Langkau ke kandungan utama

Apakah faedah dan risiko latihan gabungan (program senaman yang menggabungkan latihan aerobik dan latihan kekuatan otot) untuk orang yang mengalami strok?

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej utama

  • Orang dengan strok boleh menyelesaikan program senaman yang mensasarkan kedua-dua kecergasan aerobik dan kekuatan otot (ini dipanggil 'latihan gabungan').

  • Melalui penglibatan dalam latihan gabungan, orang dengan strok boleh mengalami peningkatan kecil dalam beberapa aspek kecergasan, keseimbangan, dan kelajuan berjalan.

Apakah strok?

Strok berlaku apabila bekalan darah ke bahagian otak terganggu, dan ini menyebabkan kerosakan di beberapa kawasan otak. Kesan strok boleh mengubah hidup dan berbeza bergantung pada betapa teruk kerosakan dan di mana ini berlaku di otak. Kesannya boleh bersifat fizikal dan psikologi, bukan sahaja mempengaruhi kemampuan bergerak, tetapi juga cara seseorang berfikir, berkelakuan, dan merasakan. Kesan ini boleh berterusan sepanjang hayat selepas strok. Salah satu kesan fizikal strok ialah kecergasan aerobik dan kekuatan otot boleh menurun; ini menjadikan pergerakan fizikal lebih sukar, dan ini boleh menyekat aktiviti harian yang bermakna.

Apa yang berlaku semasa rehabilitasi selepas strok?

Selepas strok, ramai pesakit akan menerima rehabillitasi, misalnya, dari ahli fisioterapi atau profesional kesihatan yang lain untuk membantu mengatasi masalah fizikal dengan aktiviti seharian. Terapi ini boleh melibatkan pelbagai jenis senaman, termasuk latihan aerobik dan latihan kekuatan. Latihan aerobik (juga disebut 'latihan kardiorespirator') melibatkan senaman berterusan. Ia boleh meningkatkan kecergasan aerobik, yang meningkatkan daya tahan yang diperlukan untuk aktiviti berulang seperti berjalan kaki. Latihan kekuatan (juga disebut 'latihan rintangan') boleh melibatkan mengangkat berat atau menarik terhadap rintangan elastik. Ia dapat meningkatkan kecergasan dengan menguatkan otot, yang dapat membantu dengan aktiviti seperti mengangkat objek, berdiri, atau berjalan. Pesakit juga boleh dinasihatkan untuk melakukan senaman di rumah. Oleh itu, proses pemulihan biasa selepas strok boleh termasuk unsur-unsur latihan aerobik dan latihan kekuatan otot.

Apakah yang ingin diketahui?

Oleh kerana kedua-dua kecergasan aerobik dan kekuatan otot boleh menurun selepas strok, senaman gabungan dapat meningkatkan kedua-dua elemen kecergasan ini dan masalah fizikal selepas strok yang timbul daripadanya.

Kami ingin mengetahui sama ada program senaman yang menggabungkan elemen latihan kecergasan aerobik dan latihan kekuatan otot bermanfaat pada bila-bila masa selepas strok (sama ada di hospital, atau kemudian, selepas pulang ke rumah).

Khususnya, kami ingin menentukan sama ada latihan gabungan selepas strok adalah selamat, sama ada ia meningkatkan kecergasan fizikal, meningkatkan pergerakan (termasuk berjalan dan keseimbangan), mengubah cara orang perasaan (termasuk kemurungan, kualiti hidup) dan sama ada ia mengurangkan kemungkinan mengalami strok lain.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang menguji program senaman pada orang selepas strok. Kami hanya memasukkan kajian di mana program senaman mengandungi elemen latihan aerobik dan elemen pengukuhan otot. Kami membanding dan merumus keputusan kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan beberapa faktor seperti kaedah kajian dan bilangan peserta.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui 30 kajian yang melibatkan 1519 orang dengan strok, yang kebanyakannya boleh berjalan. Beberapa program senaman disampaikan dalam beberapa bulan pertama selepas strok, dan yang lain disampaikan kemudian, lebih dari enam bulan selepas strok. Kebanyakan program latihan gabungan berlangsung kurang dari 12 minggu, adalah selamat, dan menggabungkan beberapa jenis aktiviti, termasuk berjalan dan mengangkat berat.

Keputusan utama

Latihan gabungan tidak menjejaskan bilangan kematian atau strok kedua pada tamatnya program latihan atau selepas tempoh susulan. Oleh kerana kematian dan strok kedua tidak biasa, kita tidak dapat menentukan sama ada latihan gabungan mengurangkan kemungkinan kematian atau kejadian sekunder. Kesan kecil yang bermanfaat terhadap tekanan darah pada tamat intervensi boleh menunjukkan kepada risiko kejadian sekunder yang berkurang, tetapi ini sangat tidak pasti.

Latihan gabungan boleh mengakibatkan peningkatan kecil dalam kecergasan (kecergasan aerobik dan kekuatan otot kaki), kecacatan, kelajuan berjalan, dan keseimbangan pada tamatnya program latihan gabungan. Ini adalah hasil penting untuk orang dengan strok, tetapi bukti mempunyai banyak ketidakpastian. Dua belas kajian mengukur kesannya sekali lagi 3 hingga 12 bulan setelah latihan gabungan selesai; terdapat beberapa bukti terhad bahawa kesan positif terhadap keseimbangan dapat dikekalkan.

Gabungan latihan intervensi dipatuhi tanpa kejadian atau kesan buruk yang serius; intervensi itu boleh diterima oleh peserta dan diterima dengan baik. kajian yang lebih besar diperlukan untuk menentukan pendekatan terbaik untuk senaman preskripsi, dan faedah dan kesan jangka panjangnya.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kebanyakan kajian melibatkan orang yang boleh berjalan; sedikit yang diketahui mengenai orang dengan strok yang mempunyai mobiliti yang lebih terhad.

Kebanyakan kajian dilakukan di negara-negara perindustrian berpendapatan tinggi; sedikit yang diketahui mengenai orang dengan strok di negara yang lain.

Terdapat banyak ketidakpastian dan bukti yang tidak mencukupi mengenai kesan latihan aerobik gabungan dan latihan kekuatan.

Adakah bukti ini yang terkini?

Kajian ini mengemas kini bukti dari tinjauan sebelumnya (dalam format yang berbeza menggabungkan tiga program berasingan). Bukti berdasarkan carian yang dijalankan sehingga Januari 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Petikan
Saunders DH, Carstairs SA, Cheyne JD, Fileman M, Morris J, Morton S, Wylie G, Mead GE. Combined cardiorespiratory and resistance training for people with stroke. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 9. Art. No.: CD016002. DOI: 10.1002/14651858.CD016002.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan