Mesej utama
- Ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) boleh mengurangkan sakit dalam kalangan dewasa dengan kolik renal.
- Sesetengah NSAID mungkin berkesan lebih baik daripada yang lain dalam kalangan dewasa kolik renal.
- Risiko penggunaan NSAID dalam rawatan kolik renal masih belum jelas.
Apakah kolik renal?
Karang ginjal boleh mengakibatkan sakit perut secara tiba-tiba (akut) dan teruk apabila ia menghalang aliran urinari. Rasa sakit ini dikenali sebagai 'kolik renal'.
Bagaimanakah kolik renal dirawat?
Pelbagai ubat diguna untuk merawat sakit abdominal yang teruk ini, biasanya di persekitaran kecemasan. NSAID diberi untuk mengurangkan keradangan dan tekanan di ginjal, yang dapat melegakan sakit. Terdapat pelbagai jenis NSAID yang diguna untuk tujuan ini. NSAID boleh mengakibatkan tindak balas tidak diingini ('kesan buruk'). Tidak seperti narkotik, yang juga diguna untuk kolik renal, NSAID tidak menyebabkan ketagihan.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu manfaat dan mudarat NSAID bagi rawatan pesakit dewasa dengan kolik renal.
Apakah yang kami lakukan?
Kami meneliti literatur perubatan untuk kajian-kajian yang membandingkan NSAID dengan plasebo, atau NSAID pelbagai jenis. Rawatan yang diberi kepada peserta, ditentukan secara rawak, untuk kurangkan risiko bias. Hasil yang kami minati ialah perubahan keterukan sakit, keperluan untuk lebih banyak ubat bagi mengawal sakit, dan peristiwa buruk .
Kami banding dan rumuskan keputusan kajian-kajian tersebut dan menilai keyakinan bukti, berdasarkan faktor-faktor tertentu seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami temui 29 kajian melibatkan 3593 orang (berumur 16 tahun ke atas) dengan kolik renal. Kajian terbesar melibatkan 337 orang. Purata umur peserta adalah dalam lingkungan 27 hingga 47 tahun. Kajian-kajian ini dijalankan di 23 buah negara. Tempoh kajian berbeza di antara 30 minit dan 48 jam. Enam kajian menerima dana industri farmaseutikal, dan 15 kajian tidak melaporkan sumber dana mereka .
Kami dapati NSAID mungkin lebih berkesan daripada plasebo untuk mengurangkan sakit kolik renal.
Ibuprofen intravena (ibuprofen yang diberi melalui vena) boleh lebih baik daripada ketorolac intravena untuk melegakan sakit dalam masa 30 minit. Pirprofen boleh memberi pengurangan besar dalam keperluan untuk ubat tambahan berbanding indomethacin.
Sama ada NSAID diberi secara intramuskular atau intravena, ia mungkin menyumbang sedikit atau tiada perbezaan dalam pengurangan sakit kolik renal. Walau bagaimanapun,laluan intravena mungkin lebih baik daripada laluan rektum.
Untuk perbandingan dan hasil lain, sama ada tiada cukup bukti untuk membuat sebarang kesimpulan atau bukti mencadangkan tiada perbezaan antara intervensi.
Kami tiada cukup bukti untuk sebarang kesimpulan tentang potensi kesan negatif yang berkait dengan penggunaan NSAIDS bagi merawat kolik renal.
Apakah batasan bukti?
Secara am, keyakinan kami terhadap bukti kebanyakannya rendah hingga sangat rendah, dan keputusan kajian lanjut mungkin berbeza daripada keputusan ulasan ini. Kajian-kajian sama ada tidak melaporkan maklumat yang boleh kami gunakan (terutamanya tentang risiko mudarat) atau menghasilkan penemuan yang kami sangat sedikit yakin. Kajian-kajian adalah kecil atau mengguna kaedah yang mungkin memperkenalkan ralat dalam keputusan mereka.
Adakah bukti ini mutakhir?
Bukti terkini adalah sehingga 25 Ogos 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah Nadia Nur Syafiqah Nazar (International Islamic University Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia)