Aktiviti yang disesuaikan secara peribadi untuk pesakit demensia dalam penjagaan jangka panjang

Apakah faedah-faedah aktiviti yang disesuaikan dengan minat dan pilihan pesakit demensia yang tinggal di rumah jagaan

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Pesakit demensia yang tinggal di rumah jagaan atau rumah yang menyediakan penjagaan diri selalunya melakukan sedikit aktiviti sahaja. Aktiviti yang sedia ada mungkin tidak bermakna bagi mereka. Sekiranya seorang pesakit demensia berpeluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang sesuai dengan minat dan pilihan peribadinya, ini boleh membawa kepada kualiti hidup yang lebih baik, mengurangkan tingkah laku yang mencabar (seperti kegelisahan atau agresif), dan mempunyai kesan positif yang lain.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami mengkaji kesan menawarkan aktiviti yang disesuaikan dengan minat peribadi kepada pesakit demensia yang tinggal di rumah jagaan. Ulasan ini mengemas kini ulasan terdahulu dari 2018.

Apa yang kami buat?

Kami mencari kajian-kajian yang telah menawarkan program aktiviti berdasarkan minat individu pesakit demensia (kumpulan intervensi) dan telah membandingkannya dengan peserta lain yang tidak ditawarkan aktiviti berdasarkan minat individu (kumpulan kawalan).

Kami menemui sebelas kajian yang melibatkan 1071 pesakit demensia yang tinggal di rumah jagaan. Sepuluh daripada kajian itu adalah kajian rawak terkawal (RCT), bermakna ia diputuskan secara rawak sama ada peserta berada dalam kumpulan intervensi atau kumpulan kawalan. Satu kajian dijalani secara tidak rawak, maka, terdapat risiko keputusan berat sebelah yang lebih tinggi. Orang yang disertakan dalam kajian mempunyai demensia tahap sederhana atau teruk, dan hampir semua tahap mempunyai tingkah laku yang mencabar (agitasi) apabila kajian dimulakan. Kajian-kajian tersebut berlangsung selama 10 hari hingga sembilan bulan. Dalam semua kajian, peserta dalam kumpulan intervensi mendapat rancangan aktiviti individu. Kebanyakan aktiviti dijalankan dalam sesi khas yang dikendalikan oleh kakitangan terlatih. Tetapi, dalam dua kajian, kakitangan kejururawatan atau ahli keluarga dilatih untuk menyediakan aktiviti semasa rutin penjagaan harian (kakitangan jururawat) atau semasa lawatan (ahli keluarga). Aktiviti yang sebenarnya ditawarkan dalam kajian berbeza tidak banyak berbeza, tetapi tempoh dan bilangan sesi aktiviti setiap minggu adalah berbeza.

Dalam lima kajian, kumpulan kawalan hanya mendapat penjagaan biasa yang dihantar di rumah jagaan; dalam lima kajian, kumpulan kawalan mendapat aktiviti berbeza yang tidak disesuaikan secara peribadi; satu kajian mempunyai kedua-dua jenis kumpulan kawalan.

Apakah yang kami dapati?

Kualiti kajian dan bagaimana ia dilaporkan adalah berbeza di antara kajian, dan ini mempengaruhi keyakinan kami dalam keputusan-keputusannya. Menawarkan aktiviti yang disesuaikan secara peribadi kepada penghidap demensia yang tinggal di rumah jagaan mungkin sedikit menambah baik kegelisahan. Dalam dua kajian, ahli kakitangan menilai kualiti hidup pesakit demensia, tetapi didapati bahawa menawarkan aktiviti menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kualiti hidup. Hanya dua kajian melihat pada kesan berbahaya; tiada yang dilaporkan.

Aktiviti yang disesuaikan secara peribadi mungkin mempunyai sedikit kesan atau tiada kesan ke atas emosi negatif yang dinyatakan oleh peserta. Kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan tentang kesan ke atas emosi positif peserta, mood, penglibatan (terlibat dalam apa yang berlaku di sekeliling mereka) atau kualiti tidur, kerana beberapa kajian tidak menggunakan kaedah yang paling sesuai untuk menjalankan penyelidikan mereka. Tiada kajian yang mengukur kesan ke atas jumlah peserta ubat yang diberikan, atau kesan ke atas penjaga.

Kami membuat kesimpulan bahawa menawarkan sesi aktiviti kepada orang yang mengalami demensia sederhana atau teruk yang tinggal di rumah jagaan boleh membantu menguruskan kegelisahan.

Apakah batasan bukti tersebut?

Keyakinan kami terhadap keputusan adalah terhad disebabkan oleh bilangan kajian yang rendah dan kerana kajian tidak sentiasa menggunakan kaedah yang paling sesuai untuk melaksanakan penyelidikan mereka. Sebagai contoh, dalam beberapa kajian, tiada kejelasan jika mereka menugaskan peserta secara rawak kepada kumpulan kajian.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemas kini ulasan kami yang terdahulu, dan buktinya adalah terkini hingga 15 Jun 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information