Mesej utama
• Bukti cadangan menunggu untuk memberikan pemindahan darah kepada kebanyakan dewasa dan kanak-kanak sehingga kiraan darah mereka lebih rendah (tahap hemoglobin 7.0 g/dL hingga 8.0 g/dL) dibandingkan kiraan darah yang lebih tinggi (9.0 g/dL hingga 10.0 g/dL) tidak membawa kepada risiko kematian, serangan jantung, angin ahmar, pneumonia, pembekuan darah atau jangkitan yang lebih tinggi. Mengurangkan pemberian darah akan mengurangkan pemindahan darah yang tidak perlu, yang mempunyai risiko.
• Sesetengah kajian, selain daripada sekadar mengukur tahap hemoglobin, sedang menguji cara yang lain untuk menentukan bila transfusi diperlukan, tetapi tidak mungkin untuk mengatakan ujian mana yang lebih baik.
• Orang dewasa yang mengalami kecederaan otak akut mungkin mempunyai keupayaan yang lebih baik untuk berjalan atau jaga diri mereka sendiri jika diberi pemindahan darah untuk mengekalkan kiraan darah yang lebih tinggi. Lebih banyak kajian diperlukan untuk meningkatkan pemahaman kita tentang hasil selain daripada kematian, termasuk kualiti hidup, dan untuk memahami orang mana mungkin manfaat daripada transfusi pada kiraan hemoglobin yang lebih tinggi.
Apakah yang berlaku dalam kalangan orang yang memerlukan transfusi darah?
Doktor dan profesional penjagaan kesihatan sering memberikan pemindahan darah kepada orang dengan kiraan darah rendah (anemia), untuk pembedahan, perdarahan atau penyakit, tetapi pemindahan darah hanya boleh diberikan apabila kita tahu ia membantu orang. Darah merupakan sumber terhad dan pemindahan darah tidak bebas daripada risiko, terutamanya bagi orang di negara berpendapatan rendah di mana ujian untuk virus seperti HIV atau hepatitis mungkin kurang tersedia.
Apakah yang ingin diketahui?
'Kiraan darah' mengukur jumlah hemoglobin dalam darah. Hemoglobin ialah protein yang membawa oksigen ke seluruh badan. Kiraan darah normal adalah pada atau melebihi 12 gram setiap desiliter (12 g/dL). Kami ingin mengetahui sama ada selamat untuk menahan transfusi sehingga kiraan darah menurun ke ambang yang rendah, daripada melakukan transfusi pada kiraan darah yang lebih tinggi.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah meneliti keputusan kajian yang mengagihkan pesakit kepada satu daripada dua kumpulan secara rawak (sebagai contoh, dengan melambung syiling). Dalam satu kumpulan, peserta hanya menerima transfusi darah jika kiraan darah mereka jatuh di bawah ambang yang lebih tinggi (biasanya, 9.0 g/dL sehingga 10.0 g/dL). Dalam kumpulan yang lain, peserta hanya menerima transfusi jika kiraan darah mereka jatuh di bawah ambang yang lebih rendah (biasanya, 7.0 g/dL hingga 8.0 g/dL). (‘Ambang’ merujuk kepada paras kiraan darah yang perlu dicapai sebelum tranfusi akan diberikan.)
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui 79 kajian termasuk 31,457 dewasa dan 2864 kanak-kanak. Peserta menjalani rawatan atas pelbagai sebab termasuk: pembedahan tulang (ortopedik), jantung (jantung) atau saluran darah; jaga kritikal; berdarah dalam perut atau usus; penyakit jantung; kanser darah; kecederaan otak dan kelahiran anak. Kajian bandingkan ambang kiraan darah yang lebih tinggi atau lebih rendah untuk pemberian transfusi darah.
Transfusi
Kami mendapati dewasa yang menerima transfusi hanya pada ambang kiraan darah yang lebih rendah adalah 42% kurang berkemungkinan untuk menerima transfusi darah berbanding mereka yang hanya menerimanya pada ambang kiraan darah yang lebih tinggi. Penemuan adalah serupa untuk kanak-kanak, tetapi bilangan kajian yang memasukkan kanak-kanak adalah jauh lebih kecil.
Kejadian kematian dan berbahaya
Secara keseluruhan, tiada perbezaan yang jelas dalam risiko kematian dalam tempoh 30 hari selepas menerima, atau tidak menerima, transfusi bagi kebanyakan peserta dalam dua kumpulan ambang berbeza, dengan kemungkinan pengecualian bagi orang dengan perdarahan gastrousus, di mana risiko kematian adalah lebih rendah dengan transfusi yang diberikan pada ambang yang lebih rendah.
Terdapat juga sedikit atau tiada perbezaan antara kumpulan ambang untuk hasil termasuk bilangan peristiwa serius yang mudarat, seperti jangkitan, serangan jantung, strok dan pembekuan darah.
Kami menemui dewasa yang sakit tenat dengan kecederaan otak akut mempunyai pemulihan yang lebih baik dalam jangka masa panjang (6 hingga 12 bulan) dengan strategi transfusi liberal.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kebanyakan kajian memberikan bukti yang berkualiti tinggi; ia dijalankan dengan secukupnya dan menggunakan kaedah yang meminimumkan bias yang boleh menjadikan kesahihan keputusan tidak menentu. Kami yakin dengan bukti berkenaan kemungkinan menerima transfusi, kematian dalam 30 hari transfusi, serangan jantung, strok dan infeksi. Kami agak yakin dengan bukti untuk jangkitan dan pembekuan darah, tetapi bilangan peristiwa pembekuan darah adalah lebih kecil. Bilangan kajian berbeza-beza antara keadaan, dan lebih banyak bukti diperlukan dalam beberapa kawasan (contohnya kanser darah dan pembedahan vaskular).
Hampir separuh daripada kajian melaporkan kualiti hidup, tetapi sukar untuk membandingkan kajian dan menentukan sama ada satu strategi lebih baik daripada yang lain.
Adakah bukti ini yang terkini?
Ini adalah kemas kini hasil kerja akhir diterbitkan pada tahun 2021; 31 kajian baharu disertakan. Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Tan Yin Xin (Alphanumeric). Dikemas kini oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).




