Mesej utama
Bagi orang yang mengalami strok:
- pemulihan fizikal boleh memperbaik aktiviti harian, menggerakkan kaki, keseimbangan, dan berjalan, berbanding tiada pemulihan fizikal . Mungkin terdapat manfaat lebih besar apabila pemulihan fizikal disampaikan lebih 2.5 jam/minggu.
- tambahan pemulihan fizikal yang diberi sebagai tambahan kepada pemulihan fizikal 'biasa', juga boleh memperbaik hasil. Lebih banyak amaun pemulihan fizikal tambahan, mungkin lebih besar manfaat .
- pemulihan fizikal yang fokus kepada latihan tugas berfungsi (amalan aktif tugasan kehidupan sebenar dengan tujuan memperoleh - atau memperoleh semula - kemahiran pergerakan) mungkin memperbaik aktiviti dan pergerakan harian.
Mengapa penting untuk mengulas bukti tentang topik ini?
Strok boleh menyebabkan lumpuh pada beberapa bahagian badan dan mengakibatkan kesukaran fungsi fizikal. Selama bertahun-tahun, pelbagai pendekatan untuk rehabilitasi fizikal telah dibangunkan, berdasarkan idea tentang bagaimana orang pulih selepas strok. Ahli fisioterapi akan memilih satu pendekatan tertentu, berdasarkan pengalaman klinikal dan rasional mereka, tetapi bukti penyelidikan masih kurang. Ini bermakna teknik yang diguna oleh ahli fisioterapi individu mungkin berbeza (contohnya, seseorang boleh memberi latihan pengukuhan, manakala yang lain boleh memfokus pergerakan pasif). Dari segi sejarah, beberapa pendekatan pemulihan fizikal (contohnya pendekatan 'Bobath') telah digunakan; bersama dipanggil pendekatan neurofisiologi, kerana ia diperkembang berdasarkan pengetahuan dan teori yang berkait dengan fungsi dan pemulihan sistem saraf. Adalah penting untuk membantu ahli fisioterapi memilih pendekatan yang akan membantu pesakit memperoleh pemulihan yang terbaik.
Catatan: Ahli fisioterapi/fisioterapi boleh dipanggil ahli terapi/terapi fizikal atau rehabilitasi, maksudnya adalah sama. Kami menggunakan istilah rehabilitasi fizikal dan menerangkan orang yang menyediakan pemulihan fizikal sebagai ahli terapi.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu:
- Adakah pendekatan rahabilitasi fizikal berkesan dalam pemulihan fungsi dan mobiliti dalam kalangan orang dengan strok?
- Adakah satu pendekatan rehabilitasi fiizikal lebih berkesan berbanding pendekatan lain?
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang berkaitan, yang dipanggil kajian rawak terkawal. Kami kumpulkan kajian-kajian di mana orang dengan strok menerima rehabilitasi fizikal dengan matlamat untuk memperbaik keupayaan untuk berjalan dan menlaksanakan aktiviti kehidupan harian. Kami berminat dengan pelbagai pendekatan untuk rehabilitasi fizikal (iaitu program rawatan berdasarkan rasional saintifik tertentu). Pendekatan-pendekatan ini mungkin boleh diberi oleh ahli terapi, berkumpulan atau berjauhan . Ahli terapi boleh memilih rawatan/latihan tertentu mengikut keperluan pesakit individu, atau menyampaikan latihan standard berdasarkan peringkat pemulihan pesakit . Kami kecualikan kajian yang hanya melihat kepada rawatan 'tunggal' (misalnya rangsangan elektrik, peranti robotik) atau hanya fokus kepada fungsi lengan.
Apakah yang kami temui?
Kami temui 267 kajian, yang menyertakan 21,838 orang dengan strok. Kajian adalah dari 36 negara berbeza, tetapi separuh (133 kajian) telah dijalankan di China.
Seratus lima kajian melihat sama ada rehabilitasi fizikal lebih baik berbanding tiada rehabilitasi fizikal . Kebanyakan kajian dijalankan di persekitaran pesakit dalam hospital di China di mana rehabilitasi fizikal bukan sebahagian daripada penjagaan rutin, tetapi beberapa kajian dijalankan dalam persekitaran pesakit luar selepas pesakit discaj daripada rehabilitasi fizikal rutin . Kajian-kajian ini menunjukkan rehabilitasi fizikal boleh memperbaik keupayaan seseorang untuk menjalankan aktiviti kehidupan harian, menggerakkan kaki, kekalkan keseimbangan, dan berjalan, berbanding tanpa rehabilitasi fizikal .
Lima puluh enam kajian melihat kesan memberi tambahan, atau lebih rehabilitasi fizikal . Setiap orang dalam kajian-kajian ini menerima rehabilitasi biasa mereka, tetapi satu kumpulan pemandiri strok menerima beberapa rawatan tambahan berdasarkan pendekatan rehabilitasi fizikal tertentu. Kajian-kajian ini menunjukkan rehabilitasi fizikal tambahan boleh memperbaik keupayaan untuk menjalankan aktiviti kehidupan harian, menggerakkan kaki, kekal seimbang, dan berjalan; lebih besar amaun rehabilitasi tambahan, lebih besar kemungkinan manfaat.
Sembilan puluh dua kajian membandingkan pelbagai pendekatan rehabilitasi fizikal. Terdapat banyak variasi dalam jenis dan amaun pemulihan fizikal, dan jenis orang (misalnya pelbagai tempoh masa pascastrok). Kajian-kajian menunjukkan rehabilitasi fizikal yang memfokus latihan tugas fungsi boleh memperbaik keupayaan untuk menjalankan aktiviti kehidupan harian dan menggerakkan kaki (tetapi tidakmemperbaik keseimbangan atau berjalan). Pendekatan neurofisiologi untuk rehabilitasi fizikal mungkin kurang berkesan berbanding pendekatan lain dalam memperbaik aktiviti harian (tetapi tiada perbezaan untuk hasil lain ).
Untuk semua perbandingan, terdapat maklumat yang sangat terhad tentang kemungkinan peristiwa buruk yang berkaitan dengan rehabilitasi fizikal .
Beberapa kajian mengambil ukuran susulan jangka panjang selepas rehabilitasi fizikal dihentikan.
Apakah batasan bukti?
Terdapat variasi yang besar antara peserta, intervensi, hasil dan perbandingan dalam kajian-kajian yang disertakan dalam ulasan ini. Terdapat juga perbezaan geografi dan budaya yang boleh mempengaruhi keputusan. Secara am, pelaporan butiran kajian-kajian adalah sangat lemah. Isu-isu ini bermaksud kami berkeyakinan terhad terhadap keputusan analisis statistik kami.
Adakah bukti ini mutakhir?
Bukti adalah terkini setakat November 2022. Tidak mungkin sebarang kajian yang diterbitkan sejak November 2022 akan mengubah kesimpulan kami.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Tang Kar Foong. Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).