Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Apakah risiko dan manfaat pengambilan aspirin atau ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) yang lain untuk mencegah kanser usus dalam populasi umum?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Bukti sama ada pengambilan aspirin setiap hari boleh mencegah kanser usus adalah bercampur-campur dan tidak pasti, tetapi terdapat bukti jelas tentang peningkatan risiko pendarahan di otak dan di sekitar tengkorak.

  • Aspirin mungkin tidak memberi sebarang perbezaan kepada bilangan kes kanser usus baharu selepas 5 hingga 15 tahun susulan rawatan. Selepas 15 tahun, aspirin mungkin mengurangkan bilangan kes kanser usus baharu, tetapi kami tidak yakin dengan keputusan ini.

  • Aspirin mungkin meningkatkan sedikit kadar kematian akibat kanser usus selepas 5 hingga 10 tahun; ia boleh mengurangkan kematian selepas 15 tahun atau lebih, tetapi kami tidak yakin dengan keputusan ini.

  • Aspirin mungkin tidak menjejaskan jumlah keseluruhan kesan sampingan yang serius, tetapi ia meningkatkan risiko pendarahan ekstrakranial yang serius (pendarahan yang berlaku di luar tengkorak) dan mungkin meningkatkan risiko angin ahmar hemoragik (pendarahan di dalam atau di sekitar otak).

  • Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami kesan jangka panjang aspirin dan untuk melihat sama ada ubat anti-radang yang lain boleh mencegah kanser usus atau tidak.

Apakah kanser usus dan kemoprevensi?

Kanser usus, juga dikenali sebagai kanser kolorektal (colorectal cancer (CRC)), merupakan penyakit biasa dan serius. Ia kadangkala boleh didahului oleh lesi (iaitu kawasan pertumbuhan yang tidak normal) yang dikenali sebagai adenoma kolorektal (Colorectal adenomas (CRA). Selama bertahun-tahun, para penyelidik telah berminat untuk menggunakan ubat-ubatan untuk mengurangkan risiko CRC dan CRA. Pendekatan ini dikenali sebagai kemoprevensi.

NSAID adalah sekumpulan ubat yang membantu mengurangkan keradangan, demam, dan sakit, dan juga boleh membantu mencegah pembekuan darah. Aspirin dan ibuprofen adalah contoh NSAID yang digunakan secara meluas. Ia telah dikaji sebagai cara untuk membantu mencegah kanser kerana keradangan jangka panjang dipercayai memainkan peranan dalam perkembangan tumor.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada aspirin dan NSAID yang lain membantu atau memudaratkan apabila digunakan untuk mencegah CRC dan CRA dalam populasi umum.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang dikenali sebagai ' kajian terkawal rawak' yang membandingkan aspirin dan NSAID yang lain sama ada tanpa rawatan atau dengan rawatan berbeza untuk mencegah CRC dalam populasi umum. Kami menggabungkan hasil kajian ini (jika boleh) dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti saiz kajian dan kualiti kaedah yang digunakan.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui 10 kajian yang melihat kepada sama ada aspirin membantu mencegah CRC dalam populasi umum. Kajian-kajian ini telah melibatkan sejumlah 124,837 orang. Kebanyakan kajian dilakukan di Eropah dan Amerika Utara, dengan satu kajian mempunyai tapak penyelidikkan di Australia, dan dua kajian besar telah dijalankan di Jepun. Tujuh daripada kajian tersebut menguji aspirin pada dos rendah (75 hingga 100 mg setiap hari (sering dipanggil 'baby aspirin')), dan tiga daripadanya mengkaji dos yang lebih tinggi.

Kami tidak menemui sebarang kajian tentang kesan NSAID yang lain terhadap risiko menghidap CRC atau CRA.

Apakah kesan aspirin terhadap kanser usus?

  • Aspirin mungkin tidak memberi perbezaan kepada bilangan kes CRC baharu selepas 5 hingga 15 tahun. Aspirin boleh mengurangkan bilangan kes CRC baharu apabila diambil selama 15 tahun atau lebih, tetapi kami tidak yakin dengan keputusan ini.

  • Aspirin boleh meningkatkan sedikit kadar kematian selepas 5 hingga 10 tahun (satu hipotesis ialah aspirin mungkin mempercepatkan pertumbuhan kanser peringkat lanjut pada sesetengah orang yang sudah mempunyai penyakit ini) dan mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam kematian CRC selepas 10 tahun dan sehingga 15 tahun. Selepas 15 tahun atau lebih susulan rawatan, aspirin mungkin mengurangkan kadar kematian, tetapi kami tidak yakin dengan keputusan ini.

  • Aspirin mungkin tidak memberi perbezaan kepada bilangan kes baharu CRA antara 5 dan 10 tahun susulan rawatan, tetapi kami tidak yakin dengan keputusan ini.

Apakah risiko pengambilan aspirin untuk mencegah kanser usus?

  • Aspirin mungkin tidak memberi perbezaan kepada jumlah keseluruhan kesan sampingan yang serius.

  • Aspirin meningkatkan pendarahan ekstrakranial yang serius (pendarahan yang berlaku di luar tengkorak).

  • Aspirin mungkin meningkatkan risiko angin ahmar hemoragik (pendarahan di dalam atau di sekitar otak).

Sejauh manakah kebolehpercayaan bukti yang kami temui?

Kami yakin dengan penemuan mengenai peningkatan risiko pendarahan ekstrakranial yang serius. Kami mempunyai keyakinan sederhana terhadap keputusan kes CRC baharu selepas 5 hingga 15 tahun, kesan sampingan yang serius, dan angin ahmar hemoragik (pendarahan di bahagian otak). Walau bagaimana pun, kami mempunyai keyakinan yang sangat sedikit terhadap penemuan kami yang lain.

Tiga faktor utama yang mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti.

  • Kajian yang sedia ada adalah tidak mencukupi untuk memastikan keputusannya.

  • Dalam beberapa kajian, mereka yang terlibat mungkin mengetahui rawatan yang mereka terima, dan ini boleh menjejaskan keputusan.

  • Tidak semua kajian memberi maklumat mengenai semua perkara yang kami cari.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti ini adalah berdasarkan carian pada pangkalan data perubatan yang kami lakukan sehingga Mac 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Lai Nai Ming , School of Medicine, Taylor's University, Malaysia.

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Cai Z, Meng Y, Yang W, Han Y, Cao D, Zhang B. Aspirin and other nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) for preventing colorectal cancer and colorectal adenoma in the general population. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 4. Art. No.: CD015266. DOI: 10.1002/14651858.CD015266.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan