Mesej Utama
• Kami tidak dapat mencari bukti yang mencukupi untuk menyokong penggunaan satu regimen kitaran (kaedah) daripada yang lain sebagai persediaan untuk pemindahan embrio beku-cair (FET) bagi wanita dengan kitaran ovulasi tetap yang mengalami kesukaran untul hamil (wanita subfertil).
• Kajian yang lebih besar, dijalankan dengan baik diperlukan, terutamanya pengajian yang menyiasat kaedah pemindahan embrio beku-cair dengan lebih mudah atau lebih murah.
Apakah itu pemindahan embrio beku-cair (FET)?
Untuk wanita subfertil yang sedang menggunakan teknologi pembiakan dibantu, telur dikumpulkan dari ovari dan disenyawakan oleh sperma dalam makmal (persenyawaan in vitro atau IVF). Sesetengah atau semua embrio boleh dibeku, dan dicairkan dan dipindahkan ke rahim pada peringkat seterusnya. Ini dipanggil pemindahan embrio beku-cair (FET).
Wanita dengan haid yang spontan dan tetap (kitaran haid) boleh ditawarkan dengan pelbagai regimen kitaran bagi menyediakan lapisan rahim (endometrium) untuk FET. Secara alternatif, FET boleh dilakukan selepas ovulasi spontan (pembebasan sebiji telur) dalam kitaran semula jadi. Ini dipanggil kitaran semula jadi FET.
Wanita dengan kitaran yang tidak teratur tidak mengalami ovulasi ataupun mengalami ovulasi secara rawak. Oleh itu, kitaran semula jadi FET tidak sesuai untuk mereka. Wanita ini boleh ditawarkan sama ada induksi ovulasi melalui ubat kesuburan atau terapi hormon (HT) untuk menyediakan mereka untuk FET.
Rejimen yang paling biasa untuk FET ialah kitaran semula jadi dengan atau tanpa HCG (gonadotrophin korionik manusia), atau penyediaan endometrium dengan HT dengan atau tanpa agonis hormon pelepasan gonadotrophin (GnRHA) untuk menindas fungsi ovari buat sementara waktu.
Apakah yang kami ingin tahu
Kami menjalankan ulasan ini untuk mengetahui jika regimen FET tertentu lebih efektif atau lebih selamat daripada yang lain. Hasil utama kami ialah kadar kelahiran hidup dan kadar keguguran bagi setiap wanita.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari untuk kajian yang membandingkan satu jenis rejimen kitaran dengan yang lain dalam wanita subfertil (termasuk wanita dengan ovulasi tetap, tidak teratur atau rawak, atau tiada ovulasi). Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut dan menilai keyakinan kami dalam bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah kajian dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami telah menyertakan 32 kajian yang melibatkan 6352 wanita. Kebanyakan kajian memasukkan wanita dengan kitaran ovulasi yang tetap. Mereka telah memberikan sedikit ke tiada maklumat tentang wanita dengan kitaran ovulasi yang tidak teratur atau tiada. Kajian tersebut dijalankan di Iran (11 kajian), Belguim (empat kajian), Itali (tiga kajian), ditambahkan dengan dua kajian masing-masing dalam China, Perancis, Israel, Turki dan UK; dan satu kajian masing-masing dalam Mesir, Singapura, Sepanyol dan Belanda.
Keputusan utama
Ulasan in tidak menemui bukti yang mencukupi untuk menyokong penggunaan satu kitaran regimen berbanding dengan lain sebagai persediaan untuk FET bagi wanita subfertil dengan kitaran ovulasi yang tetap. Kaedah-kaedah yang paling biasa untuk FET ialah kitaran semula jadi dengan atau tanpa HCG untuk mencetuskan ovulasi, atau penyediaan endometrium untuk HT, dengan atau tanpa penindasan GnRHA. Kami mengenal pasti enam perbandingan langsung untuk kedua-dua kaedah tersebut, dan tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk menyokong penggunaan satu daripada yang lain.
Apakah batasan bukti?
Kami berkeyakinan rendah terhadap bukti kerana kajian yang disertakan kecil dengan sedikit keputusan dilaporkan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga 19 Disember 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Leong Wai Sum (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).