Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Bolehkah rawatan menggunakan satu ubat modulator CFTR (ubat yang membetulkan protein yang rosak dalam fibrosis sista) membantu penghidap fibrosis sista yang mempunyai varian genetik tertentu (paling lazim F508del)?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Semua kajian hanya melibatkan individu yang mempunyai dua salinan varian gen penyebab fibrosis sista yang paling lazim (F508del).

  • Kebanyakan kajian dibiayai sepenuhnya atau sebahagiannya oleh syarikat farmaseutikal. Tiada kajian melaporkan sebarang kematian. Tiada satu pun ubat tunggal yang kami nilai terbukti lebih baik daripada plasebo (rawatan palsu) dalam meningkatkan kualiti hidup atau fungsi paru-paru, dan tiada bukti bahawa ubat-ubat tersebut menyebabkan lebih banyak mudarat berbanding plasebo. Walau bagaimanapun, kami tidak pasti tentang keputusan ini.

  • Bukti bagi penggunaan satu modulator CFTR adalah lemah, dan penyelidikan pada masa hadapan berkemungkinan akan memberi tumpuan kepada terapi gabungan.

Apakah fibrosis sista dan bagaimanakah penyakit ini boleh dirawat?

Fibrosis sista ialah penyakit keturunan yang memendekkan jangka hayat. Penyakit ini merosakkan pelbagai organ dalam badan, terutamanya paru-paru, pankreas, dan hati. Di dalam paru-paru, ia menyebabkan pengumpulan lendir yang pekat dan melekit, yang membawa kepada jangkitan berulang serta kerosakan yang semakin teruk dari semasa ke semasa. Kebanyakan orang dengan fibrosis sista mengalami kesukaran bernafas, pemakanan yang tidak baik, dan kualiti hidup yang menurun.

Fibrosis sista disebabkan oleh kecacatan pada gen yang menghasilkan protein yang dipanggil CFTR. CFTR mengawal pergerakan garam dan air merentasi permukaan sel, memastikan lendir kekal cair dan licin. Varian genCFTR yang paling biasa (ditemui pada lebih 80% orang dengan fibrosis sista) ialah F508del, iaitu varian kelas II. Orang yang mempunyai dua salinan F508del biasanya mengalami penyakit yang lebih teruk berbanding orang yang hanya mempunyai satu salinan. Pada individu dengan varian kelas II, protein CFTR akan diuraikan dan tidak dapat bergerak dengan betul melalui sel. Eksperimen makmal menunjukkan bahawa jika protein tersebut sampai ke membran sel, ia mungkin dapat berfungsi, memulihkan pergerakan garam, dan membetulkan masalah kronik yang dialami oleh penghidap fibrosis sista. Modulator CFTR ialah ubat yang membantu protein CFTR yang rosak sampai ke membran sel.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada monoterapi modulator CFTR (rawatan satu ubat) dapat membantu individu pada sebarang usia yang menghidap fibrosis sista dengan varian kelas II. Secara khusus, kami ingin mengetahui sama ada ubat-ubatan ini dapat meningkatkan kelangsungan hidup, kualiti hidup, fungsi paru-paru, dan masa ke kejadian pertama kemerosotan simptom paru-paru. Kami juga ingin mengetahui sama ada rawatan ini dikaitkan dengan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian yang menyiasat kesan mana-mana satu modulator CFTR berbanding plasebo (rawatan palsu) atau mana-mana satu lagi modulator CFTR dalam kalangan penghidap fibrosis sista yang mempunyai sekurang-kurangnya satu salinan varian kelas II. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan-keputusan kajian tersebut dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah-kaedah dan saiz-saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui 10 kajian (melibatkan 424 peserta, semuanya mempunyai dua salinan F508del) yang menilai lapan jenis ubat berbeza yang diberikan sebagai monoterapi. Sembilan kajian melibatkan orang dewasa sahaja, dan satu kajian melibatkan individu berumur 14 tahun ke atas. Semua kajian adalah kecil (melibatkan antara 18 hingga 89 peserta) dan berlangsung antara satu hari hingga 29 hari. Kajian-kajian tersebut dijalankan di Amerika Utara (terutamanya Amerika Syarikat), Eropah, dan Australia. Penemuan utama kami adalah untuk dua daripada lapan ubat, iaitu lumacaftor dan cavosonstat, yang kemudiannya telah dinilai dalam populasi yang lebih besar.

Dapatan utama

Tiada kajian melaporkan sebarang kematian atau peningkatan bermakna dalam kualiti hidup. Kami tidak menemui bukti yang mencukupi untuk menunjukkan sebarang kesan modulator CFTR terhadap fungsi paru-paru. Kajian-kajian tersebut melaporkan pelbagai kesan yang tidak diingini, tetapi setiap satu hanya berlaku dalam sebilangan kecil peserta bagi setiap kajian. Kami tidak menemui bukti yang mencukupi untuk menyokong penggunaan monoterapi modulator CFTR dalam kalangan penghidap fibrosis sista yang mempunyai dua salinan F508del.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami tidak yakin terhadap bukti tersebut, atas sebab-sebab berikut.

  • Kajian-kajian tersebut adalah kecil.

  • Kebanyakan keputusan adalah berdasarkan bukti daripada satu kajian sahaja.

  • Bukti tersebut tidak boleh digunakan untuk kanak-kanak.

  • Tidak semua kajian menyediakan data yang mencukupi untuk kami menganalisis keputusan.

  • Bukti berkaitan kesan sampingan rawatan adalah berdasarkan sangat sedikit kejadian.

Adakah bukti ini yang terkini?

Ulasan ini mengemas kini ulasan terdahulu kami mengenai terapi satu ubat dan terapi pelbagai ubat. Bukti adalah terkini sehingga 27 Jun 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Sayed Musyarraf bin Sayed Ruslan (Klinik Pergigian Parit). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Heneghan M, Smith S, Jahnke N, Nevitt S, Southern KW, supported by the Cochrane Cystic Fibrosis Review Group. CFTR modulator monotherapy for people with cystic fibrosis with class II CFTR gene variants (most commonly F508del). Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 5. Art. No.: CD016290. DOI: 10.1002/14651858.CD016290.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan