Bahan pendidikan bercetak untuk amalan profesional penjagaan kesihatan dan kesihatan pesakit

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada bahan pendidikan bercetak yang diedar kepada profesional penjagaan kesihatan dapat memperbaiki amalan mereka dan seterusnya memperbaiki kesihatan pesakit.

Mesej utama

Keputusan ulasan ini menunjukkan bahan pendidikan bercetak mungkin memperbaiki amalan profesional penjagaan kesihatan dan mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada kesihatan pesakit. Keputusan juga menunjukkan versi berkomputer membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada amalan profesional penjagaan kesihatan berbanding versi bercetak bahan pendidikan yang sama. Penyelidikan lanjut dengan metodologi yang ketat mungkin mempunyai impak penting terhadap keyakinan kami dalam anggaran-anggaran kesan ini, dan mungkin mengubah anggaran tersebut.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Jurnal perubatan dan garis panduan amalan klinikal adalah saluran lazim untuk menyebarkan maklumat saintifik kepada profesional penjagaan kesihatan, kerana ia membolehkan edaran yang meluas pada kos yang agak rendah. Penyampaian bahan pendidikan bercetak bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, pengetahuan, sikap, dan kemahiran profesional penjagaan kesihatan, dan akhirnya memperbaiki amalan mereka dan hasil kesihatan pesakit.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Para penulis ulasan menemui 84 kajian. Kebanyakan kajian membandingkan profesional penjagaan kesihatan yang menerima bahan pendidikan bercetak dengan profesional yang tidak menerimanya. Keputusan ulasan ini mencadangkan bahan pendidikan bercetak mungkin memperbaiki amalan profesional penjagaan kesihatan, dan mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada kesihatan pesakit berbanding tiada intervensi. Dua kajian (kajian rawak terkawal dan CBA) membandingkan versi bercetak dan berkomputer dari bahan pendidikan yang sama dan menunjukkan versi berkomputer membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada amalan profesional penjagaan kesihatan berbanding versi bercetak.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Para penulis ulasan mencari kajian yang diterbitkan sehingga 8 Februari 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save