Mesej utama
• Ambang hemoglobin yang lebih rendah dan lebih tinggi untuk pemindahan darah menunjukkan kadar kematian atau ketidakupayaan yang serupa pada usia dua tahun.
• Ambang yang lebih rendah tidak menjejaskan kematian.
• Ambang yang lebih rendah mungkin menyebabkan pemindahan darah yang lebih sedikit.
Apakah itu kiraan darah rendah?
Anemia akibat paras hemoglobin rendah, atau kiraan darah yang rendah, adalah perkara biasa dalam kalangan bayi pramatang yang sangat kecil, kerana sejumlah kecil darah diambil berulang kali untuk ujian makmal, dan juga kerana sumsum tulang lambat bertindak balas.
Mengapa ianya penting?
Pemindahan darah meningkatkan bilangan sel darah merah dalam peredaran darah. Sel-sel ini mengandungi hemoglobin yang membawa oksigen ke seluruh badan. Biasanya, pemidahan darah diberikan untuk meningkatkan jumlah oksigen dalam peredaran darah.
Bagaimanakah kiraan darah rendah dirawat?
Hampir semua bayi pramatang yang sangat kecil menerima pemindahan darah disebabkan oleh nilai hemoglobin atau kiraan darah yang rendah. Walaupun pemindahan darah adalah perkara biasa, kami tidak pasti bilakah pemindahan darah perlu diberikan. Atas sebab ini, beberapa kajian telah melihat pada risiko dan manfaat pemindahan darah pada nilai kiraan darah berbeza, iaitu satu dipanggil kiraan darah atau ambang hemoglobin yang lebih rendah dan satu lagi adalah kiraan darah atau ambang hemoglobin yang lebih tinggi.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada mengekalkan kiraan darah atau paras hemoglobin yang lebih tinggi melalui pemindahan darah membawa kepada kesihatan dan perkembangan yang lebih baik untuk bayi pramatang yang sangat kecil menjelang usia dua tahun dan sama ada amalan ini meningkatkan bilangan pemindahan.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah melakukan carian teliti untuk kajian yang membandingkan pemindahan darah dengan tahap hemoglobin atau ambang kiraan darah yang lebih rendah atau lebih tinggi pada bayi pramatang yang sangat kecil.
Apakah yang ditemui?
Enam kajian yang direka bentuk dengan baik, memasukkan 3451 bayi pramatang yang sangat kecil, menunjukkan bahawa bayi yang menerima pemindahan darah pada ambang hemoglobin atau kiraan darah yang lebih rendah juga menunjukkan prestasi yang sama. Iaitu, tiada perbezaan dalam kadar kematian atau ketidakupayaan dalam kalangan mangsa yang terselamat, atau gabungan kadar kematian dan ketidakupayaan berbanding bayi yang menerima pemindahan darah pada ambang hemoglobin atau kiraan darah yang lebih tinggi. Pada masa yang sama, bayi yang menerima pemindahan darah pada ambang hemoglobin atau kiraan darah yang lebih rendah mempunyai lebih sedikit pemindahan darah.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kajian berskala besar ini menunjukkan sedikit atau tiada perbezaan dalam hasil untuk bayi pramatang yang sangat kecil sehingga umur dua tahun. Bukti hanya terpakai untuk paras hemoglobin dalam nilai kiraan darah yang digunakan dalam enam kajian tersebut.
Kami yakin bahawa ambang hemoglobin atau kiraan darah yang lebih rendah berbanding tinggi bagi pemindahan darah menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kesihatan dan perkembangan bayi pramatang yang sangat kecil apabila mereka mencapai usia dua tahun. Keyakinan kami terhadap bukti bilangan pemindahan darah bagi setiap bayi adalah rendah disebabkan oleh kekurangan pembutaan dan ketidakselarasan dalam keputusan.
Adakah bukti ini yang terkini?
Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu (2011). Bukti adalah terkini sehingga Januari 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Wilfred Mok Kok Hoe (Institut Kesihatan Negara). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.