Jururawat pakar penjagaan payudara untuk penjagaan sokongan wanita dengan kanser payudara

Soalan ulasan

Intervensi manakah yang dibuat oleh jururawat pakar penjagaan payudara (SBCN) boleh memperbaik hasil kualiti hidup wanita dengan diagnosis kanser payudara?

Mengapakah soalan ini penting?

Kanser payudara adalah penyakit yang kompleks dan kanser paling lazim dalam kalangan wanita secara global. Survival telah meningkat dengan ketara sejak 20 tahun yang terkait dengan kemajuan rawatan, saringan yang lebih baik dan pendekatan pengurusan pelbagai profesional. Kanser payudara bukan hanya penyakit fizikal tetapi juga memberi impak psikologi, emosi dan keperluan sosial individu.

SBCN didefinisi sebagai jururawat dengan 'pengetahuan lanjut' yang menemui wanita semasa diagnosis dan memberi maklumat dan sokongan emosi, sokongan pesakit dan kesinambungan sepanjang penjagaan, untuk memenuhi keperluan multifaktorial pesakit . Ia penting untuk memahami keberkesanan intervensi-intervensi ini yang mungkin termasuk menggunakan intervensi fokus atau SBCN memain peranan baharu dalam pasukan multidisiplin.

Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti?

Kami mencari literatur penyelidikan untuk kajian rawak terkawal yang membandingkan intervensi SBCN dengan rawatan biasa atau intervensi sokongan lain. Hasil utama adalah kualiti hidup dan indikator yang dinilai termasuk kualiti hidup berkaitan kesihatan umum, kualiti hidup khusus kanser, kegelisahan dan kemurungan, dan kepuasan peserta. Kami meringkaskan bukti semua kajian dan mempertimbang faktor-faktor seperti cara kajian dijalankan dan sama ada keputusan-keputusan adalah konsisten.

Apa yang kami temui?

Kami mendapati 14 kajian dengan sejumlah 2905 peserta, dan empat kajian yang sedang berlangsung. Tiga belas kajian melibatkan wanita dengan penyakit primer dan satu kajian melibatkan wanita dengan penyakit lanjut (kadangkala disebut sebagai penyakit metastatik atau sekunder). Kami membahagikan kajian: intervensi kejururawatan psikososial bagi kedua-dua penyakit primer dan penyakit lanjut dan intervensi pimpinan SBCN dalam penjagaan susulan.

Intervensi kejururawatan psikososial berbanding penjagaan standard untuk wanita dengan kanser payudara primer

Kami memasukkan sembilan kajian melibatkan 1469 wanita. Kajian-kajian ini menguji pelbagai jenis intervensi psikososial untuk memperbaik kualiti hidup seperti kegelisahan, kemurungan, distres, fungsi emosi dan sosial dan gejala fizikal; sesetengah kajian mengukur hasil hingga 18 bulan menggunakan pelbagai alat pengukuran yang berbeza. Bukti mencadangkan intervensi psikososial oleh SBCN untuk wanita dengan diagnosis utama kanser payudara dapat memperbaik kualiti hidup dan kepuasan dengan penjagaan.

Intervensi kejururawatan psikososial berbanding penjagaan standard untuk wanita dengan kanser payudara lanjutan (metastatik)

Hanya ada satu kajian yang menunjukkan tiada perbezaan dalam hasil kualiti hidup pada tiga bulan selepas intervensi kejururawatan psikososial singkat berbanding penjagaan standard bagi 105 wanita dengan kanser payudara yang baru didiagnos.

Intervensi pimpinan jururawat pakar kanser payudara yang memberi penjagaan susulan bagi wanita dengan kanser payudara primer

Kami memasukkan empat kajian melibatkan 1331 wanita yang melaporkan penemuan sehingga lima tahun susulan. Keempat-empat kajian menunjukkan penjagaan susulan pimpinan SBCN sama efektif dengan penjagaan standard untuk kualiti hidup wanita dan kepuasan mereka dengan penjagaan. Secara keseluruhan, kajian-kajian tersebut menampilkan titik waktu tertentu penjagaan seseorang dalam peranan yang multifaktorial. Tiada kesan buruk atau mudarat dilaporkan. Bukti mencadangkan, berbanding dengan penjagaan biasa, intervensi SBCN memperbaik kualiti hidup berkaitan kesihatan, kepuasan terhadap penjagaan, kegelisahan dan kemurungan. Intervensi penjagaan susulan pimpinan SBCN sama efektif dengan penjagaan biasa untuk kualiti hidup wanita dan kepuasan penjagaan. Secara keseluruhan, kualiti bukti adalah dari tahap kepastian sangat rendah hingga sederhana dan kami menunggu keputusan kajian-kajian yang sedang berlangsung untuk memperkukuh keyakinan kami terhadap penemuan tersebut.

Tiada intervensi susulan pimpinan SBCN untuk wanita dengan kanser payudara lanjut.

Apakah maksudnya?

Bukti mencadangkan intervensi psikososial yang oleh SBCN untuk wanita dengan diagnosis utama kanser payudara, mungkin memperbaik atau sama efektif dengan penjagaan standard untuk kualiti hidup berkaitan kesihatan umum, kualiti hidup khusus kanser, hasil kegelisahan dan kemurungan serta kepuasan dengan penjagaan. Dalam kajian akan datang, kepakaran SBCN perlu lebih lancar agar diterjemah lebih bermakna dan berjaya untuk dipraktikkan, dan SBCN lebih memberi impak dalam bidang sokongan psikososial. Kelayakan dan latihan SBCN perlu dilapor dengan lebih jelas berserta penjelasan intervensi.

Sumber pembiayaan kajian

Dua kajian tidak melaporkan pendanaan, sebelas kajian melapor menerima pendanaan dari badan amal atau institusi kerajaan, dan satu kajian melaporkan tidak menerima pendanaan. Dua kajian melaporkan tentang peranan pemberi dana.

Tarikh carian

11 Jun 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020) Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save