Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Apabila mencuba untuk mendapat bayi melalui persenyawaan berbantu, adakah lebih baik memindahkan embrio ke rahim pada hari ke-3 atau hari ke-5?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Peluang untuk mendapat bayi yang lahir hidup selepas satu kitaran IVF (persenyawaan in vitro) mungkin sedikit meningkat apabila embrio dipindahkan pada hari ke-5 hingga ke-6 (peringkat 'blastosista') berbanding hari ke-3 (peringkat 'belahan'), dalam kalangan wanita dengan 'prognosis baik' (iaitu, ciri-ciri yang memudahkan kehamilan). Langkah ini menyertakan semua bentuk pemindahan daripada telur yang dikumpul dalam satu kitaran (segar dan beku).

  • Apabila hanya melihat keputusan untuk embrio yang dipindahkan segar (dimasukkan ke dalam rahim beberapa hari selepas persenyawaan), kami dapati memindahkan embrio pada peringkat blastosista dan bukannya peringkat belahan mungkin meningkatkan peluang untuk mendapat bayi.

  • Memindahkan embrio pada peringkat blastosista dan bukannya peringkat belahan mungkin meningkatkan risiko kelahiran bayi pramasa (awal) antara 32 dan 36 minggu berbanding tempoh cukup bulan (40 minggu).

  • Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami kesan jangka panjang, terutamanya dalam kalangan orang dengan peluang kejayaan IVF yang lebih rendah.

Apakah konsepsi berbantu?

Konsepsi berbantu merujuk kepada rawatan perubatan yang diguna untuk membantu orang hamil apabila ia tidak berlaku secara semula jadi. Persenyawaan in vitro (IVF) ialah rawatan kesuburan di mana telur dikumpul daripada seorang wanita dan disenyawakan dengan sperma secara buatan di luar badan, dan kemudian satu atau lebih embrio dimasukkan ke dalam rahim wanita (iaitu 'dipindahkan'). Embrio boleh dipindahkan beberapa hari selepas persenyawaan (peringkat 'belahan', hari ke-2 hingga ke-3) atau sedikit kemudian (peringkat 'blastosista', hari ke-5 hingga ke-6).

Memindah embrio peringkat blastosista boleh meningkatkan peluang hamil dengan memadankan masa antara embrio dan rahim dengan lebih baik, dan dengan membantu memilih embrio yang lebih berkemungkinan berkembang dengan jayanya. Walau bagaimanapun, sesetengah orang boleh kehilangan embrio yang tidak akan hidup sehingga hari ke-5 di makmal, walaupun ia mungkin telah berkembang di dalam rahim. Kami masih belum tahu sama ada satu strategi yang jelas boleh membawa kepada hasil yang lebih baik sepanjang rawatan penuh, atau sama ada ia mempengaruhi komplikasi kehamilan.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin tahu kesan pemindahan embrio peringkat blastosista berbanding embrio peringkat belahan terhadap:

  • peluang untuk kelahiran hidup selepas mengguna semua embrio daripada satu kitaran (termasuk embrio segar (baharu) dan embrio yang telah dibekukan dan kemudian dicairkan) atau sehingga kelahiran hidup berlaku (dipanggil 'setiap kitaran' atau 'kumulatif');

  • peluang untuk kelahiran hidup selepas satu pemindahan (dipanggil 'setiap pemindahan baharu');

  • risiko komplikasi semasa hamil atau semasa kelahiran (seperti kelahiran pramasa);

  • kadar kehamilan;

  • risiko keguguran;

  • sama ada embrio dibekukan untuk kegunaan kemudian; dan

  • kemungkinan tiada embrio dapat dipindahkan.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang dikenali sebagai 'kajian rawak terkawal' yang membandingkan pemindahan embrio peringkat blastosista dan peringkat belahan dalam kalangan wanita yang menjalani IVF. Kami gabungkan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadapnya. Penilaian kami dipersembahkan di bawah dalam kurungan.

Apakah yang ditemui?

  • Kami sertakan 36 kajian melibatkan 8389 wanita. Kebanyakan kajian dijalankan dalam persekitaran IVF dan disertakan peserta yang berpeluang baik untuk hamil (iaitu mereka pada amnya lebih muda dan menghasilkan beberapa embrio).

Kemungkinan melahirkan bayi (kelahiran hidup)

  • Setiap kitaran IVF, dengan embrio segar dan beku (kadar kelahiran hidup kumulatif): pemindahan blastosista mungkin sedikit meningkatkan peluang untuk mendapat bayi (keyakinan rendah).

  • Selepas satu pemindahan baharu: pemindahan blastosista mungkin meningkatkan peluang untuk mendapat bayi. Contohnya, jika 32 daripada 100 wanita melahirkan bayi dengan pemindahan peringkat belahan, antara 37 dan 43 akan melahirkan bayi secara pemindahan peringkat blastosista (keyakinan sederhana).

kelahiran pramasa

  • Pemindahan blastosista mungkin meningkatkan kemungkinan bayi dilahirkan antara 32 dan 36 minggu (pramasa lewat) (keyakinan sederhana).

Kemungkinan untuk hamil ('kehamilan klinikal')

  • Pemindahan blastosista boleh meningkatkan peluang untuk hamil selepas pemindahan baharu (keyakinan rendah).

Keguguran

  • Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara pemindahan blastosista dan pemindahan belahan dalam kadar keguguran (keyakinan rendah).

Pembekuan embrio tambahan

  • Pemindahan blastosista mungkin mengurangkan kemungkinan embrio dibekukan untuk kegunaan kemudian (keyakinan rendah).

kadar kegagalan pemindahan

  • Pemindahan blastosista mungkin meningkatkan kemungkinan tiada embrio yang berjaya dipindahkan (contohnya kerana tiada embrio yang berkembang hingga hari ke-5) (keyakinan rendah).

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami tidak yakin sepenuhnya dengan keputusan-keputusan. Banyak kajian adalah kecil, dan terdapat variasi dalam cara rawatan IVF diberi. Orang-orang dalam kajian tahu sama ada mereka mendapat embrio peringkat belahan atau blastosista, yang mungkin mempengaruhi keputusan. Dalam beberapa kajian, kebanyakan orang hanya menjalani satu pemindahan embrio, jadi keputusannya mungkin berbeza jika diukur kemudian setelah mana-mana embrio beku juga digunakan. Kebanyakan kajian menyertakan wanita yang berpeluang baik untuk hamil, oleh itu penemuan boleh tidak bagi wanita-wanita dengan ciri-ciri yang sukar untuk hamil.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti berdasarkan carian dijalankan sehingga Oktober 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Dikemaskini oleh Khaw Loke Tim (IMU Universiry). Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Glujovsky D, Cornelisse S, Blake D, Quinteiro Retamar AM, Alvarez Sedo CR, Ciapponi A. Blastocyst-stage versus cleavage-stage embryo transfer in assisted reproductive technology. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 1. Art. No.: CD002118. DOI: 10.1002/14651858.CD002118.pub7.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan