Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Bagaimanakah kita boleh meningkatkan penggunaan pemulihan jantung oleh pesakit?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Intervensi untuk menggalakkan penggunaan program pemulihan jantung (CR) boleh meningkatkan kadar pendaftaran pesakit.

  • Intervensi tersebut berkemungkinan membawa kepada peningkatan kecil dalam kehadiran pesakit ke program CR dan pesakit mungkin lebih cenderung untuk melengkapkan program tersebut.

  • Lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan untuk mengesahkan strategi yang paling sesuai untuk meningkatkan penggunaan CR. Memandangkan kebanyakan peserta terdiri daripada golongan lelaki, penyelidikan lanjut diperlukan terhadap golongan wanita, warga emas, dan kumpulan kurang diwakili yang lain bagi memastikan program CR adalah berkesan serta mudah diakses oleh semua.

Apakah pemulihan jantung (CR)?

CR adalah program terapi yang dikendalikan oleh profesional penjagaan kesihatan untuk membantu individu pulih dan meningkatkan kesihatan jantung mereka selepas serangan jantung, pembedahan jantung, atau masalah jantung yang lain termasuk kegagalan jantung. CR mampu meningkatkan pemulihan, mencegah masalah jantung masa hadapan, dan menyokong kesejahteraan keseluruhan. Ia sangat disyorkan bagi individu yang mempunyai kondisi jantung tersebut.

Apakah masalahnya?

Kadar penyertaan dalam program CR di seluruh dunia masih rendah dalam kalangan individu yang layak, walaupun manfaatnya jelas. Selain itu, dalam kalangan peserta yang menghadiri, ramai gagal untuk mengambil bahagian sepenuhnya atau tidak melengkapkan keseluruhan program tersebut.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami bertujuan mengetahui sama ada intervensi untuk menggalakkan penggunaan program CR boleh membantu lebih ramai orang untuk:

  • mendaftar ke dalam program CR;

  • menghadiri program CR; dan

  • melengkapkan program CR.

Kami juga ingin mengetahui sekiranya intervensi ini mendatangkan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang dilakukan?

Kami melakukan pencarian untuk kajian-kajian yang menguji pelbagai kaedah berbeza untuk meningkatkan penggunaan CR. Hanya kajian di mana peserta dibahagikan secara rawak kepada dua atau lebih kumpulan rawatan sahaja disertakan. Ini merupakan cara terbaik untuk kesetaraan antara kumpulan peserta, serta penyiasat dan peserta tidak mengetahui siapakah yang digolongkan dalam kumpulan yang mana. Kami mempertimbangkan kajian dalam semua bahasa. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan mereka, serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti tersebut berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui sejumlah 47 kajian (58 perbandingan) dengan 10,803 orang. Kajian yang disertakan kebanyakannya dijalankan di Amerika Utara dan Eropah, atau negara berpendapatan tinggi yang lain. Tiada kajian dari negara berpendapatan rendah dan sederhana disertakan. Peserta terdiri daripada pesakit yang mengalami keadaan seperti serangan jantung, angina, kegagalan jantung, atau telah menjalani prosedur seperti pembedahan pintasan atau pemasangan stent. Kebanyakan peserta adalah lelaki. Kajian ini menguji pelbagai intervensi, seperti pemulaan CR lebih awal, penggunaan peranti digital, penawaran CR di lokasi yang berbeza (seperti di rumah), sokongan rakan sebaya atau profesional penjagaan kesihatan, program khusus untuk wanita, serta pilihan program yang lebih singkat atau fleksibel.

Keputusan utama

Bagi individu yang mempunyai penyakit jantung, intervensi untuk menggalakkan penggunaan program CR:

  • mungkin meningkatkan pendaftaran CR pesakit (27 kajian, 726 orang);

  • mungkin membawa kepada peningkatan kecil dalam kadar kehadiran pesakit terhadap CR (18 kajian, 3024 orang);

  • mungkin meningkatkan kebarangkalian pesakit melengkapkan program CR (19 kajian, 5432 orang); dan

  • mungkin tidak meningkatkan jumlah kesan sampingan yang serius (6 kajian, 716 orang).

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Tahap keyakinan kami terhadap bukti adalah antara rendah hingga sederhana, memandangkan kajian yang disertakan menggunakan cara yang berbeza-beza dalam melaksanakan intervensi untuk meningkatkan penggunaan CR. Walaupun keputusan adalah menggalakkan, lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan untuk mengesahkan keberkesanan strategi tertentu, terutamanya bagi membantu pesakit melengkapkan program CR. Maklumat mengenai kos atau keberkesanan kos intervensi tersebut untuk menggalakkan penggunaan CR adalah terhad. Selain itu, penyelidikan lanjut diperlukan untuk merangkumi kumpulan lain seperti wanita, warga emas, dan penduduk negara berpendapatan rendah dan sederhana. Ini dapat membantu memastikan program CR adalah bermanfaat dan boleh diakses oleh semua.

Adakah bukti ini yang terkini?

Ulasan ini mengemas kini ulasan kami dari tahun 2019. Bukti ini adalah terkini sehingga Mac 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemahkan oleh Chua Li-Shun (IHT Rehabilitation Centre Kuala Lumpur). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Long L, Lin CZ, Davies P, Wells V, Grace SL, Taylor RS. Interventions to promote patient utilisation of cardiac rehabilitation. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 2. Art. No.: CD007131. DOI: 10.1002/14651858.CD007131.pub5.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan