Mesej utama
• Antibiotik nampaknya mengurangkan jangkitan tapak pembedahan dalam kalangan pesakit yang menjalani pembedahan aorta atau aortoiliac.
• Intervensi lain yang dinilai kelihatan memberikan sedikit atau tiada perbezaan dalam mengurangkan insiden jangkitan pada tapak pembedahan.
• Hasil-hasil lain yang dinilai menunjukkan kesan yang minimum atau tidak terjejas oleh intervensi yang dikaji.
Apakah penyakit arteri periferal dan aneurisma aorta?
Penyakit arteri periferal berlaku apabila arteri menyempit, dan aliran darah dikurangkan. Aneurisma aorta—pembengkakan yang tidak normal pada dinding aorta—juga adalah satu kebimbangan yang serius. Apabila teruk, keadaan ini mungkin memerlukan pembedahan rekonstruksi arteri. Lazimnya, prosedur ini melibatkan penggunaan cantuman - satu bahan biologi atau sintetik yang dipindahkan daripada bahagian badan lain atau daripada sumber lain untuk menggantikan atau menyokong arteri yang terjejas. Satu cantuman tidak mempunyai bekalan darah sendiri dan bergantung pada tisu berdekatan untuk sembuh. Jangkitan di tapak pembedahan, terutamanya yang melibatkan cantuman, adalah kebimbangan utama kerana berisiko menyebabkan penyakit yang serius atau kematian. Jangkitan ini juga membebankan sistem penjagaan kesihatan di seluruh dunia. Oleh itu, adalah penting untuk menilai sama ada strategi pencegahan jangkitan yang sedang digunakan adalah berkesan.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui bagaimana ubat-ubatan seperti antibiotik, rawatan yang lain, kaedah pencucian, teknik pembedahan berbeza, dan penjagaan luka mempengaruhi risiko jangkitan pesakit yang menjalani pembedahan untuk membaiki aorta atau arteri aortiliac mereka, yang merupakan saluran darah penting.
Apakah yang kami lakukan?
Kami meneliti semua jenis kajian rawak yang menguji rawatan berbeza untuk mencegah jangkitan selepas pembedahan aorta atau arteri aortiliac. Kami hanya mengambilkira kajian di mana pesakit dibahagikan secara rawak untuk rawatan berbeza . Kami juga meneliti sama ada rawatan berbeza mempunyai kesan ke atas hasil penting yang lain, seperti kematian keseluruhan, kadar rekonstruksi arteri yang gagal, keperluan untuk pembedahan tambahan, kadar amputasi, tahap sakit akibat rawatan pencegahan jangkitan, dan sebarang peristiwa sampingan yang disebabkan oleh rawatan ini. Kami menilai sejauh mana kajian-kajian tersebut dijalankan dengan baik, mengumpul dan menggabungkan data untuk dianalisis apabila boleh, meneliti kualiti bukti yang ada, serta menerangkan hasil yang kami peroleh.
Apakah yang kami temui?
Kami menilai sejumlah 21 kajian yang melibatan 4952 peserta dalam ulasan ini. Lima belas kajian didapati mempunyai risiko bias yang tinggi dalam sekurang-kurangnya satu bahagian, dan 19 kajian mempunyai risiko bias yang tidak jelas dalam sekurang-kurangnya satu bahagian. Kami meneliti 10 perbandingan berbeza untuk lapan hasil berbeza. Perbandingan ini merangkumi: antibiotik berbanding plasebo atau tanpa rawatan; antibiotik jangka pendek (≤ 24 jam) berbanding antibiotik jangka panjang (> 24 jam); jenis antibiotik sistemik yang berbeza (satu berbanding yang lain); implan terikat antibiotik berbanding implan standard; cantuman Dacron berbanding cantuman polytetrafluoroethylene; saliran sedutan tertutup secara profilaktik berbanding luka tanpa saliran; terapi berarah matlamat yang disesuaikan secara individu berbanding terapi cecair berdasarkan kehilangan cecair, parameter hemodinamik standard, dan nilai gas darah arteri; penilaian geriatrik menyeluruh berbanding penjagaan praoperasi standard; teknik perkutan berbanding teknik akses terbuka; dan terapi luka tekanan negatif (NPWT) berbanding balutan standard. Hasil utama yang menjadi perhatian ialah kadar jangkitan cantuman dan jangkitan tapak pembedahan (SSI). Kami juga meneliti hasil lain seperti kadar kematian keseluruhan, kekerapan kegagalan rekonstruksi arteri, keperluan untuk intervensi semula, kadar amputasi, kesakitan, dan sebarang peristiwa sampingan yang berkaitan dengan rawatan untuk mencegah jangkitan. Kami tidak dapat menilai semua hasil dalam setiap perbandingan dan, disebabkan oleh ketiadaan data yang tersedia, kami tidak dapat mengukur atau menganalisis banyak hasil yang lain secara kuantitatif. Berikut adalah ringkasan penemuan utama:
Antibiotik berbanding plasebo (lima kajian): Antibiotik nampaknya mengurangkan SSI dengan bukti keyakinan yang sangat rendah. Tiada perbezaan antara kumpulan dalam hasil lain yang dapat kami nilai (kadar kematian semua punca, kadar intervensi semula, dan kadar amputasi), dengan bukti yang mempunyai tahap keyakinan yang sangat rendah hingga rendah.
Antibiotik jangka pendek berbanding jangka panjang (tiga kajian): Dengan bukti keyakinan yang sangat rendah, kami menemui tiada perbezaan antara antibiotik jangka pendek atau panjang untuk mencegah jangkitan cantuman atau SSI.
Jenis antibiotik yang berbeza (tujuh kajian): Dengan bukti keyakinan yang sangat rendah, kami tidak menemui perbezaan antara jenis antibiotik berbeza jika dibandingkan antara satu dengan yang lain untuk kadar jangkitan cantuman, kadar SSI atau kematian semua punca. Perbandingan-perbandingan ini melibatkan beta-laktam berbanding cephalosporin, glikopeptida berbanding cephalosporin, dan satu cephalosporin berbanding yang lain.
Apakah batasan bukti?
Tidak banyak kajian yang memberi tumpuan kepada pesakit yang menjalani pembedahan pada segmen aorta atau aortoiliac mereka. Beberapa kajian yang tersedia melibatkan bilangan pesakit yang kecil dan tidak banyak peristiwa, yang menjadikannya sukar untuk membandingkan rawatan berbeza. Beberapa kajian melibatkan jenis pesakit yang berbeza, dan tidak semua kajian memberikan data khusus bagi kumpulan peserta yang menjadi tumpuan ulasan ini. Tempoh masa susulan pesakit selepas pembedahan berbeza-beza dengan ketara antara kajian. Kami juga mendapati bahawa beberapa kajian mempunyai masalah metodologi yang boleh membawa kepada keputusan yang bias. Kami menyenaraikan cabaran ini apabila kami meneliti keputusan kajian dan mengambil kira aspek ini sebelum membuat kesimpulan kami.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini sehingga November 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).