Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat dan mudarat pyronaridine-artesunate untuk merawat malaria Plasmodium falciparum yang tidak rumit?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Pyronaridine-artesunate berkesan dalam merawat malaria Plasmodium falciparum yang tidak rumit (sejenis malaria yang kurang serius).

  • Pyronaridine-artesunate secara amnya adalah selamat, tetapi sesetengah orang yang menerimanya menjalani ujian darah yang menunjukkan kerengsaan hati. Ini biasanya tidak bertahan lama dan tidak membuat orang berasa sakit.

Apakah itu malaria?

Malaria ialah penyakit tropika yang serius yang disebarkan kepada manusia oleh nyamuk yang dijangkiti parasit yang dipanggil Plasmodium falciparum. Malaria Plasmodium falciparum yang tidak rumit adalah bentuk malaria yang kurang serius yang boleh berkembang menjadi malaria yang serius jika tidak dirawat.

Apakah pyronaridine-artesunate untuk rawatan malaria?

Pyronaridine-artesunate ialah gabungan ubat-ubatan untuk merawat malaria yang tidak rumit dan dimasukkan dalam sekumpulan ubat-ubatan yang dipanggil terapi gabungan berasaskan artemisinin. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan merawat orang yang menghidap malaria dengan terapi gabungan berasaskan artemisinin untuk membantu mencegah malaria daripada menjadi lebih rintang terhadap rawatan (di mana ubat-ubatan kurang atau tidak lagi berkesan terhadap parasit).

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin menilai bukti baharu dan yang telah dikaji semula sebelum ini untuk mengetahui sama ada pyronaridine-artesunate berkesan dan selamat dalam merawat malaria Plasmodium falciparum yang tidak rumit.

Apakah yang dilakukan?

Dalam kemas kini ulasan ini, kami telah mencari kajian yang membandingkan manfaat pyronaridine-artesunate dengan terapi gabungan berasaskan artemisinin yang lain untuk menilai keberkesanannya terhadap malaria Plasmodium falciparum , dan telah mencari kajian yang lain yang membandingkan pyronaridine-artesunate dan pyronaridine sahaja dengan ubat yang lain untuk menilai potensi kesan tidak diingini. Kami juga mencari maklumat sama ada pesakit menerima ubat tersebut (kebolehterimaan), dan sama ada ia boleh digunakan dengan mudah dan pada kos yang rendah (kebolehlaksanaan).

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menemui 15 kajian dengan 7295 orang yang menyumbang ke arah penilaian kami terhadap manfaat, kesan tidak diingini, kebolehterimaan, dan kebolehlaksanaan. Lima kajian dibandingkan manfaat dan kesan tidak diingini pyronaridine-artesunate dengan artemeter-lumefantrine dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak dari semua peringkat umur di Afrika dan Asia. Salah satu kajian ini juga membanding manfaat dan kesan tidak diingini pyronaridine-artesunate dengan artesunate-amodiaquine dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak yang lebih tua di Afrika, manakala satu lagi kajian membandingkan manfaat dan kesan tidak diingini pyronaridine-artesunate dengan artesunate-mefloquine dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak yang lebih tua di Afrika dan Asia. Lapan kajian lain melaporkan keselamatan ubat-ubatan tersebut, termasuk satu kajian terhadap ibu-ibu mengandung. Satu kajian melaporkan kebolehterimaan dan kebolehlaksanaan pyronaridine-artesunate.

Kami menemui bahawa pyronaridine-artesunate berkesan untuk merawat malaria Plasmodium falciparum yang tidak rumit, dan mungkin boleh sekurang-kurangnya sama baik atau lebih baik daripada terapi gabungan berasaskan artemisinin yang sedia ada, walaupun bukti adalah terhad untuk perbandingan terhadap beberapa terapi gabungan berasaskan artemisinin (kami yakin secara sederhana dengan keputusan untuk artemeter-lumefantrine, dan mempunyai keyakinan rendah hingga sederhana untuk artesunate-amodiaquine dan artesunate-mefloquine). Kami yakin bahawa pyronaridine-artesunate meningkatkan risiko mendapat keputusan ujian darah yang tidak normal yang menunjukkan kesan pada hati. Kami tidak menemui bukti bahawa sebarang kecederaan hati sedemikian adalah teruk atau tidak dapat dipulihkan. Kami tidak tahu cara pyronaridine-artesunate menjejaskan orang yang sudah mengalami kerosakan hati.

Bukti terhad menunjukkan bahawa pyronaridine-artesunate dianggap sebagai rawatan yang boleh diterima, dan kebanyakan orang dapat mengikuti rawatan seperti yang disyorkan. Kami tidak menemui bukti tentang keberkesanan-kos ubat tersebut.

Apakah batasan bukti tersebut?

Satu batasan utama kepada penemuan ulasan adalah usia peserta, kerana kajian yang disertakan kebanyakannya merekrut kanak-kanak yang lebih tua dan dewasa. Hanya 1054/7295 orang merupakan kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

Adakah bukti ini yang terkini?

Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 31 Julai 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Dikemaskini oleh Khaw Loke Tim (IMU University). Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Fox T, Otieno JA, Pryce J, Hine P. Pyronaridine-artesunate for treating uncomplicated Plasmodium falciparum malaria. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 10. Art. No.: CD006404. DOI: 10.1002/14651858.CD006404.pub5.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan