Langkau ke kandungan utama

Apakah faedah dan kemudaratan ketamin dan antagonis reseptor N-metil-D-aspartat yang lain untuk merawat sakit kronik?

Mesej utama

  • Tidak jelas sama ada ketamin (diberi melalui vena, diambil melalui mulut, atau disapu dalam bentuk krim pada kulit) mengurangkan keamatan sakit, tetapi ia boleh mempunyai kesan tidak diingini apabila diberikan melalui vena.

  • Tidak jelas sama ada memantine, dextromethorphan, amantadine, dan magnesium mengurangkan keamatan sakit atau mempunyai kesan tidak diingini.

  • Kami memerlukan lebih banyak kajian yang lebih baik untuk menyiasat faedah dan kemudaratan ketamin dan antagonis reseptor N-metil-D-aspartat yang lain untuk sakit kronik.

Apakah sakit kronik?

Sakit kronik adalah sakit yang berlangsung sekurang-kurangnya tiga bulan. Ia adalah masalah biasa yang menjejaskan sehingga satu pertiga daripada masyarakat. Sakit kronik boleh menjadi gejala kepada keadaan perubatan yang berbeza, atau mungkin tanpa sebab yang dapat dijelaskan. Orang yang mengalami sakit kronik sering mengalami keletihan, kebimbangan, kemurungan, dan mengurangkan fungsi dan kualiti hidup.

Apakah antagonis reseptor N-metil-D-aspartat (NMDA)?

Antagonis reseptor NMDA ialah sekumpulan ubat yang menjejaskan aktiviti saraf yang terlibat dalam kesakitan dan fungsi otak yang lain. Ia termasuk ketamin, memantine, dextromethorphan, amantadine, dan magnesium. Ia digunakan oleh doktor untuk beberapa keadaan kesihatan, termasuk sakit kronik.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada ketamin dan antagonis reseptor NMDA yang lain lebih baik untuk mengurangkan sakit daripada rawatan 'dummy' (plasebo), rawatan perubatan biasa, atau ubat lain. Kami juga ingin mengetahui sama ada ia dikaitkan dengan sebarang kesan tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang melihat kepada ketamin dan antagonis reseptor NMDA yang lain dibandingkan dengan plasebo, rawatan perubatan biasa, atau ubat lain, pada dewasa yang mengalami sakit kronik. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 67 kajian yang melibatkan 2309 orang dengan julat keadaan sakit kronik, termasuk keadaan sakit saraf (cth sakit saraf diabetik, sakit selepas kayap), fibromyalgia, dan sindrom sakit serantau yang kompleks. Peratusan wanita dalam kajian adalah antara 11% hingga 100%. Tiga puluh sembilan kajian melihat kepada ketamin, 10 melihat kepada memantine, sembilan melihat kepada dextromethorphan, tiga melihat kepada amantadine, dan lapan melihat kepada magnesium. Enam puluh dua kajian membandingkan ubat-ubatan ini dengan plasebo. Kebanyakan kajian adalah dari Eropah, UK dan AS, dan 19% menerima beberapa bentuk sokongan kewangan daripada syarikat farmaseutikal. Kajian umumnya ringkas, hanya berjalan selama beberapa bulan.

Keputusan utama

Kami tidak tahu sama ada ketamin (diberi terus melalui vena, diambil melalui mulut, atau disapu dalam bentuk krim pada permukaan kulit) mengurangkan keamatan sakit. Apabila diberikan melalui vena, ketamin boleh mempunyai kesan tidak diingini termasuk rasa tidak tersentuh dengan realiti, loya, dan muntah. Kami tidak tahu sama ada terdapat kesan tidak diingini daripada pengambilan ketamin melalui mulut atau disapu pada kulit.

Tidak jelas sama ada memantine, dextromethorphan, dan amantadine (diambil melalui mulut), atau magnesium (diberi terus melalui vena atau diambil melalui mulut) mengurangkan keamatan sakit atau mempunyai kesan tidak diingini.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai sedikit atau tiada keyakinan terhadap bukti berdasarkan beberapa sebab. Mungkin orang dalam kajian mengetahui rawatan yang mereka terima. Bukan semua kajian memberikan data tentang semua yang kami mahukan. Tidak ada kajian yang mencukupi untuk mengesahkan keputusan hasil kami, dan kajian yang disertakan pula adalah sangat kecil.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Ferraro MC, Cashin AG, Visser EJ, Abdel Shaheed C, Wewege MA, Wand BM, Gustin SM, O'Connell NE, McAuley JH. Ketamine and other NMDA receptor antagonists for chronic pain. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 8. Art. No.: CD015373. DOI: 10.1002/14651858.CD015373.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan