Mesej utama
• Satu dalam setiap 20 hingga 30 bayi baru lahir menerima bantuan untuk mula bernafas sendiri dengan baik selepas lahir. 'Inflasi paru-paru berterusan' ialah apabila bayi diberi nafas yang panjang dan stabil, biasanya selama kira-kira 10 hingga 15 saat, untuk cuba bantu mereka memulakan pernafasan normal.
• Berbanding resusitasi berjeda standard, (apabila paru-paru bayi mengembung berulang kali selama kurang daripada 1 saat), memberi bayi baru lahir inflasi paru-paru berterusan boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan bayi yang mati di bilik bersalin atau sebelum keluar dari hospital.
• Inflasi berterusan mungkin mengurangkan keperluan bayi baru lahir untuk mesin pernafasan (pengudaraan mekanikal) berbanding inflasi standard.
Mengapakah sesetengah bayi sukar mewujudkan pernafasan berkesan semasa lahir?
Semasa lahir, paru-paru dipenuhi cecair yang perlu diganti dengan udara supaya bayi boleh bernafas dengan baik. Sesetengah bayi - terutamanya jika lahir terlalu awal (pramasa) - sukar mewujudkan pernafasan berkesan semasa lahir. Satu daripada setiap 20 hingga 30 bayi menerima resusitasi, atau bantuan untuk mula bernafas sendiri dengan baik.
Apakah inflasi paru-paru yang berterusan?
Pelbagai peranti diguna untuk membantu bayi baru lahir memulakan pernafasan normal. Sesetengah peranti membolehkan penjaga memberi inflasi berpanjangan (atau berterusan). 'Inflasi paru-paru berterusan' memberi bayi nafas awal yang panjang dan stabil, biasanya untuk kira-kira 10 hingga 15 saat, bagi membantu mengisi paru-paru dengan udara dan menolak cecair keluar. Ini memudahkan bayi baru lahir untuk mula bernafas sendiri. Inflasi berterusan mungkin lebih baik daripada 'resusitasi berjeda standard', yang melibatkan pemberian nafas pendek dan lembut melalui topeng, satu demi satu, untuk membantu paru-paru mengembang. Setiap nafas biasanya kurang daripada 1 saat.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu jika inflasi paru-paru berterusan (tempoh lebih daripada 1 saat) adalah lebih baik berbanding inflasi standard (sehingga dan termasuk tempoh 1 saat) untuk memperbaik survival dan hasil penting lain dalam kalangan bayi baru lahir yang menerima resusitasi semasa lahir.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan inflasi berterusan dengan inflasi standard dalam kalangan bayi dengan kesukaran untuk mewujudkan pernafasan berkesan semasa lahir. Kami banding dan rumuskan keputusan kajian-kajian tersebut dan menilai keyakinan terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor tertentu seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami temui?
Kami temui 14 kajian melibatkan 1766 bayi. Dalam semua kajian, bayi-bayi dilahirkan pramasa (dari 23 hingga 36 minggu gestasi). Inflasi berterusan berlangsung antara 15 dan 20 saat. Kebanyakan kajian memberi bayi satu atau lebih inflasi berterusan tambahan jika bayi tidak respon dengan baik terhadap inflasi pertama (contohnya, jika mereka terus alami kadar degup jantung rendah). Kami menganalisis dua kajian secara berasingan kerana, sebagai tambahan kepada inflasi berterusan atau standard, profesional penjagaan kesihatan merawat bayi dengan tekanan dada, satu langkah tambahan yang mungkin membantu mereka memulakan pernafasan normal.
Keputusan utama
Berbanding inflasi standard, inflasi berterusan tanpa tekanan dada boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan bayi yang:• mati di bilik bersalin; mati sebelum keluar hospital; mengalami penyakit paru-paru kronik (satu bentuk kecederaan paru-paru );• mengalami pneumotoraks (kebocoran udara ke dalam dada); atau mengalami perdarahan intraventrikel teruk (berdarah ke dalam ruang otak yang dipenuhi cecair).
Berbanding inflasi standard, inflasi paru-paru berterusan boleh kurangkan keperluan bayi baru lahir untuk mesin pernafasan (ventilasi mekanikal).
Berdasarkan bukti semasa, kami tidak boleh menolak perbezaan kecil hingga sederhana antara kedua-dua hasil rawatan ini.
Apakah batasan bukti?
Kami kurang yakin terhadap bukti kerana beberapa kajian boleh direka dengan lebih baik. Ibu bapa bayi, penjaga bilik bersalin, dan kakitangan lain yang terlibat dalam kajian mengetahui rawatan yang diberi kepada bayi tersebut. Bukan semua kajian memberi data tentang semua yang kami minati. Selain itu, hanya beberapa kajian meneroka pendekatan rawatan ini, dan bilangan bayi yang disertakan agak kecil.
Adakah bukti ini mutakhir?
Bukti adalah terkini sehingga April 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).