Langkau ke kandungan utama

Penapis-penapis

Evidence

Handbooks/Manuals

Berita

Adakah plasma (produk darah) daripada orang yang telah pulih daripada COVID-19 membantu merawat COVID-19?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Kami sangat yakin bahawa plasma daripada darah orang yang telah pulih daripada COVID-19 (plasma pemulihan) tidak membantu orang dengan COVID-19 sederhana hingga teruk.

  • Plasma pemulihan boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada orang dengan COVID-19 yang ringan.

  • Kami masih memerlukan lebih banyak bukti tentang orang dengan COVID-19 yang ringan, mereka yang tidak mempunyai gejala, dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lebih lemah.

Apa itu plasma pemulihan?

Tubuh menghasilkan antibodi sebagai salah satu pertahanannya terhadap jangkitan. Antibodi dijumpai dalam bahagian darah yang dikenali sebagai plasma. Plasma daripada orang yang telah pulih daripada virus COVID-19 mengandungi antibodi COVID-19. Ia boleh digunakan untuk membuat plasma pemulihan, iaitu plasma yang mengandungi antibodi ini.

Plasma pemulihan telah berjaya digunakan untuk merawat beberapa virus. Rawatan ini (diberi secara titisan atau suntikan) umumnya diterima dengan baik oleh pesakit, tetapi boleh menyebabkan kesan buruk yang tidak diingini.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada plasma pemulihan membantu orang yang disahkan dengan COVID-19. Kami melihat:

  • kematian akibat sebarang punca;

  • keadaan pesakit yang semakin teruk, diukur dengan bilangan orang yang memerlukan ventilator (mesin yang membantu orang bernafas) atau meninggal dunia;

  • penambahbaikan dalam keadaan pesakit, diukur dengan bilangan orang yang dibenarkan keluar dari hospital;

  • kualiti hidup;

  • kesan-kesan yang tidak diingini.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian yang menyiasat plasma pemulihan untuk merawat orang dengan COVID-19. Kajian boleh dijalankan di mana-mana sahaja di dunia dan melibatkan orang dengan COVID-19 ringan, sederhana atau teruk.

Jika boleh, kami menggabungkan keputusan kajian untuk menganalisisnya. Kami menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan bilangan peserta kajian yang terlibat.

Apakah yang ditemukan?

Kami telah mengenalpasti 48 kajian dengan 24,518 peserta. Daripada jumlah ini, 42 kajian melibatkan orang dengan COVID-19 sederhana hingga teruk, dan enam kajian melibatkan orang dengan COVID-19 ringan. Penemuan berikut membandingkan plasma pemulihan dengan plasebo (rawatan 'dummy' yang tidak mengandungi sebarang ubat tetapi diberikan dengan cara yang sama seperti ubat yang diuji) atau penjagaan piawai yang diberikan kepada orang dengan COVID-19.

Orang dengan COVID-19 sederhana hingga teruk

Dalam kalangan orang dengan COVID-19 sederhana hingga teruk, plasma pemulihan:

  • tiada perbezaan pada kematian daripada sebarang akibat sehingga 28 hari selepas rawatan. Kira-kira 230 daripada 1000 orang yang diberi plasebo atau rawatan standard meninggal dunia, berbanding 220 daripada 1000 orang yang diberi plasma pemulihan (31 kajian, 20,798 orang).

  • ttiada perbezaan sama ada memerlukan sokongan daripada ventilator atau nazak . Kira-kira 291 daripada 1000 orang yang diberi plasebo atau penjagaan piawai memerlukan ventilator atau meninggal dunia, dibandingkan 300 daripada 1000 orang yang diberi plasma pemulihan (8 kajian, 15,189 orang).

  • tiada perbezaan pada orang yang dibenarkan keluar dari hospital. Kira-kira 670 daripada 1000 orang dalam kedua-dua kumpulan telah dibenarkan keluar dari hospital (9 kajian, 13,930 orang).

  • mungkin tidak menghasilkan perbezaan dalam kualiti hidup manusia (1 kajian, 483 orang).

  • mungkin tiada perbezaan pada kesan tidak diingini yang serius. Kira-kira 109 daripada 1000 orang yang diberi plasebo atau penjagaan piawai mengalami kesan tidak diingini yang serius, berbanding 129 daripada 1000 orang yang diberi plasma pemulihan (11 kajian, 5298 orang).

Orang yang mempunyai COVID-19 ringan

  • Kami tidak pasti sama ada plasma pemulihan mengurangkan kematian daripada sebarang akibat sehingga 28 hari selepas rawatan. Kira-kira 8 daripada 1000 orang yang diberi plasebo atau rawatan standard meninggal dunia, berbanding 10 daripada 1000 orang yang diberi plasma pemulihan (3 kajian, 1004 orang).

  • Kami tidak pasti sama ada plasma pemulihan mengurangkan kemasukan ke hospital atau kematian dalam tempoh 28 hari selepas rawatan. Kira-kira 106 daripada 1000 orang yang diberi plasebo atau penjagaan piawai dimasukkan ke hospital atau meninggal dunia, berbanding 48 daripada 1000 orang yang diberi plasma pemulihan (2 kajian, 493 orang).

  • Plasma pemulihan boleh menyebabkan tiada perbezaan dalam masa sehingga gejala COVID-19 diselesaikan (1 kajian, 376 orang).

  • Tiada satu kajian tersebut mengukur kualiti hidup manusia.

  • Kami tidak pasti sama ada plasma pemulihan mempunyai impak ke atas kesan tidak diingini yang serius. Kira-kira 174 daripada 1000 orang yang diberi plasebo atau penjagaan piawai mengalami kesan tidak diingini yang serius, berbanding 150 daripada 1000 orang yang diberi plasma pemulihan (2 kajian, 494 orang).

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Bagi orang dengan COVID-19 sederhana hingga teruk, kami sangat yakin dengan bukti tentang bilangan kematian daripada sebarang akibat, dan sama ada keadaan mereka bertambah buruk atau bertambah baik, kerana keputusannya diambil daripada banyak kajian berkualiti tinggi dengan keputusan yang konsisten. Kami hanya sederhana yakin tentang bukti kesan tidak diingini serius kerana kajian sering melaporkan kesan ini hanya untuk orang yang dirawat dengan plasma pemulihan, atau tidak melaporkannya.

Bagi orang dengan COVID-19 yang ringan, kami mempunyai sedikit atau tiada keyakinan terhadap bukti tersebut kerana kami tidak dapat mengenal pasti keputusan yang konsisten daripada banyak kajian.

Kami masih mempunyai sedikit bukti tentang kualiti hidup dan tentang kesan plasma pemulihan untuk orang dengan penyakit ringan.

Adakah bukti ini yang terkini?

Ini adalah kemas kini ulasan kami yang terdahulu, yang diterbitkan pada tahun 2023. Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Dikemaskini oleh Gurmeet Albail Singh. Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Iannizzi C, Chai KL, Piechotta V, Monsef I, Wood EM, Lamikanra AA, Roberts DJ, McQuilten Z, So-Osman C, Jindal A, Estcourt LJ, Skoetz N, Kreuzberger N. Convalescent plasma for people with COVID-19. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 5. Art. No.: CD013600. DOI: 10.1002/14651858.CD013600.pub7.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan