Laluan-laluan klinikal dalam hospital.

Pengambilan keputusan di hospital telah berkembang dari berasaskan pendapat kepada berdasarkan bukti saintifik yang kukuh. Pengambilan keputusan ini telah diiktiraf sebagai amalan berasaskan bukti. Penerbitan bukti baru yang digabungkan dengan tuntutan amalan setiap hari menjadikan sukar bagi para profesional kesihatan untuk mengetahui perkembangan terkini. Laluan-laluan klinikal adalah alat berasaskan dokumen yang memberikan kaitan antara bukti tersedia serta amalan klinikal yang terbaik. Mereka menyediakan cadangan, proses dan bingkai masa untuk pengurusan keadaan perubatan atau intervensi-intervensi tertentu. Laluan-laluan klinikal telah dilaksanakan di seluruh dunia tetapi bukti tentang kesannya daripada percubaan-percubaan adalah bertentangan. Ulasan ini bertujuan untuk merumuskan bukti dan menilai kesan laluan-laluan klinikal ke atas amalan profesional (cth. kualiti dokumentasi), hasil pesakit (cth. kematian, komplikasi), tempoh tinggal hospital dan kos hospital.

Dua-puluh tujuh kajian yang melibatkan 11,398 peserta telah dimasukkan untuk analisis. Keputusan utamanya adalah pengurangan komplikasi di dalam hospital dan penigkatan dokumentasi yang dikaitkan dengan laluan klinikal. Komplikasi-komplikasi yang dinilai termasuk jangkitan luka, pendarahan dan radang paru-paru. Kebanyakan kajian telah melaporkan penurunan tempoh tinggal dan pengurangan kos hospital apabila laluan klinikal dilaksanakan. Variasi yang agak besar dalam reka bentuk dan tetapan kajian menghalang pengumpulan statistik dalam keputusan untuk tempoh tinggal dan kos hospital. Pelaporan yang lemah secara amnya menghalang pengenalpastian ciri-ciri yang lazim untuk laluan klinikal yang berjaya.

Penulis telah menyimpulkan bahawa laluan-laluan klinikal adalah dikaitkan dengan pengurangan komplikasi-komplikasi di dalam hospital.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (International Medical University). Disunting oleh Teh Keng Hwang (Kolej Universiti Insaniah). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi peiyee95@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save