Mesej utama
-
Probiotik (bakteria hidup yang memberi manfaat kesihatan kepada saluran penghadaman) yang diberikan kepada bayi baru lahir sebagai suplemen atau ditambah kepada formula bayi dalam enam bulan pertama kehidupan mungkin sedikit mengurangkan perkembangan ekzema (kulit kering, gatal dan meradang) pada bayi ketika berusia dua tahun, tetapi tidak ada kajian berkualiti yang mencukupi untuk kepastian keputusan.
-
Probiotik mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas perkembangan penyakit alahan seperti asma (keadaan pernafasan dengan gejala seperti batuk, berdehit, sesak dada dan sesak nafas) dan rinitis alahan (sering dipanggil demam hay), dan alahan pemakanan (kepada makanan dan susu lembu) semasa bayi.
-
Kesan sinbiotik (campuran probiotik dan prebiotik (serat tidak hadam yang membantu bakteria tumbuh)) adalah tidak pasti.
Apakah itu alahan?
Alahan kepada makanan tertentu, seperti susu lembu, kacang tanah dan telur, serta alahan bukan makanan, adalah perkara biasa. Sesetengah bayi menjadi sensitif kepada makanan, termasuk susu lembu, melalui saluran penghadaman mereka. Ini boleh dipengaruhi oleh bakteria dalam saluran penghadaman. Bayi yang lain boleh menjadi sensitif melalui kulit. Pemekaan kepada alergen (komponen yang menyebabkan tindak balas alahan) cenderung mengikut corak, dengan alahan kepada makanan berlaku dalam dua hingga tiga tahun pertama kehidupan, diikuti dengan alergen dalaman (contohnya, hama habuk rumah dan haiwan peliharaan) dan seterusnya alergen luar (contohnya, rai dan rumput Timothy) yang hadir sebagai alahan, ekzema atau rinitis alahan.
Bagaimana mereka boleh dicegah?
Probiotik membantu bakteria usus hidup dalam saluran penghadaman, dan terdapat kecenderungan sama ada probiotik mungkin menghalang pemekaan kepada alergen yang membawa kepada alahan makanan dan alahan bukan makanan.
Apakah yang kami lakukan?
Kami ingin mengetahui kesan pemberian probiotik atau sinbiotik (probiotik dengan tambahan prebiotik (serat tidak hadam yang membantu bakteria tumbuh)) kepada bayi dalam enam bulan pertama kehidupan dibandingkan dengan memberi plasebo (rawatan palsu) atau tiada rawatan, dalam pencegahan perkembangan penyakit alahan, termasuk asma, ekzema, rinitis alahan, alahan makanan dan alahan susu lembu.
Kami telah mencari kajian yang memberi bayi probiotik atau sinbiotik sebagai intervensi dibandingkan tanpa probiotik atau sinbiotik semasa enam bulan pertama kehidupan. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian ini dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami memasukkan 24 kajian yang melibatkan 7077 pasangan ibu dan bayi.
Probiotik boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam asma, rinitis alahan dan alahan susu lembu ketika berusia dua tahun. Probiotik boleh mengurangkan sedikit ekzema ketika berusia dua tahun, tetapi tidak ada kajian berkualiti yang mencukupi untuk kita pasti tentang keputusan. Probiotik boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas berlakunya alahan makanan ketika berusia dua tahun, tetapi bukti sangat tidak pasti.
Bukti sangat tidak pasti tentang kesan sinbiotik pada ekzema ketika berusia dua tahun. Sinbiotik boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam alahan makanan ketika berusia dua tahun. Kami tidak menemui data untuk kesan sinbiotik pada asma, rinitis alahan dan alahan susu lembu ketika berusia dua tahun.
Makanan tambahan probiotik atau sinbiotik boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam potensi kesan tidak diingini, termasuk jangkitan bakteria probiotik ketika berusia dua tahun. Tiada kesan yang tidak diingini serius yang berkaitan dengan penggunaan probiotik atau sinbiotik dilaporkan.
Apakah batasan bukti?
Kami juga mempunyai kebimbangan tentang kaedah beberapa kajian dijalankan. Tidak semua kajian memberikan data mengenai semua aspek yang kami ingin ketahui. Kebanyakan kajian melihat kepada probiotik dan melaporkan mengenai ekzema. Tidak ada kajian yang mencukupi untuk kita memastikan tentang kesan probiotik dan sinbiotik pada penyakit alahan yang lain dan alahan pemakanan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga Disember 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Dikmaskini. Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia).