Langkau ke kandungan utama

Adakah saliran abdomen (peritoneum) lebih baik daripada pembedahan (laparotomi) untuk merawat keradangan teruk atau lubang pada usus bayi pramatang yang dilahirkan dengan berat lahir sangat rendah?

Mesej utama

  • Saliran abdomen (peritoneum) mungkin tidak lebih baik daripada pembedahan abdomen (laparotomi) dalam merawat bayi pramatang dengan berat lahir sangat rendah yang mengalami keradangan teruk atau lubang pada usus mereka.

  • Banyak bayi pramatang sedemikian yang menjalani saliran abdomen akhirnya memerlukan pembedahan abdomen juga.

  • Bayi pramatang yang menjalani saliran abdomen berkemungkinan berisiko lebih tinggi untuk mendapat palsi serebrum berbanding dengan bayi yang menjalani pembedahan abdomen.

Apakah itu masalah usus?

Usus membolehkan kita mencerna makanan dan menyerap nutrien. Apabila makanan dicerna dan nutrien diserap, usus membantu menyingkirkan sisa makanan daripada badan kita (dengan membuang air besar). Masalah usus pada bayi pramatang termasuk enterokolitis nekrotik dan perforasi usus spontan. Enterokolitis nekrotik adalah keadaan di mana usus meradang dan kadangkala berlubang. Dalam perforasi usus spontan, usus juga membentuk lubang-lubang, tetapi tanpa keradangan.

Bagaimanakah enterokolitis nekrotik dan perforasi usus dirawat?

Salah satu cara untuk merawatnya ialah dengan laparotomi (sayatan pembedahan di abomen), untuk membuang bahagian usus yang tidak sihat atau mati. Apabila bahagian usus yang mati atau rosak dibuang, usus boleh pulih dan menjadi sihat.

Rawatan lain ialah dengan memasukkan tiub saliran ke dalam abdomen (saliran peritoneum) untuk mengeluarkan udara dan cecair yang terkumpul akibat enterokolitis nekrotik atau perforasi usus spontan. Apabila udara dan cecair dialirkan dari rongga abdomen, dijangkakan bahawa usus akan pulih, dan lubang-lubang akan tertutup sendiri.

Mengapakah penting untuk merawat enterokolitis nekrotik yang memerlukan pembedahan atau perforasi usus spontan?

Kedua-dua keadaan ini membahayakan bayi dengan membenarkan kuman merebak dari usus ke dalam rongga abdomen dan aliran darah dan mengakibatkan jangkitan teruk. Keadaan-keadaan ini juga boleh mengurangkan dengan ketara keupayaan usus untuk mencerna dan menyerap nutrien daripada susu.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui rawatan mana, saliran peritoneum atau laparotomi, yang lebih baik untuk mengurangkan kesan negatif pada bayi pramatang (lahir sebelum 37 minggu kehamilan) yang mempunyai berat lahir sangat rendah (kurang daripada 1500 g) dengan enterokolitis nekrotik atau perforasi usus spontan. Kami ingin mengetahui sekiranya kesan negatif terjadi pada masa bayi mencapai umur 18 hingga 24 bulan. Kesan negatif termasuk:

  • gangguan perkembangan saraf keseluruhan (ketidakupayaan pembelajaran, palsi serebrum, gangguan motor (kesukaran koordinasi fizikal), kehilangan penglihatan atau pendengaran);

  • gangguan perkembangan saraf khusus (mental atau fizikal);

  • keperluan untuk pembedahan berikutnya (laparotomi);

  • kematian.

Kami juga ingin mengetahui sama ada bayi lebih berkemungkinan untuk mati sebelum meninggalkan hospital.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan saliran peritoneum dengan laparotomi pada bayi pramatang dengan berat lahir kurang daripada 1500 g untuk melihat sekiranya salah satu membawa kepada hasil negatif yang lebih sedikit. Kami merumuskan keputusan kajian, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan bilangan bayi yang dikaji.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui tiga kajian yang melibatkan 496 bayi. Semua kajian melibatkan bayi yang mengalami, atau dengan gejala, enterokolitis nekrotik dengan perforasi atau perforasi usus spontan. Semua kajian membandingkan saliran peritoneum dengan laparotomi.

Keputusan utama

Di kalangan bayi yang menjalani rawatan untuk enterokolitis nekrotik yang memerlukan pembedahan atau perforasi usus spontan, saliran peritoneum berbanding laparatomi:

  • berkemungkinan mengakibatkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam kematian (1 kajian, 308 bayi) atau gangguan mental di kalangan mangsa yang terselamat (1 kajian, 206 bayi) pada usia 18 hingga 24 bulan;

  • berkemungkinan mengakibatkan peningkatan dalam diagnosis palsi serebrum sederhana hingga teruk (1 kajian, 210 bayi);

  • berkemungkinan mengakibatkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam kematian sebelum meninggalkan hospital (2 kajian, 378 bayi);

  • bayi dalam kumpulan saliran peritoneum lebih berkemungkinan memerlukan laparotomi berikutnya semasa kemasukan pertama hospital.

Apakah batasan bukti?

Kami menemui hanya tiga kajian dan bilangan bayi yang dikaji adalah kecil. Oleh itu, keyakinan kami terhadap keputusan ini adalah sederhana.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Kami mencari kajian-kajian setakat 17 Disember 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Petikan
Rath C, Samnakay N, Deshpande G, Sutyak KM, Basani L, Simmer K, Fiander M, Rao SC. Peritoneal drainage versus laparotomy as initial treatment for surgical necrotising enterocolitis or spontaneous intestinal perforation in preterm very low birth weight infants. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 6. Art. No.: CD006182. DOI: 10.1002/14651858.CD006182.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan