Langkau ke kandungan utama

Adakah penggunaan perkhidmatan teleperubatan untuk pengguguran secara perubatan lebih baik daripada rawatan di klinik?

Apakah yang dimaksudkan dengan pengguguran kandungan secara perubatan?

Pengguguran secara perubatan adalah pengguguran di mana seseorang mengakhiri kehamilan dengan menggunakan gabungan dua jenis ubat iaitu mifepristone dan misoprostol, atau dengan menggunakan misoprostol sahaja. Penjagaan pengguguran secara perubatan terdiri daripada tiga fasa yang berbeza: pra-pengguguran, pengguguran, dan pasca-pengguguran. Fasa ini termasuk komponen penjagaan yang berbeza. Fasa pra-pengguguran merangkumi maklumat pra-pengguguran, kaunseling, jika diperlukan, dan penilaian kelayakan. Fasa pengguguran merangkumi arahan, pengeluaran, dan pemberian ubat-ubatan. Fasa pasca-pengguguran merangkumi penilaian sama ada pengguguran berjaya dan boleh juga melibatkan perkhidmatan kesihatan reproduktif yang lain. Beberapa komponen penjagaan, seperti penyediaan maklumat, kaunseling, dan kaunseling kontraseptif jika diperlukan, berada dalam ketiga-tiga fasa.

Apakah teleperubatan untuk pengguguran secara perubatan?

Teleperubatan adalah model penyampaian perkhidmatan untuk pengguguran di mana penjagaan diberikan oleh kakitangan kesihatan menggunakan telekomunikasi, seperti komunikasi dalam talian, mesej teks, telefon, atau persidangan video, untuk memberikan penjagaan. Ulasan ini memberi tumpuan kepada model teleperubatan untuk penyediaan rawatan pengguguran. Teleperubatan boleh digunakan untuk menyokong wanita sama ada untuk sebahagian atau untuk keseluruhan proses pengguguran, dari fasa pra-pengguguran hingga pasca-pengguguran.

Apakah yang ingin kita ketahui?

Penyelidikan sebelumnya menunjukkan bahawa model teleperubatan untuk pengguguran secara perubatan mungkin selamat, berkesan, dan boleh diterima oleh mereka yang inginkan pengguguran. Walau bagaimanapun, data tersedia adalah terhad atas sebab-sebab yang berkaitan dengan pelaporan hasil, kekurangan kumpulan perbandingan, data yang hilang, dan oleh itu kesimpulan mesti dibuat dengan berhati-hati. Dalam ulasan ini kami bertujuan untuk membina asas bukti yang lebih mantap dengan menyiasat model menggunakan telekomunikasi untuk memberikan penjagaan yang berkaitan dengan satu atau lebih fasa pengguguran. Kepentingan utama kami adalah model penjagaan di mana telekomunikasi digunakan sebagai makna utama penyampaian perkhidmatan dari fasa pra-pengguguran hingga fasa pasca-pengguguran, berbanding rawatan di klinik untuk fasa yang sesuai. Kami juga berminat dengan model penjagaan di mana telekomunikasi digunakan untuk memberikan rawatan dalam satu fasa atau gabungan dua fasa pengguguran.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan teleperubatan untuk pengguguran secara perubatan dengan penjagaan di klinik.

Apakah yang kami temui?

Secara keseluruhan, kami mendapati bahawa sebanyak 22 kajian, termasuk sejumlah 131,278 individu yang menjalani pengguguran secara perubatan pada trimester pertama. Kajian ini telah dijalankan di 10 buah negara yang berpendapatan sederhana dan tinggi dan hasil kajian mengenai tiga intervensi: model teleperubatan pra- hingga pasca-pengguguran untuk pengguguran secara perubatan (sembilan kajian); model teleperubatan pra-pengguguran/pengguguran (empat kajian); dan model teleperubatan pasca-pengguguran (sembilan kajian). Jenis telekomunikasi yang digunakan berbeza dalam kajian-kajian yang disertakan dan mengandungi komunikasi serentak (masa nyata) dan tidak serentak (tidak berlaku dalam masa nyata).

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa model teleperubatan pra- hingga pasca-pengguguran untuk pengguguran secara perubatan berkemungkinan serupa dari segi kesannya terhadap pengguguran yang berjaya, kehamilan yang tidak disengajakan, dan kepatuhan terhadap rejimen pengguguran secara perubatan, jika dibandingkan dengan rawatan di klinik. Ini selaras dengan penemuan kami berkaitan perbandingan model teleperubatan pra-pengguguran/pengguguran dengan rawatan di klinik, dan model teleperubatan pasca-pengguguran dengan rawatan di klinik. Berkenaan dengan model teleperubatan pasca-pengguguran, kami melihat bahawa model-model ini mungkin mengakibatkan kadar pematuhan yang lebih tinggi terhadap prosedur susulan jika dibandingkan dengan penjagaan di klinik. Secara keseluruhan, penemuan kami menunjukkan bahawa penggunaan teleperubatan untuk pengguguran secara perubatan pada peringkat awal kehamilan boleh menghasilkan keputusan yang serupa dari segi keselamatan, keberkesanan, dan penerimaan jika dibandingkan dengan penjagaan di klinik.

Apakah batasan bukti?

Kajian rawak yang cukup besar dan kajian bukan rawak dengan analisis yang sesuai adalah agak sedikit, terutama untuk intervensi utama yang kami perlukan. Sebilangan besar kajian telah dijalankan di fasiliti bersumber tinggi dan majoriti yang peserta terlibat hamil sehingga sembilan minggu. Kebanyakan kajian merangkumi beberapa penjagaan di klinik untuk mengesahkan usia kehamilan atau hasil pengguguran. Walau bagaimanapun, untuk intervensi utama kami, lima daripada sembilan kajian tidak melakukan ultrasound rutin, ujian makmal, atau pemeriksaan fizikal untuk mengesahkan tempoh kehamilan atau lokasi kehamilan sebelum pengguguran.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Bukti terkini adalah sehingga 13 Ogos 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Muhammad Hafizuddin Bin Hamzan. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Cleeve A, Lavelanet A, Gemzell-Danielsson K, Endler M. The use of telemedicine services for medical abortion. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 6. Art. No.: CD013764. DOI: 10.1002/14651858.CD013764.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan