Mesej utama
-
Disebabkan kekurangan data tentang hasil berkepentingan baik untuk penghidap MASLD mahupun doktor, maka faedah dan kemudaratan silymarin dalam kalangan penghidap MASLD dewasa masih tidak jelas.
-
Silymarin nampaknya selamat dan boleh meningkatkan tahap enzim hati, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti.
-
Kajian yang lebih besar dan direka dengan baik yang mempertimbangkan hasil klinikal yang berkaitan dengan orang, diperlukan untuk menilai secara lebih tepat manfaat dan bahaya silymarin dalam kalangan penghidap MASLD dewasa.
Apakah itu MASLD?
MASLD, iaitu suatu penyakit hati kronik biasa yang telah muncul sebagai penyakit hati yang paling lazim di seluruh dunia. Ia ditakrifkan sebagai kehadiran tumpukan lemak yang berlebihan dalam tisu hati berfungsi, iaitu parenkima (> 5% daripada sel utama hati, yang turut diistilahkan sebagai hepatosit) dalam orang yang tidak mempunyai sejarah penggunaan alkohol ketara (iaitu pengambilan alkohol harian ≤ 20 g untuk wanita dan ≤ 30 g untuk lelaki) atau mana-mana etiologi steatosis hepatik yang lain . Tatanama telah berkembang daripada penyakit hati berlemak bukan alkohol (NAFLD) kepada penyakit hati berlemak berkaitan disfungsi metabolik (MAFLD), dan baru-baru ini kepada MASLD. Peralihan ini mencerminkan keeratan hubangan penyakit ini dengan masalah metabolik lazim, seperti obesiti dan diabetes.
Bagaimanakah MASLD dirawat?
Pada masa ini, tiada ubat yang diluluskan untuk rawatan MASLD. Walau bagaimanapun, pengubahsuaian gaya hidup amat disyorkan. Silymarin, agen herba lazim, dianggap oleh sesetengah pihak sebagai berkesan untuk rawatan MASLD disebabkan oleh potensi antioksidan, anti-radang dan sifat antifibrotiknya.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin tahu sama ada silymarin adalah rawatan yang berkesan dan selamat untuk MASLD.
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari kajian yang menyiasat monoterapi silymarin atau kompleks silymarin (persediaan kompaun yang terdiri daripada silymarin digabungkan dengan agen pelarut, seperti vitamin E, phosphatidyl choline, dll.) berbanding tanpa rawatan, plasebo (pil dummy) atau intervensi lain pada orang dewasa dengan MASLD.
Kami meneroka kesan silymarin terhadap penghidap MASLD dewasa berdasarkan titik hasil berikut: bahagian orang yang mengalami kesan sampingan buruk yang serius, kematian yang disebabkan sebarang sebab, kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, tahap enzim hati (iaitu alanine transaminase, aspartate aminotransferase, dan gamma glutamyl transpeptidase), dan bahagian orang dengan peristiwa buruk yang tidak serius.
Kami membandingkan dan merumuskan hasil kajian yang berkaitan dan menilai tahap keyakinan kami terhadap gagasan bukti berdasarkan seberapa baik kajian itu dilaksanakan dan dilaporkan.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui 17 kajian yang melibatkan 2069 dewasa dengan MASLD, yang membentuk empat jenis perbandingan. Kajian ini dijalankan di kawasan yang berbeza, termasuk 12 buah kajian di Asia, empat di Eropah dan satu di Amerika Utara. Monoterapi Silymarin telah diberikan dalam sembilan buah kajian manakala kompleks silymarin diberikan dalam lapan buah kajian. Tiada satu pun daripada kajian melaporkan kematian disebabkan oleh sebarang sebab atau kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan.
Hanya satu kajian yang menyelidiki monoterapi silymarin berbanding tiada intervensi atau plasebo telah melaporkan lima peristiwa buruk yang serius, tetapi tiada satu pun yang dikaitkan dengan ubat tersebut. Monoterapi Silymarin berbanding tiada intervensi atau plasebo didapati mungkin memberi sedikit ataupun tiada perbezaan ketara dari segi kesan sampingan serius. Monoterapi Silymarin berbanding tanpa intervensi atau plasebo boleh mengurangkan alanine transaminase (ALT) dan gamma glutamyl transpeptidase (GGT), tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan ini. Tidak jelas sama ada monoterapi silymarin berbanding tiada intervensi atau plasebo mempunyai kesan ke atas tahap aspartate aminotransferase (AST) dan peristiwa buruk yang tidak serius.
Kami tidak pasti sama ada monoterapi silymarin berbanding intervensi yang lain mempunyai kesan ke atas peristiwa buruk yang serius, ALT, AST, GGT dan peristiwa buruk yang tidak serius .
Tidak jelas sama ada kompleks silymarin berbanding tiada intervensi atau plasebo mempunyai kesan ke atas peristiwa buruk yang serius, ALT, AST, GGT dan peristiwa buruk yang tidak serius .
Tiga kajian dengan 920 peserta melaporkan ketiadaan peristiwa buruk yang serius. Kompleks Silymarin berbanding intervensi yang lain mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan apapun terhadap peristiwa buruk yang serius. Kompleks Silymarin berbanding intervensi yang lain mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan apapun terhadap GGT. Kami tidak pasti sama ada kompleks silymarin berbanding intervensi yang lain mempunyai kesan ke atas ALT, AST, dan peristiwa buruk yang tidak serius.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami berkeyakinan sederhana hingga sangat rendah terhadap keputusan kami atas beberapa sebab. Pertama, kajian-kajian tersebut tidak memberikan maklumat yang mencukupi untuk menilai kualiti kajian mereka dengan secukupnya dalam reka bentuk dan pelaporan. Kedua, keputusannya berbeza-beza dengan ketara merentasi kajian. Ketiga, kebanyakan kajian mempunyai saiz sampel yang kecil. Keempat, tiada kajian melaporkan kematian disebabkan oleh sebarang punca atau kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, dan banyak kajian gagal melaporkan kejadian buruk yang serius. Pada masa hadapan, keputusan kami boleh berubah jika kajian lanjutan dengan kaedah pelaksanaan dan pelaporan yang berkualiti tinggi diterbitkan.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti ini adalah terkini setakat 15 Mei 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).