Mesej utama
-
Kami menemui bahawa walaupun beberapa kaedah yang mungkin lebih baik daripada yang lain bagi mencegah kegagalan rawatan dan perlu memasukkan semula tiub pernafasan ke dalam saluran udara bayi, buktinya adalah sangat tidak meyakinkan.
-
Lebih banyak kajian diperlukan yang menggabungkan garis panduan yang ketat ke dalam reka bentuk kajian, selain turut membandingkan kaedah berbeza yang menggunakan tekanan yang sama, dengan memasukkan bayi yang lebih pramatang yang dilahirkan sebelum 28 minggu kehamilan.
Apakah pernafasan sokongan tidak invasif?
Bayi pramatang sering memerlukan bantuan pernafasan kerana paru-paru mereka belum berkembang sepenuhnya. Sokongan pernafasan hidung (melalui hidung) membantu bayi pramatang bernafas tanpa memerlukan tiub pernafasan dalam saluran udara. Ia termasuk beberapa kaedah yang membekalkan udara atau oksigen melalui hidung atau mulut untuk memastikan paru-paru terbuka dan membantu pernafasan.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami membandingkan tujuh kaedah sokongan pernafasan hidung berbeza untuk melihat mana yang terbaik bagi menghalang kegagalan rawatan (apabila pernafasan bayi bertambah teruk dan memerlukan bantuan tambahan, seperti lebih banyak oksigen atau tiub pernafasan, diperlukan), keperluan untuk intubasi (memasukkan tiub pernafasan), dan mengurangkan keterukan masalah paru-paru yang berpanjangan pada bayi pramatang.
Apakah yang kami lakukan?
Kami menilai kajian yang membandingkan kombinasi berbeza kadar aliran, tekanan dan masa yang digunakan untuk sokongan pernafasan pada bayi pramatang.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 61 kajian (7554 bayi pramatang).
Pengudaraan melalui hidung menggunakan tekanan positif berselang-seli (menggunakan dua tahap tekanan dengan semburan udara pendek) atau pengudaraan berayun frekuensi tinggi tidak invasif (menyampaikan nafas yang kecil dan laju) mungkin mengurangkan risiko kegagalan rawatan dibandingkan tekanan saluran udara melalui hidung secara berterusan (aliran udara yang stabil) atau kanula hidung aliran tinggi (aliran udara yang diberikan melalui tiub hidung yang lebih tinggi). Juga, pengudaraan melalui hidung menggunakan tekanan positif berselang-seli atau pengudaraan berayun frekuensi tinggi tidak invasif boleh menghalang keperluan untuk menggunakan tiub pernafasan dibandingkan tekanan saluran udara positif berterusan hidung atau kanula hidung aliran tinggi. Tiada perbezaan dalam risiko mengalami masalah paru-paru berpanjangan sederhana hingga teruk.
Penemuan ini adalah serupa pada bayi yang dilahirkan pada atau selepas 28 minggu kehamilan, tetapi tidak terdapat perbezaan pada bayi yang dilahirkan sebelum 28 minggu kehamilan, walaupun data dalam kumpulan bayi ini adalah jarang.
Apakah batasan bukti?
Bukti adalah terhad untuk bayi sangat pramatang yang lahir sebelum 28 minggu kehamilan. Kajian juga berbeza dalam cara mereka membandingkan kaedah yang berbeza, terutamanya mengenai tahap tekanan saluran udara. Ini boleh menjejaskan keputusan. Akhirnya, kami sedikit atau kurang yakin dengan keputusan kerana pelbagai masalah dengan cara kajian dijalankan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Januari 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).