Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Adakah mengambil penambahan kalsium semasa hamil berkesan untuk mencegah gangguan tekanan darah dan masalah berkaitan?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Kami temui sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan wanita yang mendapat pra-eklampsia apabila mereka diberi kalsium semasa hamil, dan kami tidak pasti tentang hasil yang buruk untuk ibu dan bayi.

  • Kebanyakan peserta mula mengambil kalsium pada 3 bulan pertengahan kehamilan,oleh itu kami tidak mempunyai maklumat dalam ulasan ini tentang keberkesanan penambahan kalsium pada awal kehamilan. Kami tiada maklumat tentang wanita dengan kalsium yang cukup dalam diet mereka berbanding mereka yang tidak, mahupun mereka yang berisiko tinggi berbanding berisiko rendah untuk mendapat pra-eklampsia.

  • Kami temui bukti yang baik apabila kami hanya menganalisis kajian-kajian besar, dengan lebih daripada 500 wanita. Tiada kemungkinan penyelidikan lanjut akan mengubah bukti semasa. Oleh itu, pada masa hadapan, penyelidikan boleh memfokus cara lain untuk mencegah gangguan tekanan darah semasa hamil.

Mengapa tekanan darah tinggi menjadi masalah semasa hamil?

Tekanan darah tinggi semasa hamil adalah akibat kematian yang utama dan penyakit yang teruk dalam kalangan ibu dan bayi. Pra-eklampsia adalah komplikasi yang paling serius. Ia mempengaruhi uri dan boleh menjejaskan organ lain seperti buah pinggang, hati dan otak. Pada masa ini tiada rawatan untuk pra-eklampsia selain melahirkan bayi.

Bagaimanakah kalsium boleh membantu?

Sesetengah bukti menunjukkan kalsium boleh menurunkan tekanan darah bagi orang dengan tekanan darah normal dan wanita yang pernah mengalami pra-eklampsia sebelum ini, tetapi bukti lain tidak menyokongnya. Walau bagaimanapun, kalsium mudah tersedia, murah dan mungkin selamat untuk ibu dan bayi. Tablet kalsium diambil secara oral (ditelan). Jika kalsium dapat mencegah pra-eklampsia, ia mungkin boleh kurangkan kematian dan penyakit yang teruk dalam kalangan ibu dan bayi.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin tahu sama ada kalsium berkesan mencegah pra-eklampsia dan gangguan tekanan darah tinggi lain apabila diambil semasa hamil, dan jika ia menyebabkan kesan tidak diingini . Kami juga berminat untuk mengetahui sama ada kalsium mengurangkan bilangan bayi yang meninggal dunia semasa atau sejurus selepas kelahiran, bilangan ibu dan bayi yang meninggal dunia atau jatuh sakit, dan bayi yang dilahirkan awal.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang mengkaji penambahan kalsium semasa hamil. Kami menggunakan senarai semak untuk memastikan hanya kajian yang boleh dipercayai sahaja disertakan. Kami membuat penilaian tentang kualiti kajian sebelum membanding dan meringkaskan keputusannya. Akhir sekali, kami menilai keyakinan kami terhadap penemuan tersebut.

Apakah yang ditemui?

Kami temui 10 kajian dengan 37,504 wanita yang melihat kepada kesan penambahan kalsium di samping penjagaan standard. Lapan kajian membanding penambahan kalsium dengan plasebo (rawatan palsu), dan dua kajian membandingkan penambahan kalsium dos rendah (500 mg setiap hari) dengan dos tinggi (1500 mg setiap hari). Kajian-kajian dijalankan di seluruh dunia, di negara berpendapatan tinggi dan rendah. Sesetengah wanita dalam kajian mempunyai kalsium yang cukup dalam diet mereka dan ada yang tidak. Sesetengah wanita berisiko tinggi menghidap pra-eklampsia dan yang lain tidak.

Kalsium berbanding plasebo (8 kajian, 15,504 wanita) Bukti daripada 6 kajian (15,364 wanita) menunjukkan kalsium memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada pra-eklampsia berbanding plasebo. Walau bagaimanapun, apabila kami menganalisis hanya kajian besar dengan lebih daripada 500 wanita (4 kajian, 14,730 wanita), kami temui bukti kukuh yang mengesahkan kalsium memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada pra-eklampsia berbanding plasebo.

Kalsium mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko keseluruhan kematian ibu atau mengalami komplikasi pra-eklampsia teruk . Ia boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kematian bayi semasa hamil dan di awal kehidupan.

Kami sangat tidak pasti tentang kesan kalsium terhadap risiko kematian ibu, kelahiran sebelum 37 minggu, dan juga kesan tidak diingini .

Kalsium dos rendah - berbanding dos tinggi (2 kajian, 22,000 wanita) dos kalsium yang lebih rendah boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada pra-eklampsia berbanding dos yang lebih tinggi. Kami sangat tidak pasti tentang kesan kalsium dos rendah terhadap ibu yang meninggal dunia berbanding dos yang lebih tinggi. Mengambil dos yang lebih rendah tidak memberi perbezaan kepada kehilangan bayi semasa hamil dan di awal kehidupan, dan mungkin tidak memberi perbezaan kepada kelahiran sebelum 37 minggu.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kebanyakan peserta mula mengambil kalsium pada pertengahan 3 bulan kehamilan, jadi kami tiada maklumat dalam ulasan ini tentang keberkesanan penambahan kalsium di awal kehamilan. Ini adalah sama bagi wanita yang tinggal di kawasan dengan cukup kalsium dalam diet mereka berbanding mereka yang tidak, dan mereka yang berisiko tinggi berbanding berisiko rendah untuk mendapat pra-eklampsia.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Dikemaskini oleh Khaw Loke Tim. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Manipal Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Cluver CA, Rohwer C, Rohwer AC. Calcium supplementation during pregnancy for preventing hypertensive disorders and related problems. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 12. Art. No.: CD001059. DOI: 10.1002/14651858.CD001059.pub6.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan