Mesej utama
• Antibiotik seolah-olah mengurangkan jangkitan tapak pembedahan pada orang yang menjalani pembedahan untuk memperbaiki arteri anggota bawah (pembinaan semula arteri periferal anggota bawah).
• Terapi tekanan negatif insisi tertutup (teknik penjagaan luka khas) boleh mengurangkan kadar jangkitan graf dan kadar jangkitan tapak pembedahan, tetapi kami memerlukan lebih banyak kajian yang standard.
• Intervensi lain yang dinilai kelihatan memberikan sedikit atau tiada perbezaan dalam mengurangkan insiden jangkitan graf dan tapak pembedahan.
Apakah penyakit arteri periferal (PAD)?
Penyakit arteri periferal (PAD) ialah keadaan di mana arteri yang membekalkan darah ke anggota bawah menjadi sempit atau tersumbat, biasanya disebabkan oleh pembentukan plak, yang mengurangkan aliran darah. Hal ini boleh membawa kepada gejala seperti kesakitan atau kekejangan di bahagian kaki semasa berjalan. PAD serius mungkin memerlukan pembedahan (pembinaan semula arteri) untuk membaiki arteri. Walau bagaimanapun, jangkitan pada tapak pembedahan adalah kebimbangan utama, yang menyebabkan penyakit serius dan kematian. Jangkitan ini mempunyai kesan yang besar terhadap penjagaan kesihatan di seluruh dunia. Hal ini adalah penting untuk menyemak sama ada langkah yang boleh kami ambil untuk mencegah jangkitan tersebut adalah berfungsi. Ulasan ini telah melihat kepada cara untuk mencegah jangkitan tapak pembedahan selepas pembedahan arteri kaki.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui bagaimana ubat-ubatan dan rawatan lain - antibiotik, kaedah pembersihan, teknik pembedahan, dan penjagaan luka - menjejaskan risiko jangkitan tapak pembedahan dan jangkitan graf pada orang yang telah mempunyai pembedahan untuk merawat arteri anggota bawah mereka, yang merupakan saluran darah penting.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah melihat semua jenis kajian rawak yang menguji rawatan berbeza untuk mencegah jangkitan selepas pembedahan pada arteri anggota bawah. Kami hanya menyertakan kajian di mana orang dibahagikan secara rawak kepada rawatan berbeza. Kami juga telah melihat sama ada rawatan berbeza telah mempunyai kesan terhadap hasil lain yang penting, seperti kematian keseluruhan, kadar pembinaan semula arteri yang gagal, keperluan untuk pembedahan tambahan, kadar amputasi, kesakitan yang disebabkan oleh rawatan anti-jangkitan, dan sebarang kemudaratan/kesan-kesan sampingan yang diakibatkan oleh rawatan tersebut. Kami telah menilai sejauh mana kajian telah dijalankan, mengumpul dan menggabungkan data untuk analisis pada bila-bila masa yang kami boleh, dan juga telah memeriksa kualiti bukti.
Apakah yang ditemukan?
Kami telah menilai sejumlah 40 kajian yang melibatkan 7970 peserta dalam ulasan ini. Kami telah melihat 16 perbandingan untuk sembilan hasil.
Antibiotik sebelum pembedahan: Bukti mencadangkan bahawa antibiotik mungkin mengurangkan jangkitan tapak pembedahan berbanding dengan tanpa antibiotik. Tiada perbezaan antara kumpulan dalam hasil yang lain yang boleh kami nilai.
Pelbagai jenis pencegahan antibiotik sistemik: Kami telah menemui tiada perbezaan yang jelas antara jenis antibiotik tertentu atau antara penggunaan jangka panjang dan jangka pendek . Tiada perbezaan antara kumpulan dalam hasil yang lain yang boleh kami nilai.
Antibiotik pencegahan jangka pendek dibandingkan dengan jangka panjang: Kami menemui tiada perbezaan antara antibiotik jangka pendek dan jangka panjang untuk mencegah jangkitan graf atau jangkitan tapak pembedahan. Tiada perbezaan antara kumpulan dalam hasil yang lain yang boleh kami nilai.
Terapi tekanan negatif insisi tertutup (teknik penjagaan luka khas) berbanding dengan penutupan luka standard: Bukti mencadangkan bahawa teknik ini mungkin mengurangkan jangkitan tapak pembedahan, tetapi lebih banyak kajian adalah diperlukan. Tiada perbezaan antara kumpulan dalam hasil yang lain yang boleh kami nilai.
Kaedah lain : Kami menemui sedikit atau tiada perbezaan antara kaedah lain yang telah kami nilai, seperti perbezaan teknik balutan luka berbeza, teknik pembedahan, atau jahitan khas. Keputusan boleh menjadi kurang dipercayai disebabkan oleh beberapa peristiwa yang dikaji.
Secara ringkasnya, keputusan telah menunjukkan bahawa antibiotik mungkin berkesan dalam mencegah jangkitan tapak pembedahan. Terapi tekanan negatif insisi tertutup mungkin mengurangkan kadar jangkitan graf dan kadar jangkitan tapak pembedahan, tetapi kami memerlukan kajian yang lebih standard. Walau bagaimanapun, untuk kaedah yang lain, tiada bukti yang menunjukkan perbezaan ketara dalam mencegah jangkitan.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kajian yang sedia ada mempunyai populasi bercampur dan telah menggunakan pelbagai kriteria untuk mendiagnosis jangkitan. Tambahan pula, tempoh susulan selepas pembedahan adalah sangat berbeza. Kami juga mendapati bahawa sesetengah kajian mempunyai masalah metodologi yang boleh membawa kepada keputusan yang bias, dan untuk kebanyakan hasil kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti. Kami telah menyenaraikan semua cabaran semasa kami melihat kepada keputusan dan mempertimbangkannya sebelum membuat kesimpulan.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia).