Langkau ke kandungan utama

Apakah faedah dan risiko kelahiran awal yang dirancang untuk wanita yang mempunyai tekanan darah tinggi semasa hamil selepas 34 minggu?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Kelahiran awal yang dirancang dapat mengurangkan komplikasi bagi wanita, tanpa peningkatan risiko pembedahan caesarean.

  • Kelahiran awal yang dirancang mungkin mengurangkan risiko kelahiran mati dan mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko kemasukan ke unit neonatal (unit penjagaan khas bayi). Kesan terhadap kematian neonatal adalah tidak jelas.

  • Kajian lanjut adalah diperlukan untuk memahami kesan kelahiran awal yang dirancang terhadap kesihatan jangka panjang wanita dan kanak-kanak.

Apakah tekanan darah tinggi semasa kehamilan?

Tekanan darah tinggi menjejaskan 1 daripada 10 kehamilan. Wanita yang mempunyai tekanan darah tinggi semasa kehamilan adalah lebih berisiko mengalami komplikasi. Pra-eklampsia (tekanan darah tinggi dengan protein dalam kencing atau menjejaskan organ lain) adalah jenis masalah tekanan darah tinggi yang paling serius semasa kehamilan dan disebabkan apabila terdapat masalah yang menjejaskan uri.

Jika tekanan darah tinggi tidak dikesan dan dirawat lebih awal, komplikasi boleh berlaku. Ini termasuk sawan (eklampsia), strok, fungsi darah dan hati yang tidak normal (sindrom HELLP), kesukaran bernafas kerana cecair di dalam paru-paru (edema pulmonari), pelepasan uri (gangguan plasenta), kegagalan hati dan kegagalan buah pinggang. Bayi juga mungkin terjejas, kerana ia mungkin tidak membesar dengan baik. Ini boleh menyebabkan bayi memerlukan lebih banyak sokongan selepas kelahiran dan peluang yang lebih tinggi untuk dimasukkan ke unit penjagaan khas bayi. Malangnya, ia juga boleh mengakibatkan bayi lahir mati.

Bagaimanakah tekanan darah tinggi semasa kehamilan dirawat?

Bagi wanita yang mengalami tekanan darah tinggi semasa kehamilan, pemantauan rapi adalah dinasihatkan, yang mungkin termasuk pemeriksaan tekanan darah dan kencing yang biasa serta ujian darah dan imbasan ultrasound. Sesetengah wanita mungkin perlu mengambil ubat untuk membantu mengekalkan tekanan darah mereka dalam julat selamat.

Kelahiran awal yang dirancang adalah satu-satunya rawatan yang telah terbukti dapat mengurangkan risiko komplikasi serius yang berlaku, tetapi masa kelahiran bergantung pada peringkat kehamilan yang dicapai dan sama ada terdapat tanda-tanda atau gejala komplikasi, serta jenis masalah tekanan darah.

Bagi wanita yang mengalami tekanan darah tinggi pada awal kehamilan (kurang daripada 34 minggu), pemantauan rapi adalah dinasihatkan melainkan jika berlaku komplikasi serius, kerana risiko kepada bayi yang berkaitan dengan kelahiran pramatang awal. Fasa akhir dalam kehamilan (selepas 34 minggu), keseimbangan risiko dan manfaat adalah kurang pasti.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada kelahiran awal yang dirancang untuk wanita yang mengalami tekanan darah tinggi semasa kehamilan selepas 34 minggu adalah lebih baik daripada pemantauan yang teliti (pengurusan jangkaan) dalam mengurangkan komplikasi untuk wanita dan bayi. Kami juga ingin mengetahui sama ada kelahiran awal yang dirancang dikaitkan dengan sebarang kesan tidak diingini.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang melihat kepada kelahiran awal yang dirancang dibandingkan dengan pemantauan yang teliti untuk wanita yang mengalami sebarang jenis masalah tekanan darah tinggi semasa hamil, selepas 34 minggu. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui enam kajian yang melibatkan 3491 wanita dengan tekanan darah tinggi semasa kehamilan dijalankan antara tahun 2002 dan 2022. Lima daripada kajian ini dijalankan di negara berpendapatan tinggi (UK, Belanda, USA). Salah satu kajian ini dijalankan di dua negara dikelaskan sebagai berpendapatan rendah (Zambia) dan berpendapatan sederhana rendah (India). Masa kelahiran awal yang dirancang berbeza-beza antara kajian, bergantung pada masa kajian berlangsung dan jenis masalah tekanan darah tinggi yang dinilai.

Keputusan utama

Kelahiran awal yang dirancang mengurangkan komplikasi bagi wanita yang mengalami tekanan darah tinggi semasa kehamilan selepas 34 minggu. Kelahiran awal yang dirancang selepas 34 minggu tidak meningkatkan risiko pembedahan caesarean. Kelahiran awal yang dirancang mungkin mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko kematian ibu.

Bagi bayi, kelahiran awal yang dirancang mungkin mengakibatkan pengurangan yang besar dalam risiko kelahiran mati, tetapi mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko kemasukan ke unit neonatal. Kelahiran awal yang dirancang mungkin mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko keseluruhan komplikasi serius selepas kelahiran, termasuk kematian neonatal, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami yakin dengan keputusan kami tentang kesan kelahiran awal yang dirancang terhadap risiko komplikasi keseluruhan bagi wanita dan risiko pembedahan caesarean. Kami kurang yakin dengan keputusan kami tentang kesan terhadap bayi, kerana bilangan kesan tidak diingini yang dilaporkan adalah rendah.

Adakah bukti ini yang terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga 16 Januari 2026.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Saw Le Er (RCSI-UCD Malaysia Campus). Dikemaskini oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Beardmore-Gray A, Rohwer C, Fernandez Turienzo C, Cluver CA. Planned early birth versus expectant management for hypertensive disorders from 34 weeks' gestation to term. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 5. Art. No.: CD009273. DOI: 10.1002/14651858.CD009273.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan