Memperbaiki akses kepada makanan di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana

Soalan ulasan

Kami melihat kesan intervensi peringkat komuniti untuk memperbaiki akses kepada makanan berkhasiat di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMIC) terhadap orang, isi rumah dan komuniti.

Latar belakang

Keselamatan makanan wujud apabila orang mempunyai akses fizikal, sosial dan ekonomi kepada makanan yang mencukupi, selamat, dan berkhasiat untuk menjadi sihat. Bilangan orang yang tidak cukup makan di seluruh dunia mula meningkat sejak 2015. Kebanyakan mereka tinggal di LMIC, terutama di Asia dan Afrika. Tidak dapat mengakses makanan berkhasiat, sama ada kerana tidak cukup wang atau tidak punya tempat untuk membeli atau mencari makanan berdekatan tempat tinggal, mempengaruhi situasi kesihatan dan sosioekonomi orang dan masyarakat, dalam jangka pendek dan jangka panjang. Strategi memfokus komuniti mungkin penting untuk meningkatkan akses kepada makanan di LMIC.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 59 kajian yang menilai pelbagai intervensi di LMIC, melibatkan 214 hingga 169,485 peserta dan 300 hingga 124,644 isi rumah, terutamanya di Afrika dan Amerika Latin. Banyak kajian menilai pemindahan tunai, yang merupakan program kebajikan di mana wang diberi kepada isi rumah. Dari jumlah tersebut, 21 kajian menilai pemindahan tunai tanpa syarat, di mana tiada syarat untuk menerima wang tersebut, dan 14 kajian menilai pemindahan tunai bersyarat, di mana syarat khusus perlu dipenuhi untuk menerima wang tersebut. Tujuh belas kajian melihat intervensi penjanaan pendapatan (contohnya, pengurusan ternakan atau kumpulan bantu diri), empat kajian menilai baucar makanan, empat kajian menilai pemberian subsidi makanan dan nutrisi, dan dua kajian melihat intervensi sokongan sosial seperti simpanan dan pinjaman desa dan program geran komuniti.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2020.

Keputusan utama

Intervensi yang memperbaiki kuasa membeli:

Pemindahan tunai tanpa syarat memperbaiki keselamatan makanan dan membuat sedikit atau tiada perbezaan fungsi (pemikiran dan pemahaman) dan perkembangan kognitif (bukti berkualiti tinggi), mungkin meningkatkan kepelbagaian diet (pelbagai makanan dari kumpulan berlainan dimakan oleh orang atau isi rumah) dan mengurangkan bantut (pertumbuhan yang lemah) (bukti berkualiti rendah). Adalah sangat tidak pasti sama ada UCT mengurangkan perkadaran perbelanjaan isi rumah terhadap makanan dan mengurangkan pembaziran. Mengenai hasil-hasil buruk, bukti dari satu kajian menunjukkan UCT mengurangkan perkadaran bayi dengan berat badan berlebihan.

Pemindahan tunai bersyarat membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam perkadaran perbelanjaan isi rumah terhadap makanan dan meningkatkan sedikit fungsi kognitif kanak-kanak (bukti berkualiti tinggi), mungkin memperbaiki sedikit kepelbagaian diet (bukti berkualiti sederhana), dan mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada bantut atau menyusutkan badan (berat badan rendah) (bukti berkualiti rendah). Bukti tentang hasil-hasil buruk (dua kajian) menunjukkan bahawa CCT tiada membuat perbezaan perkadaran kanak-kanak dengan berat badan berlebihan.

Strategi penjanaan pendapatan membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada bantut atau penyusutan badan (bukti berkualiti sederhana), mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan kepada keselamatan makanan dan mungkin memperbaiki kepelbagaian diet dalam kalangan kanak-kanak tetapi tidak untuk isi rumah (bukti berkualiti rendah).

Intervensi yang menangani harga makanan:

Baucar makanan mungkin mengurangkan bantut (bukti berkualiti sederhana), mungkin memperbaiki sedikit kepelbagaian diet dan mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam penyusutan badan (bukti berkualiti rendah).

Subsidi makanan dan nutrisi mungkin memperbaiki kepelbagaian diet dalam kalangan kanak-kanak sekolah (bukti berkualiti rendah). Kami sangat tidak pasti tentang kesan-kesan perbelanjaan isi rumah terhadap makanan sihat sebagai perkadaran jumlah perbelanjaan makanan (bukti berkualiti sangat rendah).

Intervensi yang menangani persekitaran sosial:

Intervensi sokongan sosial seperti geran komuniti mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada penyusutan badan (bukti berkualiti sederhana) dan mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada bantut (bukti berkualiti rendah). Kami sangat tidak pasti tentang kesan-kesan simpanan dan pinjaman desa terhadap keselamatan makanan atau kepelbagaian diet (bukti berkualiti sangat rendah).

Tiada kajian yang disertakan menangani kategori intervensi perubahan infrastruktur dan tiada juga kajian melaporkan satu daripada hasil utama: prevalen kekurangan zat makanan.

Beberapa batasan ulasan ini termasuklah ketiadaan semua maklumat yang perlu tentang apa yang diukur (hasil), penilaian yang perlu tentang ukuran hasil yang dilaporkan dan ketidakupayaan menggabung keputusan semua kajian yang melaporkan hasil yang sama. Batasan lain adalah kami tidak dapat tahu ciri-ciri spesifik intervensi yang membolehkan atau menghalang implementasi intervensi yang berkesan.

Nota terjemahan: 

DIterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). DIsunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information