Mesej utama
-
Untuk orang yang pernah mengalami strok, ia tidak jelas sama ada rangsangan saraf vagus (VNS) digabungkan dengan pemulihan adalah lebih baik berbanding dengan pemulihan sahaja untuk meningkatkan bahu, lengan, lengan bawah, pergelangan tangan, dan pergerakan tangan, dan kualiti hidup sehingga 3 bulan selepas rawatan.
-
VNS mungkin menyebabkan sedikit sehingga tiada risiko kesan yang tidak diingini. Kajian-kajian yang disertakan telah melaporkan sedikit kesan yang tidak diingini, dan tiada yang jelas berkaitan dengan rawatan VNS.
-
Ulasan Cochrane ini telah mengetengahkan jurang penyelidikan, seperti kekurangan susulan jangka panjang selepas rawatan. Sesetengah kajian telah melihat kepada kualiti hidup tetapi tidak selalunya melaporkan keputusan tersebut.
Apakah saraf vagus?
Saraf vagus ialah saraf panjang (sekumpulan serat seperti kabel elektrik) yang bersambung dari kepala ke dalam badan. Ia membantu mengawal fungsi badan yang penting, seperti denyutan jantung, pernafasan, dan penghadaman.
Bagaimanakah rangsangan saraf vagus dapat membantu orang yang pernah mengalami strok?
Semasa strok, aliran darah ke dalam otak terganggu, menyebabkan sel-sel otak mati. Orang yang terselamat daripada strok sering mengalami kesukaran untuk bergerak. Bahu, lengan, pergelangan tangan, dan tangan (anggota atas) mungkin tidak berfungsi dengan baik disebabkan kekurangan kekuatan dan koordinasi. Hal ini menjejaskan keupayaan mereka untuk melakukan aktiviti harian. Pemulihan fungsi anggota atas selepas strok mungkin perlahan atau tidak lengkap. Tambahan kepada rawatan pemulihan normal, seperti ubat dan fisioterapi, merangsang saraf vagus dengan isyarat elektrik (VNS) mungkin meningkatkan komunikasi antara otak dan badan dan membantu orang memulihkan fungsi anggota atas mereka. Isyarat elektrik boleh dihantar kepada saraf vagus dengan menggunakan peranti yang diimplan melalui pembedahan (VNS invasif) atau elektrod pada kulit (VNS bukan invasif). Bagaimana VNS berfungsi tidak difahami sepenuhnya, tetapi ia boleh membantu dengan mengurangkan keradangan dan mengubah aktiviti bahan kimia badan yang berbeza. Kesan-kesan sampingan VNS yang tidak diingini mungkin termasuk suara serak dan kebas di bahagian tekak-dagu, kesukaran bernafas, dan kadar denyutan jantung yang lambat. Tambahan pula, terdapat risiko jangkitan dan lebam dalam orang yang telah memasang VNS melalui pembedahan.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada VNS bersama rawatan pemulihan standard telah membantu orang yang pernah mengalami strok memulihkan fungsi anggota atas berbanding dengan pemulihan sahaja. Tambahan pula, sama ada terdapat sebarang kesan-kesan yang tidak diingini dan sebarang kesan terhadap kualiti hidup. Kami terutamanya telah melihat kepada kesan-kesan VNS 6 hingga 12 minggu selepas rawatan.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan VNS digabungkan dengan pemulihan berbanding dengan pemulihan sahaja dalam orang yang pernah mengalami strok. Orang dalam kajian mestilah berumur 18 tahun ke atas, dan boleh berada pada sebarang peringkat pemulihan daripada strok pertama mereka. Kami telah menyemak kajian untuk kualiti, menggabungkan keputusannya, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan kaedah, saiz, dan kualiti mereka.
Apakah yang ditemukan?
Kami telah menemui 10 kajian yang melibatkan 547 peserta. Kajian-kajian yang disertakan telah dijalankan di China, UK, Amerika Syarikat, dan Itali. Sembilan telah ditulis dalam Bahasa Inggeris, satu dalam Bahasa Cina. Semua rawatan VNS telah digabungkan dengan pemulihan dan dibandingkan dengan pemulihan sahaja. Tiga kajian telah menggunakan VNS yang invasif, dan tujuh kajian telah menggunakan VNS yang bukan invasif. Semua kajian telah menyertakan kedua-dua lelaki dan wanita. Sama ada perkhidmatan hospital pesakit luar atau pusat kesihatan telah merawat kebanyakan orang. Semua kajian telah mengukur keputusan 6 hingga 12 minggu selepas rawatan, tiga kajian telah mengukur 6 bulan selepas rawatan, dan satu kajian telah mengukur 12 bulan selepas rawatan. Kami juga telah menemui 23 kajian yang sedang dijalankan, dan 14 kajian yang telah lengkap tetapi keputusan masih belum sedia ada.
Keputusan utama
Kami sangat tidak yakin tentang kesan VNS digabungkan dengan pemulihan pergerakan anggota atas (10 kajian, 499 orang), dan kualiti hidup (3 kajian, 180 orang) 6 hingga 12 minggu selepas rawatan berbanding dengan pemulihan sahaja. VNS mungkin menyebabkan sedikit sehingga tiada peningkatan risiko kesan-kesan yang tidak diingini (8 kajian, 416 orang). Hal ini sepadan dengan kira-kira 42 daripada 1000 orang yang mengalami kesan yang tidak diingini dengan VNS digabungkan dengan pemulihan berbanding dengan 19 daripada 1000 orang dengan pemulihan sahaja.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Keyakinan kami terhadap keputusan ulasan ini adalah sangat rendah sehingga rendah. Kajian telah menunjukkan keputusan yang tidak konsisten dan hanya menyertakan sangat sedikit bilangan orang. Kajian-kajian juga agak berbeza antara satu sama lain disebabkan mereka telah menggunakan VNS yang berlainan jenis dan pemulihan yang berlainan jenis, yang menjadikannya sukar untuk membandingkan keputusan.
Walaupun beberapa kajian disertakan adalah berkualiti baik, kajian lain mempunyai masalah dengan cara mereka dirancang dan dilaporkan, yang menjadikan keputusan mereka kurang dipercayai. Bukan semua keputusan kajian yang pernah diterbitkan.
Ulasan Cochrane ini telah mengetengahkan jurang penyelidikan, seperti kekurangan rawatan susulan jangka panjang dan kekurangan keputusan yang penting kepada orang yang pernah mengalami strok. Sesetengah kajian telah melihat kepada kualiti hidup tetapi tidak selalunya melaporkan keputusan tersebut.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Mei 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




