengawal otot-otot besar badan yang digunakan untuk berjalan). Dalam satu kajian, tidak ada perbezaan antara kedua-dua kumpulan dari segi kejadian buruk (hasil yang tidak diingini).

2. Berbanding dengan jumlah berjalan kaki di darat yang sama, terdapat manfaat kecil dari segi kelajuan berjalan, fungsi motor kasar dan penyertaan. Tidak ada kajian yang melaporkan kadar kejadian buruk.

Berjalan secara mekanikal dengan sokongan berat badan

1. Berbanding dengan tidak berjalan, terdapat kelebihan kecil dari segi kelajuan berjalan tetapi tidak ada perbezaan yang jelas dari segi fungsi motor kasar, penyertaan atau kejadian buruk.

2. Berbanding dengan jumlah berjalan kaki di darat yang sama, tiada manfaat dari segi kelajuan berjalan, fungsi motor kasar dan penyertaan. Tidak ada kajian yang melaporkan kadar kejadian buruk.

Kesimpulan

Bukti berkualiti sederhana dan rendah menunjukkan bahawa penggunaan latihan berjalan dengan bantuan mekanikal tanpa sokongan berat badan boleh membawa kepada peningkatan kecil dalam kelajuan berjalan dan fungsi motor kasar, dibandingkan dengan tidak berjalan dan jumlah berjalan kaki di darat yang sama. Untuk latihan berjalan secara mekanikal dengan sokongan berat badan, manfaatnya dapat dilihat pada kelajuan berjalan dan fungsi motor kasar berbanding dengan tidak berjalan, tetapi jumlah berjalan di darat tidak sama. Tidak banyak kajian yang melaporkan kejadian buruk, walaupun kejadian itu tidak menunjukkan perbezaan antara kumpulan. Latihan berjalan secara mekanikal dapat memberikan latihan berulangan dengan dos tinggi. Ini mungkin kaedah yang berguna untuk memberi latihan kepada anak-anak lebih kecil dengan tumpuan perhatian yang lemah apabila sukar untuk menggunakan dos berjalan kaki di darat yang sama.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information