Mesej utama
Program latihan resusitasi bayi baru lahir (NRT) mungkin mengurangkan kematian bayi baru lahir dalam tempoh 28 hari pertama selepas kelahiran, terutamanya semasa 24 jam pertama dan 7 hari pertama selepas kelahiran.
Kajian masih diperlukan untuk mengetahui sama ada NRT mengurangkan kecederaan otak atau masalah perkembangan jangka panjang pada bayi selepas resusitasi.
Betapa penting latihan resusitasi semasa kelahiran?
Bayi baru lahir mungkin memerlukan resusitasi (pertolongan pertama diberikan apabila nafas atau degupan jantung tiada atau tidak mencukupi) semasa kelahiran. Kira-kira 1 dalam 10 bayi baru lahir yang cukup bulan hanya memerlukan tindakan mudah, seperti pengeringan dan rangsangan, untuk mula bernafas. Kira-kira 1 dalam 20 memerlukan sokongan tambahan, termasuk bantuan pernafasan. Sebilangan kecil bayi baru lahir memerlukan langkah yang lebih intensif, seperti tiub pernafasan, tekanan dada, atau ubat kecemasan. Perbezaan dalam kesihatan bayi boleh menjejaskan tindak balas mereka terhadap resusitasi. Contohnya, bayi yang dilahirkan terlalu awal lebih cenderung memerlukan bantuan perubatan semasa kelahiran, seperti bantuan pernafasan atau penjagaan lain yang menyelamatkan nyawa.
Terdapat pelbagai program latihan resusitasi bayi baru lahir (NRT) yang menyasarkan penyedia penjagaan kesihatan, termasuk doktor, bidan, jururawat, dan lain-lain. Sama ada program latihan ini mengurangkan kematian bayi baru lahir atau mencegah kecederaan otak atau masalah perkembangan jangka panjang akibat kekurangan oksigen belum dikaji. Ulasan kami pada tahun 2015 menemui penurunan dalam kematian bayi baru lahir selepas latihan, tetapi tiada kajian melihat pada kecederaan otak atau masalah perkembangan. Dalam kemas kini ini, kami ingin tahu sama ada kajian baharu menyokong penemuan kami tentang penurunan kematian bayi baru lahir dan sama ada sebarang kajian melaporkan kecederaan otak dan masalah perkembangan jangka panjang.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada program NRT mengurangkan kematian dalam 28 hari pertama selepas kelahiran, termasuk kematian dalam 24 jam pertama, 7 hari pertama, dan antara 8 dan 28 hari selepas kelahiran, dan sama ada program NRT mengurangkan kemungkinan kecederaan otak atau masalah perkembangan jangka panjang pada bayi.
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari kajian yang melihat pada latihan resusitasi untuk penyedia penjagaan kesihatan, termasuk doktor, bidan, jururawat, dan pihak lain yang terlibat dengan proses bersalin. Kami sertakan kajian yang melaporkan kematian bayi baru lahir dan/atau kecederaan otak atau masalah perkembangan. Kami melihat pada kajian yang membandingkan program NRT tanpa latihan atau dengan latihan yang sangat asas. Kami juga melihat pada kajian yang membandingkan program NRT sahaja dengan program NRT dengan komponen tambahan, seperti latihan penyegaran (penggalak).
Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemui?
Walaupun kami menyertakan 27 kajian (528,366 bayi baru lahir) dalam ulasan ini, hanya 1 hingga 4 kajian yang menyumbang kepada sebarang keputusan yang diberikan.
Bukti daripada kajian dalam tetapan sumber rendah menunjukkan NRT, dibandingkan tanpa latihan, berkemungkinan mengurangkan kematian bayi baru lahir dalam 24 jam pertama dan 7 hari pertama kehidupan.
Bukti daripada kajian dalam tetapan sumber rendah menunjukkan bahawa NRT, dibandingkan latihan yang sangat asas, boleh mengurangkan kematian bayi baru lahir dalam 28 hari pertama kehidupan dan berkemungkinan mengurangkan kematian bayi baru lahir dalam 24 jam dan 7 hari pertama kehidupan. NRT, dibandingkan dengan latihan sangat asas, mungkin tidak dapat mengurangkan kematian bayi baru lahir antara 8 dan 28 hari kehidupan.
Bukti adalah sangat tidak pasti sama ada NRT dengan latihan penggalak mempengaruhi kematian bayi baru lahir dalam 28 hari pertama kehidupan.
Tiada kajian melihat pada sama ada NRT mengurangkan kecederaan otak atau masalah perkembangan jangka panjang pada bayi selepas resusitasi.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami berkeyakinan sederhana hingga rendah terhadap bukti tersebut. Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad kerana kajian tersebut melibatkan pelbagai jenis peserta dan pelbagai jenis intervensi. Juga, hanya sebilangan kecil kajian yang menyumbang pada setiap keputusan; orang dalam kajian mengetahui rawatan yang mereka terima; dan sesetengah orang dalam kajian hilang semasa susulan. Kebanyakan kajian dilakukan dalam tetapan sumber rendah, jadi keputusannya mungkin tidak terpakai pada persekitaran sumber tinggi seperti negara maju.
Adakah bukti ini yang terkini?
Ulasan ini mengemaskini ulasan kami terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Jun 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Foo Sook Lee (RCSI & UCD Malaysia Campus). Dikemas kini oleh Cochrane Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




