Mesej utama
Disebabkan kekurangan bukti yang kukuh, manfaat dan risiko rawatan rituximab, abatacept dan perencat komplemen dalam kalangan orang dengan miopati keradangan idiopatik (IIM) adalah tidak jelas.
Peningkatan dalam aktiviti IIM, seperti yang diukur oleh definisi peningkatan (DOI) Kumpulan Penilaian dan Kajian Klinikal Myositis Antarabangsa (IMACS), mungkin lebih berkemungkinan dengan rawatan abatacept dibandingkan plasebo.
Kajian besar diperlukan untuk melihat sama ada terapi yang disasarkan berfungsi dalam pelbagai jenis IIM. Memandangkan IIM jarang berlaku, ini paling sesuai dilaksanakan melalui kerjasama antara pelbagai pusat di peringkat antarabangsa.
Latar belakang
IIM adalah sekumpulan penyakit di mana sistem imun anda menyerang otot. Ini merosakkan otot, menyebabkan kelemahan yang beransur-ansur. Dalam beberapa jenis IIM, yang dikenali sebagai dermatomiositis (DM), terdapat ruam yang sangat khusus untuk penyakit ini. Secara tradisinya, jika tiada ruam, penyakit ini dipanggil polimiositis (PM), tetapi kini kita faham bahawa pelbagai bentuk IIM yang mungkin bertindak balas secara berlainan terhadap rawatan. Ulasan ini tidak memasukkan 'miositis badan rangkuman', yang nampaknya tidak bertindak balas terhadap imunosupresi.
IIM dirawat dengan rawatan imunosupresif yang memperlahankan sistem imun dan ubat-ubatan imunomodulatori yang mengubah sistem imun. Tujuan terapi ini adalah untuk menghentikan sistem imun daripada menyerang otot. Rawatan ini boleh jadi sangat tepat, menyasarkan molekul atau sel yang sangat spesifik dalam sistem imun; yang lain kurang tepat. Kami menilai kumpulan rawatan pertama ini (terapi yang disasarkan) dalam ulasan ini.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui faedah dan bahaya terapi bersasar dalam IIM. Khususnya, kami berminat dengan rawatan rituximab, abatacept dan perencat komplemen.
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari semua kajian yang menilai terapi bersasar dalam kalangan orang dengan IIM. Kami hanya sertakan kajian di mana orang dengan IIM dipilih secara rawak untuk dua atau lebih kumpulan rawatan.
Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Terdapat pelbagai cara untuk mengukur sama ada sesuatu rawatan adalah membantu. Kami mencari langkah-langkah khusus yang kami rasa penting bagi orang dengan IIM. Dua hasil penting kami ialah peningkatan dalam pengukuran kekurangan upaya atau fungsi dan peningkatan dalam kekuatan otot (dianggap sebagai peningkatan skor sebanyak 15% atau lebih). Ukuran lain yang dinilai termasuklah skor yang dipersetujui di peringkat antarabangsa yang terdiri daripada gabungan ukuran berbeza, IMACS DOI dan skor peningkatan keseluruhan (TIS), jumlah steroid yang diambil, kesan negatif yang serius dan bilangan yang meninggalkan kajian kerana ubat tersebut tidak berkesan atau kerana masalah perubatan.
Apakah yang ditemui?
Kami menemui 16 kajian yang melibatkan 830 orang dengan IIM. Kajian terbesar adalah terhadap 200 orang, yang terkecil adalah terhadap 13 orang. Semua pusat yang dimasukkan di USA (14) atau Eropah (10), atau kedua-duanya; enam pusat dimasukkan di negara yang lain. Syarikat-syarikat farmaseutikal menyediakan dana untuk 15 kajian dan ubat-ubatan untuk satu kajian yang tinggal. Kajian-kajian berlangsung daripada 8 hingga 52 minggu.
Satu kajian menilai terapi rituximab dalam 200 peserta. Kami melihat kepada keputusan lapan minggu kerana selepas itu, semua peserta telah mengambil rituximab. Ini lebih awal daripada yang kami inginkan - kami mahukan keputusan selepas enam bulan dan tidak kurang daripada tiga bulan, kerana rawatan biasanya mengambil masa yang lama untuk menunjukkan kesan. Ini menjadikan kami kurang yakin dengan kebolehpercayaan keputusan. Bukti untuk kesan rituximab terhadap peningkatan keseluruhan dinilai oleh IMACS DOI dan penarikan diri kerana kekurangan faedah atau peristiwa buruk adalah sangat tidak pasti. Ukuran yang lain tidak tersedia pada lapan minggu.
Untuk abatacept, kami sertakan dua kajian dengan 168 peserta. Abatacept mungkin meningkatkan IIM seperti yang diukur oleh IMACs DOI, tetapi kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah terhadap keputusan ini. Abatacept boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kekuatan otot, ukuran kekurangan upaya, kesan negatif yang serius atau penarikan diri.
Kami menemui dua kajian (40 peserta) yang membandingkan perencat komplemen (eculizumab dan zilucoplan) dengan plasebo. Jumlah steroid yang diambil tidak dilaporkan, tetapi untuk hasil yang lain, perencat komplemen mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada IIM.
Apakah batasan bukti?
Tidak terdapat maklumat yang mencukupi untuk memastikan sama ada rawatan tersebut berkesan atau tidak. Kami memerlukan lebih banyak kajian untuk menentukan sama ada rawatan tersebut membantu.
Adakah bukti ini yang terkini?
Rumusan ini adalah berdasarkan bukti yang tersedia sehingga 3 Februari 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Diterjemah oleh Muhammad Hafizuddin Bin Hamzan. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




