Langkau ke kandungan utama

Adakah molnupiravir (ubat antivirus) selamat dan berkesan dalam merawat orang dengan COVID-19?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Dalam orang dengan COVID-19 ringan hingga sederhana yang tidak dimasukkan ke hospital, molnupiravir mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam mengurangkan risiko kematian berbanding plasebo (rawatan dummy) atau penjagaan biasa. Molnupiravir boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam mengurangkan keperluan untuk kemasukan ke hospital atau membantu orang sembuh dengan lebih cepat. Molnupiravir mungkin tidak meningkatkan risiko kesan yang tidak diingini, dan tidak meningkatkan risiko kesan serius yang tidak diingini.

  • Bukti tidak jelas tentang sama ada molnupiravir adalah selamat atau berkesan dalam orang yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19.

Apakah molnupiravir?

Molnupiravir ialah pil yang digunakan untuk merawat COVID-19 dalam orang yang berisiko tinggi mengalami penyakit teruk. Ia berfungsi dengan mengganggu keupayaan SARS-CoV-2 (virus yang mengakibatkan COVID-19) untuk membiak, membantu tubuh badan untuk melawan jangkitan tersebut.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui cara bagaimana molnupiravir berbanding tiada rawatan, plasebo (rawatan tiruan), atau penjagaan standard dalam:

  • mengurangkan kematian dan kemasukan ke hospital dalam orang dengan COVID-19;

  • mempercepatkan pemulihan (masa untuk penyelesaian gejala);

  • membersihkan virus yang mengakibatkan COVID-19 (pembersihan virus);

  • keselamatan, dengan melihat semua peristiwa yang tidak diingini dan peristiwa serius yang tidak diingini.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang menilai molnupiravir berbanding tanpa rawatan, plasebo, atau penjagaan standard kepada orang yang disahkan COVID-19. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah kajian. Jenis kajian yang telah kami lihat adalah kajian rawak terkawal, yang menetapkan orang secara rawak kepada dua atau lebih kumpulan rawatan. Ini adalah kaedah terbaik untuk memastikan kumpulan kajian adalah sama, dan penyelidik serta peserta tidak tahu siapa yang berada dalam mana-mana kumpulan.

Apakah yang ditemukan?

Ulasan ini telah melibatkan 11 kajian dengan 31,272 peserta, kebanyakannya pesakit luar (orang yang tidak dimasukkan ke hospital) dengan COVID-19 ringan sehingga sederhana. Apabila kami menggabungkan keputusan daripada kajian yang telah mengambil pesakit luar (orang yang tidak dimasukkan ke hospital) dengan COVID-19 ringan sehingga sederhana, kami telah menemui keputusan utama berikut:

  • Molnupiravir mungkin mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan terhadap risiko kematian. Berbanding orang yang menerima plasebo atau penjagaan standard, antara kurang empat dan 10 orang menerima molnupiravir akan mati dalam sebulan untuk setiap 10,000 orang yang dirawat. Kami telah menganggap pengurangan ini tidak penting secara klinikal.

  • Molnupiravir mungkin tidak mengurangkan kemasukan ke hospital, bermakna ia mungkin tidak mencegah orang daripada menjadi sakit atau memerlukan penjagaan hospital.

  • Terdapat bukti peningkatan ketiadaan kuman dengan molnupiravir pada hari ke-5, tetapi kesan ini berkurangan pada hari ke-14, dan kami tidak pasti sama ada ia membuat sebarang perbezaan nyata untuk pesakit.

  • Molnupiravir mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kebarangkalian untuk mengalami gejala pada hari ke-14 atau ke-28.

  • Molnupiravir mungkin mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan terhadap kesan sampingan, dan mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan terhadap kesan sampingan serius.

Terdapat terlalu sedikit data untuk membuat kesimpulan yang jelas tentang kesan molnupiravir kepada orang yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 serius.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kebanyakan bukti datang daripada kajian yang dijalankan pada pesakit luar dengan COVID-19 ringan sehingga sederhana, jadi keputusan mungkin tidak terpakai untuk orang dengan penyakit serius yang dimasukkan ke hospital. Kajian telah memberikan bukti yang terhad terhadap hasil jangka panjang seperti kualiti hidup selepas pemulihan atau berapa lama virus itu tinggal di dalam badan. Kami tidak dapat menganalisis sama ada molnupiravir mempunyai kesan berbeza terhadap sesetengah kumpulan orang tertentu, seperti mereka yang mempunyai keadaan sedia ada yang teruk atau orang dari negara berpendapatan rendah atau sederhana.

Adakah bukti ini yang terkini?

Ulasan ini melibatkan kajian yang diterbitkan sehingga April 2024. Penyelidikan yang berterusan boleh memberikan lebih banyak pemahaman diri pada masa hadapan.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Tatz GS, Ochodo EA, Fox T, Owino EJ, Nyagol B, Rupali P, McCaul M, Kredo T, Cohen K. Molnupiravir for treating COVID-19. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 10. Art. No.: CD015381. DOI: 10.1002/14651858.CD015381.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan