Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat dan risiko antagonis faktor nekrosis tumor-alfa untuk rawatan penyakit Crohn kepada kanak-kanak?

Mesej utama

• Infliximab boleh mengakibatkan sedikit peningkatan dalam induksi remisi klinikal (ketiadaan gejala yang ketara) dan remisi endoskopik (ketiadaan keradangan yang dilihat semasa pemeriksaan kolon) berbanding rawatan konvensional.

• Penggunaan terapi antagonis faktor nekrosis tumor-alfa (anti-TNF) untuk induksi remisi dalam kalangan kanak-kanak dengan penyakit Crohn mempunyai bukti yang terhad.

• Lebih banyak kajian yang direka baik diperlukan untuk membandingkan anti-TNF dengan rawatan lain dan untuk meneroka masa, dos, dan butiran lain yang berkaitan dengan rawatan ini.

Bagaimanakah rawatan untuk penyakit Crohn dalam kalangan kanak-kanak?

Pilihan rawatan awal untuk penyakit Crohn dalam kalangan kanak-kanak adalah steroid, nutrisi enteral (campuran makanan cecair khas yang mengandungi semua nutrien yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pemakanan), imunomodulator (bahan yang mengubah suai aktiviti sistem imun), dan kadang-kadang biologik (ubat-ubatan yang diperbuat daripada organisma hidup) seperti anti-TNF.

Oleh kerana perjalanan penyakit Crohn yang lebih agresif kepada kanak-kanak dan keradangan yang kadang-kadang ekstensif, anti-TNF sering digunakan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada anti-TNF selamat dan berkesan untuk rawatan induksi penyakit Crohn kepada kanak-kanak. Rawatan induksi merujuk kepada fasa awal rawatan yang digunakan untuk mengurangkan keradangan dan gejala, seterusnya membawa kepada remisi (apabila gejala penyakit berkurangan atau hilang sepenuhnya).

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari penyelidikan yang mengkaji anti-TNF sebagai rawatan induksi berbanding rawatan konvensional (steroid atau nutrisi enteral), plasebo (rawatan semu), atau tiada rawatan kepada kanak-kanak yang menghidap penyakit Crohn. Kami telah merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berasaskan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami hanya menemui satu kajian yang melibatkan 100 orang kanak-kanak dengan penyakit Crohn, berumur 3 hingga 17 tahun, yang dirawat dengan infliximab (anti-TNF) sebagai rawatan utama (langkah pertama dalam menguruskan penyakit) (50 orang kanak-kanak) atau rawatan konvensional (steroid [prednisolone oral] atau nutrisi enteral eksklusif) (50 orang kanak-kanak). Kajian tersebut telah dijalankan di tiga buah negara Eropah. Kanak-kanak tersebut telah disusuli selama satu tahun.

Keputusan kajian mencadangkan bahawa infliximab mungkin mengakibatkan sedikit peningkatan dalam induksi remisi klinikal (ketiadaan gejala yang ketara) dan remisi endoskopik (ketiadaan keradangan yang dilihat semasa pemeriksaan kolon) berbanding rawatan konvensional. Kajian disertakan tidak mengkaji morbiditi (penyakit) atau kematian berkaitan dengan penyakit Crohn disebabkan oleh sebarang akibat, atau kesan yang tidak diingini yang serius atau ringan.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti ini kerana berkemungkinan peserta dalam kajian tersebut mengetahui rawatan yang mereka terima; kajian yang disertakan berskala kecil; dan tidak terdapat kajian yang mencukupi untuk memastikan ketepatan hasilnya.

Kajian yang lebih besar mengkaji manfaat dan kemudaratan anti-TNF berbanding rawatan konvensional untuk kanak-kanak yang menghidap penyakit Crohn aktif adalah diperlukan. Antara hasil penting yang perlu disertakan ialah morbiditi, kematian, dan kesan tidak diingini yang serius.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Ilie Fadzilah Hashim (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Sepúlveda A, de la Piedra Bustamante MJ, Orlanski-Meyer E, Villarroel del Pino LA, Olivares Labbe MT, Gana JC. Tumor necrosis factor-alpha antagonists for treatment of pediatric Crohn’s disease. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 8. Art. No.: CD014497. DOI: 10.1002/14651858.CD014497.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan