Langkau ke kandungan utama

Adakah melewatkan permulaan atau memulakan dos perencat calcineurin lebih rendah mengurangkan risiko pemulihan buah pinggang tertunda yang dipindahkan?

Mesej utama

Selepas pemindahan buah pinggang (prosedur pembedahan di mana buah pinggang dipindahkan daripada seorang penderma kepada orang lain, iatu penerima), mungkin mengambil masa beberapa hari untuk buah pinggang mula berfungsi, terutama jika penderma buah pinggang lebih berusia atau buah pinggang tiada pengaliran darah untuk masa yang lama.

Rawatan terbaik untuk orang yang berisiko tinggi pemulihan tertunda ini masih tidak jelas. Pilihan semasa termasuklah menangguhkan penggunaan ubat mencegah penolakan, dipanggil perencat calcineurin, atau memulakannya pada dos lebih rendah.

Apakah rawatan untuk kegagalan buah pinggang ?

Pemindahan buah pinggang (prosedur pembedahan di mana buah pinggang dipindahkan daripada seorang penderma kepada orang lain) adalah rawatan pilihan kebanyakan orang dengan kegagalan buah pinggang kerana ia memperbaik kualiti hidup dan melenyapkan keperluan dialisis (suatu prosedur di mana mesin diguna untuk mengeluarkan produk buangan, garam dan cecair berlebihan daripada darah apabila buah pinggang tidak berfungsi dengan baik). Selepas pemindahan, mungkin mengambil masa beberapa hari untuk buah pinggang mula berfungsi. Keadaan ini dipanggil fungsi graf tertunda. Penundaan ini lebih cenderung apabila buah pinggang penderma yang lebih berusia (biasanya berumur lebih 50 tahun) atau yang meninggal dunia akibat keadaan jantung, atau apabila buah pinggang telah disimpan lama tanpa pengaliran darah. Rawatan terbaik untuk orang yang berisiko tinggi untuk pemulihan tertunda ini masih tidak jelas. Beberapa pendekatan termasuk melambatkan permulaan perencat calcineurin (ubat imunosupresif yang melemahkan sistem imun badan dan menghalangnya daripada menyerang buah pinggang yang dipindahkan) atau menggunakannya pada dos yang lebih rendah.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu jika menangguhkan permulaan atau memulakan perencat calsineurin pada dos lebih rendah boleh mengurangkan risiko pemulihan tertunda buah pinggang.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan manfaat dan mudarat permulaan perencat calcineurin secara rawak atau pada dos lebih rendah untuk penerima pemindahan buah pinggang dan berisiko fungsi buah pinggang tertunda serta-merta selepas menerima buah pinggang.

Kami membanding dan merumus hasil-hasil kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami mengulas 12 kajian rawak dengan 2230 peserta , yang membandingkan permulaan lewat dengan permulaan awal atau dos perencat calcineurin standard dikurangkan bagi penerima pemindahan buah pinggang yang berisiko tinggi untuk pemulihan buah pinggang tertunda.

Semua kajian dilakukan di Eropah. Kira-kira 60% daripada peserta adalah lelaki, mencerminkan perkadaran jangkaan dalam populasi terhadap terapi penggantian buah pinggang di Eropah. Mujngkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam pemulihan tertunda buah pinggang atau risiko penolakan akut bagi mana-mana strategi yang dinilai. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam fungsi buah pinggang, risiko kematian atau jangkitan antara kumpulan.

Apakah batasan bukti?

Kami kurang yakin terhadap bukti kerana kajian-kajian menggunakan pelbagai rawatan tambahan, dan kebanyakan kajian telah diterbitkan lebih daripada 10 tahun yang lalu.

Adakah bukti ini mutakhir?

Ulasan-ulasan adalah terkini hingga 11 Disember 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Petikan
Oliveras L, López-Vargas P, Melilli E, Codina S, Royuela A, Coloma López A, Favà A, Manonelles A, Couceiro C, Lloberas N, Cruzado JM, Montero N. Delayed initiation or reduced initial dose of calcineurin-inhibitors for kidney transplant recipients at high risk of delayed graft function. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 4. Art. No.: CD014855. DOI: 10.1002/14651858.CD014855.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan