Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Apakah faedah dan risiko terapi carakerja untuk pesakit multiple sclerosis?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Sejurus selepas terapi carakerja (OT), pesakit multiple sclerosis mungkin menunjukkan sedikit peningkatan dalam fungsi harian dan kualiti hidup berkaitan kesihatan mental (HR-QoL), tetapi OT mungkin mempunyai kesan yang sedikit atau tiada langsung terhadap HR-QoL fizikal atau penyertaan.

  • Tiga hingga enam bulan selepas terapi, OT mungkin membawa kepada sedikit peningkatan dalam HR-QoL mental, tetapi mungkin mempunyai sedikit kesan terhadap aktiviti harian atau HR-QoL fizikal . Berbanding penjagaan biasa, terapi carakerja berupaya memberikan peningkatan dalam fungsi harian serta kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan fizikal dan mental pesakit.

  • Disebabkan kekurangan maklumat, kami tidak pasti tentang manfaat atau kemudaratan OT dalam jangka panjang.

  • Kesan sebenar OT mungkin dipandang rendah dalam penemuan kami kerana kajian-kajian tersebut menguji julat intervensi pelbagai OT berbeza, dan kami tidak melihat kepada kajian yang menilai gabungan OT dan terapi yang lain melainkan jika kesan khusus OT diukur.

  • Penyelidikan pada masa hadapan harus bertujuan untuk mengenal pasti komponen mana yang paling sesuai untuk siapa dan dalam konteks apa.

Apakah multiple sclerosis (MS)?

Multiple sclerosis (MS) merupakan penyakit yang biasanya terjadi pada sistem saraf utama, yang menjejaskan kira-kira 2.9 juta orang di seluruh dunia. Dalam penyakit MS, sistem imun pesakit akan menyerang lapisan pelindung di sekitar gentian saraf di otak dan saraf tunjang pesakit itu. Ini mengganggu komunikasi antara otak dengan keseluruhan tubuh badan, menyebabkan gejala seperti keletihan, kelemahan otot dan masalah keseimbangan badan. MS boleh menyebabkan tugas harian seperti berpakaian, menyediakan makanan atau berjalan menjadi sukar. Ia juga boleh menjejaskan ingatan dan tumpuan, menjadikan kerja dan interaksi sosial lebih mencabar.

Bagaimanakah multiple sclerosis dirawat?

Ubat-ubatan untuk MS bertujuan mengurangkan serangan, memperlahankan perkembangan penyakit dan menguruskan gejala-gejala yang muncul. Terapi pemulihan boleh menyokong pesakit MS dalam menguruskan gejala mereka, menambahbaik fungsii harian dan kekal aktif dalam komuniti.

Satu terapi pemulihan ialah terapi carakerja (OT). Rawatan OT membantu pesakit dengan tugasan seharian seperti berpakaian, memasak, mandi dan bekerja. Ahli terapi carakerja mengajar pesakit cara untuk memudahkan aktiviti-aktiviti ini dan menyediakan alat untuk membantu menguruskan gejala-gejala. Mereka juga berusaha untuk meningkatkan kekuatan dan menambahbaik koordinasi untuk menjadikan kehidupan seharian lebih mudah diurus.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui bagaimana rawatan OT memberi manfaat bagi mereka yang menghidap MS, khususnya bagaimana ia mempengaruhi tugasan harian, kualiti hidup berkaitan kesihatan fizikal dan mental (HR-QoL), dan penyertaan. Kami juga ingin mengetahui sama ada rawatan OT menyebabkan sebarang kesan sampingan yang tidak diingini.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan intervensi rawatan OT dengan intervensi yang lain, penjagaan biasa atau tiada rawatan dalam kangan pesakiti MS. Kami mengecualikan kajian-kajian yang melibatkan pelbagai disiplin — kajian di mana beberapa jenis profesional penjagaan kesihatan berbeza memberikan penjagaan secara serentak — melainkan sumbangan terhadap rawatan OT dilaporkan secara khusus. Kami berminat dengan kesannya sejurus selepas rawatan, tiga hingga enam bulan selepas rawatan (jangka sederhana) dan satu tahun selepas rawatan (jangka panjang). Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti yang ditemui berdasarkan beberapa faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 20 kajian intervensi OT yang melibatkan 1628 orang pesakit MS. Sepuluh kajian melihat kepada cara untuk membantu pesakit MS dalam menguruskan keletihan mereka; sembilan kajian tertumpu pada peningkatan aktiviti harian seperti berpakaian dan memasak; dan satu kajian bertujuan sebagai sokongan penglibatan yang lebih besar dalam aktiviti sosial. Kajian-kajian tersebut kebanyakannya dijalankan di negara-negara berpendapatan tinggi. Peserta dalam kajian-kajian tersebut terdiri daripada orang dewasa berumur 18 hingga 70 tahun yang menghidap MS yang menyebabkan kecacatan kategori ringan hingga sederhana .

Apakah keputusannya?

Rawatan OT mungkin memberikan sedikit peningkatan dalam fungsii harian berbanding rawatan lain dalam jangka pendek, dan mungkin memberi manfaat yang lebih besar berbanding penjagaan biasa atau tiada intervensi, tetapi bukti selalunya tidak pasti. Kesan jangka sederhana dan jangka panjang adalah tidak jelas.

Rawatan OT boleh menyebabkan sedikit peningkatan HR-QoL mental dalam jangka pendek, tetapi mempunyai sedikit atau tiada kesan pada HR-QoL fizikal. Keputusan perbandingan dengan penjagaan biasa atau tiada intervensi adalah sangat tidak pasti, dan kesan jangka sederhana dan jangka panjang adalah tidak jelas.

Rawatan OT boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap penyertaan dalam jangka pendek; bukti adalah sangat terhad.

Tiada kajian yang melaporkan kemudaratan daripada rawatan OT secara sistematik, jadi perkara ini masih belum diketahui.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Terdapat bukti terhad tentang bagaimana OT mempengaruhi HR-QoL fizikal bagi pesakit yang menghidap MS. Kami tidak pasti bagaimana rawatan OT berbanding penjagaan biasa atau tiada rawatan kerana tiada kajian yang mencukupi untuk membuat kesimpulan yang kukuh. Tiada bukti tentang potensi kesan memudaratkan akibat rawatan OT, dan bukti adalah terhad tentang OT bagi mereka dengan tahap kecacatan yang tinggi disebabkan oleh MS.

Satu lagi keterbatasan bukti tersebut ialah kami mengumpulkan intervensi OT yang sangat berbeza, menjadikan keputusan kurang pasti dan lebih sukar untuk ditafsirkan. Rawatan OT terdiri daripada pelbagai pendekatan berbeza, dan bukan hanya satu. Selain itu, dengan tidak melihat kepada kebanyakan kajian berasaskan pasukan melainkan jikalau peranan OT diterangkan dengan jelas, kami mungkin telah terlepas pandang bukti penting.

Lebih banyak kajian diperlukan untuk memahami sepenuhnya kesan rawatan OT terhadap pesakit MS.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah berdasarkan carian yang dijalankan dalam bulan November 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Kos D, Boers A, O'Meara C, Bekkering GE, De Coninck L, Koen M, Freeman J, Hynes SM, Eijssen ICJM. Occupational therapy for multiple sclerosis. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 1. Art. No.: CD015371. DOI: 10.1002/14651858.CD015371.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan