Mesej utama
• Terdapat sedikit bukti tentang kesan kaedah berbeza untuk mencegah kerengsaan kulit disebabkan oleh hubungan berpanjangan dengan kencing atau najis pada dewasa. Sesetengah pembersih kulit mungkin lebih baik daripada sabun dan air, dan menggunakan pembersih kulit bersama-sama dengan produk leave-on (pelembap, pelindung kulit ) mungkin berfungsi lebih baik daripada menggunakan pembersih kulit sahaja, tetapi kami sangat tidak pasti tentang hasilnya.
• Untuk mengetahui cara terbaik untuk mencegah kerengsaan kulit, kami memerlukan lebih banyak kajian tentang kaedah piawai yang diuji dalam persekitaran penjagaan yang berbeza .
Apakah dermatitis yang berkaitan dengan inkontinens?
Dermatitis berkaitan inkontinens adalah salah satu masalah kulit yang paling biasa pada dewasa yang menitis kencing, najis, atau kedua-duanya. Kulit menjadi merah dan sering sakit atau gatal, kadang-kadang membawa kepada luka terbuka. Pendekatan utama untuk mencegah masalah ini termasuk pembersihan kulit dan menggunakan produk untuk melindungi kulit, seperti pelembap, pelindung kulit , atau barrier (produk leave-on).
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui yang mana produk pembersih kulit dan produk leave-on yang paling berkesan untuk mencegah dermatitis yang berkaitan dengan inkontinens pada dewasa. Kami juga ingin mengetahui sama ada pembersih kulit dan produk leave-on mempunyai sebarang kesan tidak diingini, seperti sakit, ruam kulit atau gatal-gatal.
Apakah yang kami lakukan?
Kami secara teratur telah mencari kajian yang membandingkan kaedah berbeza untuk mencegah dermatitis yang berkaitan dengan inkontinens (pembersihan kulit , produk leave-on atau kedua-duanya) di persekitaran penjagaan kesihatan . Peserta dalam kajian itu mestilah berumur 18 tahun ke atas dan tidak mengalami dermatitis yang berkaitan dengan inkontinens pada permulaan kajian. Kami merumuskan keputusan dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami temui?
Kami menemui 15 kajian yang melibatkan 1020 dewasa yang inkontinen (yang menitis kencing, najis, atau kedua-duanya) dan yang tinggal di rumah penjagaan atau berada di hospital. Tiga belas daripada kajian ini mempunyai saiz sampel yang kecil, manakala dua kajian melibatkan lebih 170 dewasa. Enam kajian melihat kepada keputusan dalam jangka pendek (sehingga 7 hari), empat dalam jangka sederhana (8 hari hingga 1 bulan), dan satu dalam jangka panjang (1 bulan hingga 3 bulan). Tiada kajian lain yang menjelaskan bila mereka mengukur keputusan.
Sukar untuk menggabungkan dan membandingkan keputusan kerana kajian yang disertakan menggunakan banyak produk berbeza dan mengukur keputusan dengan cara berbeza .
Tiga kajian membandingkan pembersih kulit berbeza , lima membandingkan produk leave-on yang berbeza , dan tujuh kajian menilai gabungan pembersih kulit dan produk leave-on.
Keputusan utama
Satu kajian mencadangkan bahawa menggunakan produk pembersih lebih berkesan untuk mencegah dermatitis yang berkaitan dengan inkontinens dibandingkan dengan sabun dan air, tetapi kajian lain menemui sedikit atau tiada perbezaan antara kedua-dua jenis rawatan ini. Begitu juga, satu kajian menunjukkan bahawa menggabungkan pembersih kulit dengan produk leave-on lebih berkesan daripada pembersihan sahaja, manakala kajian lain mencadangkan terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam keberkesanan antara kedua-dua pendekatan. Kami sangat tidak pasti tentang keputusan semua perbandingan, jadi kami tidak pasti sama ada sebarang rawatan berfungsi lebih baik daripada yang lain untuk mencegah dermatitis yang berkaitan dengan inkontinens.
Terdapat sedikit atau tiada perbezaan bilangan orang yang mengalami kesakitan yang berkaitan dengan rawatan di kalangan mereka yang dirawat dengan gabungan produk pembersihan dan produk leave-on pada kulit dan mereka yang dirawat dengan pembersihan sahaja. Begitu juga, boleh terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan orang yang mengalami sakit berkaitan rawatan di kalangan mereka yang dirawat dengan pembersih kulit tanpa bilas ditambah krim kulit dibandingkan mereka yang dirawat dengan sabun dan air diikuti dengan losyen.
Menggunakan pembersihan kulit serta produk leave-on boleh menyebabkan kegatalan pada lebih sedikit orang dibandingkan rutin jaga kulit tanpa produk leave-on.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami tidak yakin dengan bukti kerana kebanyakan kajian yang disertakan melibatkan beberapa orang dan tidak melaporkan keputusan secara konsisten. Di samping itu, terdapat banyak variasi dalam produk dan prosedur yang digunakan.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga 29 April 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).