Langkau ke kandungan utama

Penapis-penapis

Evidence

Handbooks/Manuals

Berita

Apakah kesan rawatan perubatan dan pembedahan untuk keratopati neurotropik?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Keratopati neurotropik (NK) adalah penyakit kornea yang jarang berlaku. Ia mempunyai sedikit atau tiada penderiaan tetapi boleh berkembang menjadi luka kornea yang lebih dalam dan kemungkinan kehilangan penglihatan.

  • Kami menemui tujuh kajian yang menyelidik bagaimana rawatan perubatan dan pembedahan boleh mempengaruhi penyembuhan dan penderiaan kornea dan penglihatan.

  • Terdapat bukti yang tidak pasti bahawa faktor pertumbuhan saraf manusia rekombinan (rhNGF) mungkin membantu menyembuhkan luka kornea.

  • Disebabkan oleh kekurangan bukti yang boleh dipercayai, kami tidak tahu tentang rawatan terbaik untuk NK. Kami memerlukan lebih banyak kajian yang direka lebih baik yang melihat kesemua rawatan untuk NK.

Apakah keratopati neurotropik?

Keratopati neurotropik (atau keratitis) adalah penyakit kornea iaitu kubah jernih di depan mata, dan penyakit saraf yang membekalkan kornea yang jarang berlaku. Dalam keratopati neurotropik (NK), saraf penting ini rosak, yang bermakna kornea mempunyai kurang atau tiada penderiaan, lalu membawa kepada pengurangan pengelipan mata dan penyebaran air mata di bahagian depan mata yang berkurang. Hal ini boleh membawa kepada kerosakan kornea, yang boleh berkembang menjadi luka yang lebih dalam dan akhirnya menyebabkan kehilangan penglihatan.

Pada peringkat NK yang berbeza, pesakit mungkin mengalami mata berair, kemerahan, penglihatan kabur, sakit tajam atau mendalam yang sekejap-sekejap, dan kelewatan dalam penyembuhan kornea. NK boleh disebabkan oleh jangkitan virus, kecederaan bahan kimia, pembedahan pada kanser kepala dan kanser leher yang secara tidak sengaja menjejaskan saraf yang membekalkan kornea, penggunaan jangka panjang kanta lekap atau penggunaan ubat, radiasi, sejarah pembedahan mata, dan keadaan seperti diabetes mellitus atau sklerosis berbilang.

Bagaimanakah NK dirawat?

Rawatan terutamanya memberi tumpuan kepada mengekalkan kesihatan kornea untuk mencegah kerosakan lanjut atau pembentukan lubang pada kornea. Ia bertujuan untuk menggalakkan penyembuhan kornea dan mencegah kehilangan penglihatan. Rawatan sokongan pada peringkat awal NK boleh merangkumi air mata tiruan tanpa bahan pengawet dan/atau kanta lekap ‘pembalut’ (bukan preskripsi). Pada peringkap yang lebih teruk, air mata darah serum (iaitu darah didermakan yang dirumus menjadi ubat titis mata) boleh menggalakkan penyembuhan. RhNGF, protein ciptaan makmal yang meniru faktor pertumbuhan badan, boleh digunakan sebagai ubat titis untuk merawat NK. Apabila lapisan kornea yang lebih dalam terlibat, pil seperti doksisiklin yang bertindak melawan parut dan keradangan boleh dipertimbangkan. Rawatan pembedahan mungkin diperlukan sekiranya penyakit tidak bertindak balas terhadap terapi perubatan. Sebagai contoh, tarsorafi ialah pilihan pembedahan di mana kelopak mata pesakit dijahit ke bawah bagi menutupi bahagian kornea yang rosak. Menggunakan membran amniotik, yang merupakan lapisan nipis yang dicipta daripada lapisan kukuh yang mengelilingi bayi dalam rahim, ialah pilihan pembedahan lain yang boleh menyembuhkan kornea yang rosak.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui tentang keberkesanan dan keselamatan beberapa rawatan perubatan dan pembedahan yang berbeza untuk NK.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian yang dikenali sebagai ‘percubaan rawak terkawal’ yang menguji intervensi perubatan dan pembedahan untuk NK berbanding dengan tiada rawatan, plasebo (rawatan ‘palsu’, contohnya air garam), rawatan sokongan (contohnya air mata tiruan), atau intervensi aktif yang lain. Kami merumuskan penemuan kajian dan menilai keyakinan kami terhadapnya, berdasarkan faktor-faktor seperti bilangan peserta kajian, kualiti kaedah kajian, dan ketekalan penemuan merentas kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui tujuh kajian yang melibatkan sejumlah 494 orang dengan NK. Enam kajian menguji rawatan perubatan dan satu kajian menguji intervensi pembedahan. Purata umur peserta merentas kajian adalah antara 25 hingga 68 tahun. Tempoh rawatan berkisar dari 28 hari hingga 18 bulan.

Secara keseluruhannya, disebabkan oleh kemungkinan bias dalam kajian dan kekurangan bukti tekal, kami tidak dapat yakin yang sebarang rawatan adalah lebih baik berbanding tanpa rawatan atau rawatan sokongan ringkas untuk menyembuhkan kornea, meningkatkan penderiaan kornea, atau memperbaik penglihatan. Daripada ubat-ubatan yang dinilai, rhNGF mungkin membantu menyembuhkan kornea. Intervensi perubatan lain (termasuk 0.1% RGN-259) mungkin tidak memperbaik penyembuhan kornea, penglihatan, atau risiko kesan sampingan negatif, dan kesan terhadap penderiaan kornea adalah tidak jelas.

Satu kajian pembedahan membandingkan membran amniotik dengan tarsorafi atau kanta lekap pembalut. Ia menemui bahawa mungkin tiada perbezaan antara intervensi dalam penyembuhan kornea atau penglihatan, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami menemui hanya tujuh kajian yang sesuai untuk dimasukkan ke dalam ulasan, hanya satu daripadanya menilai rawatan pembedahan. Kami hanya mempunyai kepastian yang rendah atau sangat rendah tentang keputusan. Kebanyakan kajian mempunyai masalah dengan cara ia direka. Kajian juga menggunakan kaedah yang berbeza untuk mengukur hasil pesakit. Beberapa rawatan perubatan yang digunakan oleh doktor untuk merawat NK langsung tidak diuji, contohnya, air mata darah serum dan pil doksisiklin.

Disebabkan oleh kekurangan bukti yang boleh dipercayai, kami tidak tahu tentang rawatan terbaik untuk NK. Kami memerlukan lebih banyak kajian dengan lebih ramai peserta dan lebih banyak rawatan. Kajian pada masa depan mesti direka dengan lebih baik untuk mengukuhkan bukti yang membandingkan manfaat dan risiko pelbagai rawatan.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah berdasarkan pencarian yang dijalankan pada 10 Januari 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Kruoch Z, Choo AYM, Kemp A, Gonzales M, Yim TW, McCann P, Liu SH, Ting DSJ, Kuo IC. Medical and surgical interventions for neurotrophic keratopathy. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 12. Art. No.: CD015723. DOI: 10.1002/14651858.CD015723.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan