Senaman pernafasan untuk asma

Latar belakang

Asma adalah penyakit paru-paru. Asma berlaku dalam dua cara. Ia menyebabkan saluran pernafasan menjadi radang (tindak balas badan terhadap kecederaan dan jangkitan) dan ia menyebabkan tiub kecil saluran pernafasan menjadi ketat (dipanggil saluran pernafasan terhalang). Pengetatan tiub boleh berlaku sebagai tindak balas kepada pencetus asma, seperti bulu binatang atau bulu pelepah, debu atau debunga.

Asma adalah sangat lazim di seluruh dunia dan merupakan satu masalah kesihatan awam yang utama kerana kos penjagaan kesihatan yang tinggi berkaitan dengan kos dimasukkan ke hospital dan ubat-ubatan. Senaman pernafasan telah digunakan untuk merawat orang dengan asma sebagai cara untuk mengawal gejala asma tanpa ubat-ubatan. Orang menggunakan pelbagai teknik pernafasan untuk menukar corak pernafasan mereka.

Soalan ulasan

Kami ingin mengetahui keberkesanan senaman pernafasan untuk orang dewasa yang menghidap asma. Kami amat berminat untuk mengetahui jika senaman pernafasan memperbaiki kualiti hidup orang (hasil utama kami), dan juga jika ia membantu memperbaiki gejala asma, hiperventilasi (pernafasan berlebihan), dan fungsi paru-paru (hasil sekunder kami).

Keputusan utama

Kami telah mencari kajian-kajian rawak terkawal. Ini bermakna orang telah dipilih secara rawak untuk mencuba sama ada senaman pernafasan atau kawalan. Kami memasukan pendidikan tentang asma atau penjagaan asma biasa sebagai kawalan.

Kami menemui 22 kajian yang melibatkan 2880 orang dewasa yang menghidap asma tahap ringan sehingga sederhana. Kajian-kajian ini menggunakan senaman pernafasan yang berbeza. Empat belas kajian menggunakan yoga, empat kajian menggunakan latihan semula bernafas, satu kajian yang menggunakan kaedah Buteyko, satu kajian menggunakan kaedah Buteyko dan pranayama, satu kajian menggunakan kaedah Papworth dan satu kajian menggunakan pernafasan diafragmatik dalam. Dua puluh kajian membandingkan senaman pernafasan dengan penjagaan asma biasa dan dua membandingkan senaman pernafasan dengan pendidikan asma. Kajian-kajian menilai kualiti hidup, gejala asma dan gejala hiperventilasi, bilangan asma yang akut (flare-ups), fungsi paru-paru (ujian pernafasan), dan temujanji dengan pengamal perubatan am (GP).

Beberapa kajian melihat kepada hasil utama kami, kualiti hidup. Hasil kajian menunjukkan peningkatan kualiti hidup selepas tiga bulan dalam kumpulan senaman pernafasan. Kami mendapati bahawa senaman pernafasan mungkin tidak membantu untuk memperbaiki gejala asma. Walau bagaimanapun, senaman pernafasan memperbaiki gejala hiperventilasi, apabila diukur dari empat bulan selepas memulakan senaman hingga enam bulan. Satu ujian fungsi paru-paru, peratusan FEV1 yang diramalkan (jumlah udara yang anda boleh paksa keluar dari paru-paru anda dalam satu saat) menunjukkan beberapa peningkatan dalam orang yang melakukan senaman pernafasan.

Kepastian bukti

Kami cukup yakin tentang faedah senaman pernafasan. Walau bagaimanapun, kami mendapati beberapa perbezaan di antara kajian dari segi jenis senaman pernafasan yang dilakukan, jumlah peserta yang terlibat, jumlah dan tempoh masa sesi yang selesai, hasil yang dilaporkan serta pembentangan statistik data.

Kesimpulan

Senaman pernafasan mungkin mempunyai kesan positif terhadap kualiti hidup, gejala hiperventilasi, dan fungsi paru-paru dalam orang dewasa yang menghidap asma ringan ke sederhana.

Bukti ini adalah terkini sehingga April 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Yap Kar Suan (Melaka Manipal Medical College). Di kemaskini oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi Cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save