Mesej utama
Disebabkan tiada bukti yang berkualiti baik, kami tidak tahu sama ada lipid enteral menyebabkan manfaat atau mudarat pada bayi yang berisiko menghidap penyakit hati, atau yang menghidap penyakit hati disebabkan oleh keperluan nutrisi buatan yang berpanjangan akibat kegagalan usus.
Tiada kajian yang secara khusus mengkaji kesan lipid enteral pada bayi yang berisiko menghidap penyakit hati, atau yang menghidap penyakit hati disebabkan oleh keperluan nutrisi buatan berpanjangan akibat kegagalan usus.
Untuk menjawab persoalan ini, kami memerlukan kajian besar yang direka khusus untuk mengkaji kesan lipid enteral pada bayi yang mengalami kegagalan usus.
Apakah penyakit hati yang berkaitan dengan pemakanan parenteral?
Bayi (kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun) yang mengalami kegagalan usus, yang tidak boleh diberi makan melalui mulut atau tiub makanan, bergantung kepada nutrisi parenteral (nutrisi tiruan yang diberikan melalui vena). Komplikasi biasa rawatan ini ialah penyakit hati berkaitan nutrisi parenteral (PNALD), yang boleh mengakibatkan penyakit teruk atau kematian jika tidak diuruskan dengan betul. Punca sebenar penyakit hati ini tidak jelas, tetapi faktor penyumbang termasuklah nutrisi buatan, kekurangan makanan melalui oral, jangkitan, dan pembedahan. Pada masa ini, tiada cara yang sepenuhnya berkesan untuk mencegah penyakit hati pada bayi yang mengalami kegagalan usus. Sesetengah jenis nutrisi buatan, seperti yang mengandungi minyak ikan, boleh membantu, tetapi ia tidak sepenuhnya mencegah atau merawat penyakit hati pada bayi yang mengalami kegagalan usus. Oleh itu, strategi pencegahan dan rawatan yang lebih baik adalah diperlukan.
Apakah lipid enteral?
Lipid (lemak dan minyak) adalah nutrien penting yang membekalkan tenaga, mengangkut vitamin, dan berfungsi sebagai blok binaan untuk sel. Ia juga penting untuk perkembangan otak dan mata. Apabila lipid diberikan melalui mulut atau melalui tiub suapan, ia dipanggil lipid enteral. Lipid ini boleh datang daripada pelbagai sumber, termasuk ikan, tumbuhan, alga, kulat, atau pengeluaran sintetik, dan komposisinya berbeza-beza bergantung pada sumbernya. Kajian makmal pada haiwan menunjukkan bahawa lipid enteral boleh membantu mencegah atau mengurangkan penyakit hati dalam kes kegagalan usus.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin tahu sama ada lipid enteral memberikan manfaat atau mudarat kepada bayi yang berisiko menghidap penyakit hati, atau yang menghidap penyakit hati disebabkan oleh keperluan nutrisi buatan yang berpanjangan akibat kegagalan usus. Secara khusus, kami mempersoalkan sama ada lipid enteral boleh mencegah atau merawat penyakit hati pada bayi yang mengalami kegagalan usus.
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari penerbitan perubatan merangkumi kajian yang menilai manfaat dan risiko lipid enteral pada bayi yang berisiko, atau sudah didiagnosis dengan PNALD. Kami hanya menyertakan kajian di mana lipid enteral diberikan melalui mulut atau melalui tiub pemakanan, dan di mana bayi secara rawak dimasukkan ke kumpulan rawatan berbeza. Kemudian, kami membandingkan, menganalisis, dan merumuskan keputusan kajian-kajian ini, menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah kajian dan bilangan bayi yang terlibat.
Apakah yang ditemui?
Kami menemui 11 kajian melibatkan 2192 bayi berisiko PNALD yang menerima lipid enteral sehingga kira-kira lapan minggu. Daripada kajian ini, empat kajian membandingkan minyak alga sahaja atau dalam gabungan dengan minyak yang lain dengan kumpulan kawalan, manakala tiga kajian membandingkan minyak ikan sahaja atau dalam gabungan dengan minyak yang lain dengan kumpulan kawalan. Kajian terkecil menyertakan 18 bayi, manakala yang terbesar menyertakan 1273. Kajian dijalankan merentasi Asia, Australia, Eropah, dan Amerika. Beberapa kajian disokong oleh syarikat-syarikat farmaseutikal.
Hanya beberapa kajian menilai pencegahan PNALD. Kami tidak menemui sebarang kajian yang menilai lipid enteral (secara enteral) untuk rawatan penyakit hati yang telah sedia ada. Sebelas kajian mengkaji lipid enteral dalam kalangan bayi yang berisiko menghidap penyakit hati. Kami menemui bahawa, dibandingkan dengan tiada rawatan atau plasebo (tiada bahan aktif), lipid enteral mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap pencegahan: PNALD; kurang toleransi pemakanan; masa untuk mencapai pemakanan enteral penuh melalui mulut atau tiub penyusuan; atau kematian. Tempoh tinggal di hospital mungkin dikurangkan dengan lipid enteral, tetapi maklumat tersedia terhad kepada hanya daripada satu kajian sahaja.
Secara keseluruhannya, kami tidak yakin dengan keputusan ini.
Tiada data yang menilai kesan lipid enteral terhadap keperluan pemindahan hati.
Apakah batasan bukti?
Kami tidak yakin bahawa lipid enteral mempunyai sebarang kesan terhadap PNALD, kurang toleransi pemakanan, masa untuk mencapai pemakanan enteral penuh, tempoh tinggal di hospital atau kematian kerana:
Kajian-kajian tersebut berbeza-beza dari segi jenis, dos, tempoh, dan pemberian lipid enteral;
Sesetengah peserta kajian atau para penyelidik boleh tahu jenis rawatan yang mereka terima;
Tidak semua kajian memberikan data tentang semua hasil yang diingini;
Terdapat terlalu sedikit kajian untuk membuat kesimpulan yang muktamad, dan ada yang sangat kecil.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 16 Disember 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




