Intervensi pengurusan mobiliti untuk mencegah, mengurangkan, atau menunda pemanduan dalam kalangan remaja

Soalan ulasan

Ulasan ini menilai bukti dari kajian rawak terkawal (RCT) dan kajian sebelum-selepas terkawal (CBA), tentang sama ada ‘pengurusan mobiliti’ boleh diguna untuk mencegah, mengurangkan, atau menunda pemanduan kereta dalam kalangan remaja berusia 15 hingga 19 tahun.

Latar belakang

Walaupun terdapat program pendidikan berdasarkan keselamatan dan program-program yang direka untuk menyekat remaja memandu (dipanggil perlesenan pemandu lulus, atau GDL), kadar kecederaan dan kematian akibat pemandu kereta remaja kekal tinggi. Penggunaan kereta juga menyebabkan risiko kesihatan akibat kurang aktif secara fizikal, dan risiko alam sekitar dari pembakaran bahan bakar fosil.

‘Pengurusan mobiliti’ adalah istilah yang diguna untuk strategi yang menggalakkan orang dari pelbagai usia untuk kurang memandu. Contoh termasuk menggalakkan berjalan atau berbasikal, penggunaan pengangkutan awam, atau berkongsi kereta. Orang lebih cenderung membuat perubahan mengikut cara mereka menjalani kehidupan dalam usia antara 15 dan 19 tahun. Ini mungkin waktu yang ideal untuk memperkenalkan pengurusan mobiliti bagi mencegah, mengurangkan, atau menunda pemanduan. Ini mungkin mempengaruhi penggunaan kereta jangka panjang, dan mengurangkan risiko berkaitan pemanduan.

Tarikh carian

Kami mencari RCT (kajian klinikal yang mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan), dan CBA (CBA tidak dirawak, tetapi mengukur hasil sebelum dan selepas intervensi) yang diterbitkan sehingga 16 Ogos 2019.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui satu RCT kecil. Kajian ini memberi 178 pelajar universiti (purata usia 18 tahun) yang tidak memiliki lesen memandu, pelbagai jenis maklumat untuk mendidik mereka tentang aspek-aspek negatif penggunaan kereta. Para pelajar menerima maklumat kos, risiko, atau stres berkaitan penggunaan kereta, atau kombinasi ketiga-tiganya, sementara kumpulan pelajar kelima tidak menerima maklumat.

Kami juga menemui satu CBA dengan 860 peserta. Dalam kajian ini, pelajar sekolah 17 hingga 18 tahun yang mengikuti kursus teori memandu menerima pelajaran tambahan tentang pengangkutan aktif, seperti berjalan atau berbasikal. Beberapa orang juga dijemput untuk menyertai kumpulan Facebook yang relevan. Para pelajar dalam kumpulan ketiga tidak menerima maklumat tambahan. Para pelajar ditanya soalan tentang tujuan mereka menggunakan pengangkutan aktif selepas mendapat lesen memandu, tetapi ramai yang tidak menamatkan kajian ini.

Keputusan utama

RCT tersebut melaporkan kurang pelajar mendapat lesen memandu 18 bulan selepas mereka diberi maklumat negatif berkaitan kereta berbanding para pelajar yang tidak diberi maklumat.

CBA tersebut melaporkan pengurangan tujuan menggunakan pengangkutan aktif sejurus selepas pelajaran tersebut dalam kalangan pelajar yang dijemput ke kumpulan Facebook sahaja, tetapi lapan minggu kemudian, ini adalah satu-satunya kumpulan yang mana tujuan untuk menggunakan pengangkutan aktif meningkat.

Kami menilai kualiti bukti kedua-dua kajian adalah sangat rendah. Kajian-kajian tersebut tidak melaporkan kekerapan memandu, jarak memandu, tempoh memandu, penggunaan kaedah pengangkutan alternatif, atau kemalangan kereta.

Kualiti bukti

Kami hanya menemui dua kajian kecil yang menyiasat pelbagai jenis pengurusan mobiliti, oleh itu tidak dapat membandingkan penemuannya dengan eksperimen lain yang serupa untuk melihat jika ia menghasilkan keputusan yang sama. Begitu juga, kami tidak pasti sama ada program-program ini akan berkesan dalam persekitaran dunia sebenar. Sebilangan kaedah dalam RCT tersebut tidak dilapor dengan baik, dan kami menjangkakan para pelajar mungkin berkongsi maklumat yang diberi kepada mereka dengan peserta kajian lain, yang mungkin mempengaruhi penemuan kajian tersebut.

Reka bentuk kajian CBA berisiko bias lebih tinggi kerana peserta tidak dirawak kepada kumpulan, dan dalam CBA ini, ciri-ciri pelajar berbeza di antara kumpulan. Terdapat juga sangat tinggi bilangan peserta yang tidak melengkapkan soal selidik pada setiap titik waktu.

Dengan itu, kami menilai bukti dari kajian-kajian ini berkualiti sangat rendah.

Kesimpulan

Kami hanya menemui dua kajian kecil yang menyiasat cara-cara untuk menyampaikan maklumat pengurusan mobiliti kepada remaja. Kami tidak pasti kesannya bagi mendapatkan lesen memandu, atau tujuan untuk mengguna pengangkutan aktif (berjalan atau berbasikal) selepas mendapat lesen memandu, kerana kualiti bukti sangat rendah. Risiko memandu adalah kerisauan kesihatan awam, oleh kerana kami tidak menemui cukup bukti, kajian besar dengan tempoh susulan panjang (pemantauan) diperlukan untuk mengetahui sama ada remaja boleh digalakkan untuk mengurangkan atau menunda memandu.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save