Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Apakah manfaat dan kemudaratan sistem sokongan hati untuk orang dewasa dengan kegagalan hati akut?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Disebabkan bukti yang terhad, kesan sistem sokongan hati yang telah digunakan bersama dengan penjagaan standard berbanding dengan penjagaan standard sahaja di kalangan orang dengan kegagalan hati akut (kehilangan fungsi hati yang cepat) adalah tidak jelas, dan kesimpulan yang pasti tidak dapat dicapai.

  • Kami tidak tahu sama ada penggunaan sistem sokongan hati (peranti terapeutik) mungkin mengurangkan atau meningkatkan kematian daripada sebarang sebab dalam tempoh 28 hari atau menjelang tamat kajian, bilangan kesan serius yang tidak diingini, keperluan pemindahan hati, ensefalopati hepatik (disfungsi otak disebabkan oleh kegagalan hati), atau bilangan kegagalan pelbagai organ pada susulan maksimum, disebabkan bukti adalah sangat tidak pasti.

  • Tiada kajian yang telah melaporkan kesejahteraan hidup.

Apakah kegagalan hati akut?

Kegagalan hati akut ialah keadaan yang mengancam nyawa. Orang yang mengalami kegagalan hati akut mempunyai kecederaan hati teruk, pengurangan keupayaan hati untuk menghasilkan protein (cth. untuk pembekuan darah, keseimbangan cecair, dan penghasilan glukosa), dan ensefalopati hepatik (status mental yang berubah). Kegagalan hati akut kerap disebabkan oleh jangkitan virus, dos dadah atau alkohol yang berlebihan.

Bagaimanakah kegagalan hati akut boleh dirawat?

Rawatan kegagalan hati akut bergantung kepada puncanya. Tambahan kepada penjagaan perubatan standard, doktor menggunakan sistem sokongan hati untuk membersihkan darah pesakit daripada dadah dan bahan lain yang memudaratkan sehingga hati berfungsi seperti sedia ada atau sehingga hati baru tersedia untuk pemindahan. Terdapat dua jenis sistem sokongan hati: buatan (dirujuk sebagai peranti bukan biologi atau teknik bebas sel) dan sistem sokongan hati biobuatan (dirujuk sebagai peranti sokongan hati biologi).

Apakah yang ingin diketahui?

Memandangkan sistem sokongan hati digunakan meskipun keputusan kajian dan cadangan garis panduan yang bercanggah, kami ingin mengetahui sama ada mana-mana sistem sokongan hati mungkin mengurangkan kematian disebabkan sebarang sebab dalam tempoh 28 hari atau pada penghujung kajian, bilangan kesan serius yang tidak diingini, keperluan untuk pemindahan hati, ensefalopati hepatik, bilangan kegagalan pelbagai organ, dan kesan-kesan sampingan tidak serius yang tidak diingini untuk orang dewasa dengan kegagalan hati akut.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian klinikal yang menugaskan orang dewasa dengan kegagalan hati akut secara rawak kepada sistem sokongan hati sebarang jenis di samping penjagaan standard atau menerima penjagaan standard sahaja. Kami merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami telah mengenalpasti 11 kajian. Kajian-kajian tersebut telah dijalankan sebelum tahun 2019 dan berbeza-beza dari segi saiz, kualiti, dan hasil. Semua peserta mengalami kegagalan hati disebabkan oleh pelbagai punca, terutamanya keracunan dadah, hepatitis virus, alkohol, atau punca yang tidak dapat ditentukan. Diagnosis kegagalan hati akut berbeza-beza merentas negara dari semasa ke semasa. Kajian-kajian tersebut kebanyakannya menyertakan orang dewasa, walaupun beberapa kanak-kanak yang disertakan; berumur antara 10 hingga 69 tahun. Orang ramai telah dimasukkan ke unit penjagaan rapi disebabkan mereka sakit tenat, dan hampir semua peserta memerlukan pemindahan hati. Kami telah mengukur keputusan pada tamat kajian.

Ia adalah sangat tidak pasti sama ada sistem sokongan hati mungkin mempunyai sebarang kesan terhadap risiko kematian dalam tempoh 28 hari (9 kajian dengan 539 peserta), dalam tempoh setahun (11 kajian dengan 681 peserta), terhadap bilangan kesan-kesan serius yang tidak diingini (11 kajian dengan 681 peserta), dan terhadap keperluan pemindahan hati (5 kajian dengan 519 peserta). Tiada kajian telah menyertakan kesejahteraan berkaitan kesihatan sebagai hasil. Bukti adalah sangat tidak pasti tentang kesan sistem sokongan hati terhadap ensefalopati hepatik (2 kajian dengan 34 peserta). Sistem sokongan hati mungkin menyebabkan sedikit sehingga tiada perbezaan terhadap bilangan kegagalan pelbagai organ (6 kajian dengan 501 peserta), tetapi bukti adalah sangat tidak pasti. Hanya satu kajian yang telah melaporkan kesan-kesan tidak serius yang tidak diingini. Empat kajian telah dibiayai sepenuhnya atau sebahagiannya oleh industri, lima tidak mempunyai dana industri, dan dua tidak menyebut sumber dana mereka.

Kami tidak menemui sebarang kajian yang sedang berlangsung.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Dua daripada 11 kajian yang telah disertakan dalam format pendek dan bukannya kertas akademik penuh. Kami telah mengenal pasti kajian yang diterbitkan antara 1973 dan 2019 yang telah menggunakan pelbagai jenis sistem sokongan hati. Kebanyakannya adalah kajian pusat tunggal yang kecil.

Kami tidak yakin terhadap bukti disebabkan semua kajian mempunyai masalah dengan kaedah kajian dan tidak mempunyai orang mencukupi dalam kajian untuk memberi kepastian yang mencukupi tentang keputusannya. Kebanyakan sistem sokongan hati yang telah digunakan dalam kajian adalah dihasilkan oleh pengeluar yang kecil dan berada di pasaran hanya untuk masa yang singkat. Pada masa kini, tiada sistem sokongan hati biobuatan yang tersedia di pasaran.

Adakah bukti ini yang terkini?

Tarikh carian terakhir: 10 Julai 2025

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Martí-Carvajal AJ, Kumburegama BBWM, Nikolova D, Pavlov CS, Mauro E, Gluud LL, Monge Martín D, Liu JP, Nicola S, Comunián-Carrasco G, Gemmato-Valecillos MA, Gluud C. Liver support systems for adults with acute liver failure. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 4. Art. No.: CD015059. DOI: 10.1002/14651858.CD015059.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan