Agonis hormon pelepasan hormon gonadotrofin (GnRHa) digunakan sebagai adjuvan kepada gonadotrofin dalam rawatan pembiakan bantuan

Soalan ulasan

Penyelidik-penyelidik dari Koloborasi Cochrane mengkaji semula bukti mengenai cara yang paling berkesan menggunakan agonis hormon pelepasan gonadotrophin (GnRHa) sebagai sebahagian daripada rangsangan ovari terkawal pada wanita yang menjalani teknologi pembiakan bantuan (ART).

Latarbelakang

GnRHa diberi bersama-sama dengan suntikan hormon yang merangsang ovari, dalam usaha untuk mengelakkan pelepasan telur secara spontan sebelum pembedahan yang telah dirancang. GnRHa telah terbukti meningkatkan kadar kehamilan; walau bagaimanapun, pelbagai jenis panduan telah dihuraikan dalam literatur. Kami telah menjalankan ulasan kajian ini untuk mengenal pasti panduan yang paling berkesan.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati 37 kajian rawak terkawal (RCTs) daripada 3872 wanita membandingkan penggunaan GnRHa dalam pelbagai protokol. Dua puluh daripada RCTs (1643 wanita) membandingkan protokol panjang dengan protokol pendek. Bukti ini adalah terkini sehingga April 2015.

Keputusan-keputusan utama

Dalam perbandingan protokol panjang GnRHa (di mana GnRHa diberikan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum bermulanya rangsangan ovari) berbanding protokol pendek GnRHa (apabila GnRHa diberikan pada permulaan rangsangan) tidak ada bukti konklusif perbezaan pada kadar lahir hidup dan kadar kehamilan yang berterusan. Walau bagaimanapun, terdapat bukti kualiti sederhana bagi kadar kehamilan klinikal yang lebih tinggi dalam kumpulan protokol panjang. Penemuan kami mencadangkan bahawa dalam satu populasi terdapat 14% wanita mencapai kadar kelahiran lahir hidup atau kehamilan yang berterusan dengan menggunakan protokol pendek, dan antara 13% dan 23% pula akan mencapai kadar kelahiran lahir hidup atau kehamilan yang berterusan dengan penggunaan protokol panjang.

Tiada analisis lain yang menunjukkan apa-apa keterangan perbezaan kelahiran atau hasil kehamilan dibandingkan antara protokol. Tidak ada cukup bukti untuk membuat kesimpulan mengenai kesan-kesan buruk. Penyelidikan selanjutnya diperlukan untuk menentukan protokol panjang yang manakah paling kos efektif dan boleh diterima wanita.

Kualiti bukti kajian

Kualiti bukti adalah antara sederhana ke rendah. Halangan utama dalam bukti adalah kegagalan untuk melaporkan kelahiran hidup atau kehamilan berterusan, laporan yang tidak memuaskan mengenai kaedah kajian utama, dan penemuan yang kurang tepat disebabkan oleh kekurangan data. Hanya 10 daripada 37 kajian telah dijalankan dalam tempoh 10 tahun lepas.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi mastura.malek78@gmail.com. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia)

Tools
Information