Mesej utama
- Kami tidak tahu sama ada antibiotik yang diambil melalui mulut atau diberikan secara suntikan (antibiotik sistemik) adalah rawatan yang berkesan untuk otitis media suppuratif kronik (CSOM; sejenis jangkitan telinga jangka panjang), dan sama ada ia membawa kepada kesan yang tidak diingini. Bukti mengenai kesan yang tidak diingini adalah sangat terhad.
- Kajian masa depan harus lebih besar, menggunakan kaedah yang ketat, memasukkan kumpulan tertentu yang berisiko CSOM, menyusuli peserta sekurang-kurangnya enam bulan, dan menilai hasil yang penting bagi pesakit dan profesional penjagaan kesihatan.
Apakah otitis media suppuratif kronik ?
Otitis media suppuratif kronik (CSOM) adalah radang dan jangkitan pada telinga tengah yang berlangsung selama dua minggu atau lebih. Orang dengan CSOM biasanya mengalami discaj berulang atau berterusan – cecair yang keluar dari lubang atau koyakan di gegendang telinga – dan kehilangan pendengaran.
Bagaimana CSOM dirawat?
CSOM boleh dirawat dengan antibiotik (ubat-ubatan yang melawan jangkitan bakteria), yang diambil secara oral atau diberikan sebagai suntikan (iaitu rawatan sistemik di mana seluruh tubuh dirawat). Antibiotik sistemik boleh digunakan:
- bersendirian;
- dalam kombinasi dengan antibiotik dalam bentuk titisan, semburan, salap, atau krim (topikal, iaitu rawatan permukaan setempat); atau
- dalam kombinasi dengan rawatan lain seperti steroid (ubat anti-radang) atau antiseptik (bahan yang menghentikan atau melambatkan pertumbuhan mikro-organisma).
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami bertujuan untuk mengetahui keberkesanan antibiotik sistemik untuk merawat CSOM. Khususnya, kami ingin mengetahui sama ada antibiotik sistemik menghentikan discaj telinga, memperbaiki kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan, atau mempengaruhi pendengaran orang. Kami juga ingin mengetahui sama ada antibiotik sistemik menyebabkan sakit, ketidakselesaan atau kerengsaan di telinga, kesan yang tidak diingini (seperti pening atau pendarahan telinga), atau sebarang komplikasi serius.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan antibiotik sistemik dengan tiada rawatan, plasebo (ubat yang tidak aktif atau 'palsu'), atau antibiotik sistemik lain pada orang dari pelbagai umur. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami dalam bukti, berdasarkan faktor-faktor tertentu seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Ini adalah kemaskini ulasan pertama yang diterbitkan pada 2021. Kami menemui 21 kajian yang melibatkan seramai 2525 orang yang menghidap CSOM. Peserta diikuti sehingga satu tahun selepas rawatan. Empat kajian memberikan maklumat mengenai pembiayaan dan sokongan lain: dua kajian dibiayai secara umum, dan syarikat farmaseutikal membekalkan ubat dalam dua kajian yang lain.
Kajian membandingkan antibiotik sistemik:
- tanpa rawatan (satu kajian);
- ditambah antibiotik topikal kepada antibiotik topikal sahaja (tujuh kajian);
- ditambah rawatan lain (selain antibiotik topikal sahaja), terhadap rawatan yang sama tanpa antibiotik sistemik (empat kajian);
- kepada antibiotik sistemik yang berbeza (10 kajian).
Keputusan utama
Antibiotik sistemik sahaja berbanding tiada rawatan
Kami tidak tahu sama ada antibiotik sistemik sahaja lebih baik atau lebih buruk daripada tiada rawatan.
Antibiotik sistemik ditambah antibiotik topikal berbanding antibiotik topikal sahaja
Antibiotik sistemik ditambah antibiotik topikal mungkin kurang atau tidak berkesan terhadap discaj telinga berhenti setelah satu hingga dua minggu, berbanding dengan antibiotik topikal sahaja (lima kajian). Kami tidak tahu sama ada antibiotik sistemik yang ditambah kepada antibiotik topikal mempunyai kesan positif atau negatif yang lain.
Antibiotik sistemik ditambah rawatan lain (selain antibiotik topikal sahaja), berbanding rawatan yang sama tanpa antibiotik sistemik
Kami tidak tahu sama ada antibiotik sistemik berkesan atau membawa kepada kejadian memudaratkan apabila ditambah kepada rawatan selain antibiotik topikal sahaja.
Perbandingan antara antibiotik sistemik yang berlainan
Kami tidak tahu sama ada sebilangan antibiotik sistemik adalah lebih baik berbanding yang lain.
Secara umum, bukti adalah terhad, yang menjadikannya sukar untuk menentukan sama ada terdapat kesan antibiotik sistemik yang berpotensi memudaratkan. Walau bagaimanapun, adalah lebih diketahui bahawa antibiotik sistemik boleh mempunyai kesan tidak diingini, seperti cirit-birit atau mual, dan juga membawa risiko tindak balas alahan sistemik seperti ruam kulit. Risiko kejadian ini dijangka serupa dengan merawat jangkitan yang lain dengan dos dan tempoh rawatan yang setanding dengan CSOM. Terdapat juga kebimbangan yang lebih luas berkaitan dengan penggunaan berlebihan antibiotik sistemik dan peningkatan rintangan terhadap antibiotik.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai sedikit hingga tiada keyakinan terhadap bukti kerana: terdapat terlalu sedikit kajian; kebanyakan kajian adalah kecil; beberapa kajian menggunakan kaedah yang mungkin memasukkan kesilapan dalam keputusannya; dan ada yang melaporkan sedikit maklumat.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini hingga Jun 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Yean Albert (Manipal Academy of Higher Education). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.