Kesan latihan para penyelia ke atas tekanan pekerja, ketidakhadiran, dan kesejahteraan

Latar belakang

Para penyelia dianggap memainkan peranan penting dalam menyediaan persekitaran kerja bagi pekerja mereka oleh yang demikian mempertingkatkan kesihatan dan kesejahteraan mereka. Program-program latihan digunakan secara meluas untuk meningkatkan kemahiran penyelia dalam menambahbaik kesihatan dan kesejahteraan pekerja mereka.

Soalan ulasan

Kami mengkaji kesan empat jenis latihan untuk para penyelia ke atas kadar tekanan pekerja, ketidakhadiran, dan kesejahteraan mental. Kami menilai kesan latihan yang bertujuan untuk meningkatkan interaksi antara penyelia dan pekerja, sama ada di luar waktu kerja atau semasa kerja. Kami juga menilai latihan yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan penyelia untuk mereka bentuk persekitaran kerja, sama ada di luar kerja atau semasa kerja.

Ciri-ciri kajian

Kami masukkan 25 kajian di mana 4 daripada kajian-kajian itu sedang menunggu penilaian. Terdapat 21 kajian yang boleh dianalisa dengan jumlah 3479 kakitangan. Enam belas kajian melatih cara interaksi penyelia-pekerja, sama ada di luar pekerjaan (9 kajian) atau semasa kerja (7 kajian). Lima kajian melatih reka bentuk persekitaran kerja, 2 kajian di luar kerja dan 3 kajian semasa kerja. 21 kajian membandingkan 23 intervensi dengan tanpa latihan, latihan olok-olok atau latihan lain pada pelbagai masa susulan.

Keputusan-keputusan utama

Tiada kesan yang ketara antara latihan penyelia terhadap tekanan pekerja (6 kajian) atau ketidakhadiran (1 kajian) jika dibandingkan kepada tiada latihan. Terdapat bukti yang tidak konsisten bahawa latihan penyelia berkemungkinan (2 kajian) atau tidak mungkin (7 kajian) meningkatkan kesejahteraan pekerja apabila dibandingkan dengan tiada latihan. Data hilang dari dua kajian, yang demikian kami tidak dapat mengira kesan latihan ke atas kesejahteraan pekerja.

Tiada kesan latihan penyelia ke atas tekanan pekerja (2 kajian) atau ketidakhadiran (1 kajian) bila dibandingkan kepada latihan plasebo. Data hilang dari satu kajian, yang demikian kami tidak dapat mengira kesan latihan ke atas kesejahteraan pekerja.

Satu kajian yang menilai latihan penyelia berbanding dengan latihan jenis lain untuk mengurangkan tekanan pekerja tidak menghasilkan data yang mencukupi bagi mengira kesannya.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sangat rendah bagi kebanyakan hasil disebabkan risiko berat sebelah dalam kajian, keputusan yang tidak konsisten, dan kesan yang tidak tepat. Penyelidik perlu mempertimbangkan kelemahan kajian yang dimasukkan ke dalam ulasan ini bagi pelaksanaan kajian yang direkabentuk dengan baik pada masa hadapan dan melaporkan dengan sewajarnya.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, data mencadangkan bahawa latihan para penyelia mungkin tidak membawa kepada tahap pengurangan tekanan dan ketidakhadiran, atau menambahbaik tahap kesejahteraan dalam pekerja mereka. Perbezaan antara konsensus saintifik yang jelas dan bukti empirikal mungkin disebabkan oleh reka bentuk kajian yang lemah. Kajian berkualiti tinggi adalah perlu untuk membuktikan bahawa latihan kepada para penyelia menjejaskan tekanan pekerja, ketidakhadiran, dan kesejahteraan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S, Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information