Mesej utama
-
Perbezaan antara CPAP dan theophylline dari segi kegagalan rawatan atau kematian adalah sangat tidak pasti.
-
Kedua-dua rawatan yang dikaji, CPAP dan theophylline, kini jarang digunakan dalam penjagaan neonatal moden, di mana CPAP nasal (melalui kanula hidung) dan kafein atau aminophylline adalah lebih biasa.
Apakah apnea pramatang, dan bagaimana ia dirawat?
Apnea pramatang ialah apabila bayi pramatang berhenti bernafas selama lebih 20 saat atau mengalami jeda yang lebih pendek dengan kadar degupan jantung perlahan atau kulit kebiruan. Ia paling biasa berlaku di kalangan bayi yang dilahirkan sebelum 28 minggu kehamilan dan menjadi jarang berlaku selepas 34 minggu. Apnea pramatang boleh berlaku disebabkan oleh ketakmatangan tetapi mungkin bertambah teruk dengan jangkitan atau tahap oksigen yang rendah. Jika tidak dirawat, ia boleh mengakibatkan oksigen rendah dan kadar degupan jantung perlahan, yang mungkin menyebabkan keperluan untuk sokongan pernafasan. Apnea boleh disebabkan oleh ketakmatangan otak yang mengakibatkan ia tidak memberi isyarat kepada otot paru-paru untuk bernafas (pusat), atau ketakmatangan saluran udara yang mengakibatkan tersumbat (obstruktif), atau kedua-duanya (bercampur, jenis yang paling biasa). CPAP ialah sejenis sokongan pernafasan yang membantu bayi memastikan paru-paru mereka terbuka. Methylxanthine, seperti theophylline, adalah ubat yang membantu merangsang pernafasan. Kedua-dua rawatan sering digunakan untuk merawat apnea pramatang, tetapi berfungsi secara berbeza dan mungkin mengakibatkan kesan sampingan yang berbeza.
Mengapakah ini penting untuk rawatan apnea pramatang?
Adalah penting untuk membandingkan rawatan-rawatan ini secara langsung bagi memahami manfaat dan mudaratnya dengan lebih baik. Di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, akses kepada tekanan saluran udara positif berterusan atau methylxanthine tertentu, seperti kafein, mungkin terhad. Membandingkan rawatan-rawatan ini boleh membantu penyedia penjagaan kesihatan dalam persekitaran dengan sumber yang terhad untuk membuat keputusan termaklum mengenai pilihan terbaik yang ada.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui rawatan manakah yang mempunyai lebih banyak manfaat dan lebih sedikit mudarat untuk mengurus apnea pramatang. Perbandingan ini terutamanya penting untuk membimbing penjagaan dalam persekitaran dengan sumber yang terhad, di mana akses kepada rawatan ini adalah pelbagai.
Apakah yang kami lakukan?
Ini adalah kemas kini kedua bagi ulasan pertama yang diterbitkan pada tahun 1998 membandingkan CPAP dan teophylline. Dalam kemas kini ini, kami mengembangkan skop dengan memasukkan jenis CPAP yang lebih baru dan methylxanthine lain yang melewati theophylline, untuk mencerminkan amalan klinikal semasa dan mengetahui sama ada penemuan asal masih terpakai untuk penjagaan kontemporari neonatal. Kami mencari dan memilih kajian-kajian yang membandingkan CPAP dengan methylxanthines (seperti theophylline, kafein, atau aminophylline) untuk merawat apnea di kalangan bayi pramatang yang dilahirkan sebelum 34 minggu. Kami hanya menyertakan kajian di mana rawatan digunakan secara individu, bukannya digabungkan (contohnya CPAP dan methylxanthine bersama-sama). Kami menyemak kajian dengan teliti untuk memastikan bahawa ia memenuhi kriteria kami dan menilai kualitinya sebelum meringkaskan keputusan. Akhir sekali, kami menilai keyakinan kami terhadap penemuan berdasarkan kualiti dan kebolehpercayaan bukti.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui hanya satu kajian, yang dijalankan 40 tahun lalu di United Kingdom, yang melibatkan 32 bayi yang dilahirkan sebelum 34 minggu kehamilan. Berdasarkan data terhad ini, kami belum mengetahui sama ada CPAP membantu mengurangkan atau mungkin meningkatkan kebarangkalian rawatan tidak berkesan semasa berada di hospital, risiko kematian dalam tahun pertama, atau kebarangkalian mengalami degupan jantung yang cepat sejurus selepas memulakan rawatan. Kami juga mendapati tiada maklumat yang membandingkan rawatan tentang bagaimana ia boleh mempengaruhi perkembangan otak, pembelajaran, atau pertumbuhan jangka panjang bayi, atau risiko kondisi serius seperti penyakit paru-paru (displasia bronkopulmonari).
Apakah batasan bukti?
Kami hanya menemui satu kajian kecil dari tahun 1981, melibatkan 32 bayi pramatang yang dilahirkan sebelum 34 minggu kehamilan di sebuah negara berpendapatan tinggi. Rawatan yang dibandingkan dalam kajian tidak biasanya digunakan dengan cara yang sama kini. CPAP dihantar menggunakan topeng muka pada tekanan yang lebih rendah daripada yang digunakan kini, dan theophylline yang digunakan dan bukannya kafein, yang telah terbukti mempunyai kelebihan berbanding theophylline dan kini digunakan di banyak tempat. Kajian tersebut tidak memberikan maklumat yang jelas tentang beberapa hasil penting, seperti bagaimana rawatan mempengaruhi perkembangan otak bayi, penyusuan atau risiko komplikasi serius seperti kerosakan paru-paru atau kecederaan pada lubang hidung. Bilangan kecil bayi dalam kajian menjadikan keputusan tidak pasti. Di samping itu, bayi yang diagihkan kepada kumpulan CPAP adalah lebih tidak sihat pada permulaan kajian dan oleh itu mungkin kurang bertindak balas dengan baik terhadap rawatan.
Apakah maksudnya?
Walaupun ulasan terdahulu mendapati bahawa theophylline adalah lebih baik daripada CPAP topeng muka, dalam ulasan ini, di mana kami telah menggunakan penilaian kualiti kajian yang lebih ketat, kami tidak mengetahui sama ada terdapat sebarang perbezaan antara penggunaan CPAP dan methylxanthine sebagai rawatan apnea pramatang.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan adalah terkini hingga 28 Ogos 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).