Obesiti dan kesan buruk COVID-19

Apakah kesan obesiti terhadap hasil COVID-19?

Mesej utama

• Terdapat cukup bukti yang menyokong penemuan obesiti melampau (BMI > 40 kg/m 2 ) meningkatkan peluang kematian seseorang, keperluan tiub pernafasan, kemasukan ke hospital dan ICU akibat COVID-19. 

• Obesiti secara amnya akan mengakibatkan seseorang memerlukan tiub pernafasan.

• Semakin tinggi BMI seseorang, semakin tinggi kemungkinan seseorang itu mengalami penyakit COVID-19 yang teruk.  

Apa itu obesiti?

Obesiti ditakrifkan sebagai pengumpulan lemak yang abnormal atau berlebihan di bahagian tubuh manusia yang berlainan dan ia memberi risiko kesihatan. Untuk menilai obesiti, pelbagai indeks seperti indeks jisim badan (BMI) boleh diguna iaitu berat seseorang dalam kilogram dibahagi dengan kuasa dua ketinggian dalam meter. WHO mengklasifikasi obesiti kepada tiga kelas. Menurut klasifikasi ini, obesiti kelas I termasuk BMI antara 30 hingga 35 kg/m 2 , kelas II dari 35 hingga 40 kg/m 2 dan kelas III dari 40 kg/m 2 dan lebih.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sama ada obesiti mempunyai sebarang kesan terhadap mortaliti, keperluan tiub pernafasan, kemasukan ke hospital dan ICU, penyakit yang teruk atau pneumonia akibat penyakit COVID-19.  

Apa yang kami lakukan?

Kami menjalankan carian sistematik di pangkalan data perubatan untuk bukti yang melihat kaitan obesiti dan mortaliti serta hasil lain dari Disember 2019 hingga April 2021. Kami kemudiannya mengkategori dan menilai penemuan ini berdasarkan keyakinan terhadap bukti, saiz dan kualiti kajian.

Apakah yang kami dapati?

Kami mengenal pasti 171 kajian yang layak, dengan 149 kajian (12,045,976 peserta) menyediakan data kuantitatif untuk sekurang-kurangnya satu analisis meta kami. Dari segi hasil, 111 kajian melaporkan mortaliti, 48 perlukan tiub pernafasan, 47 perlukan kemasukan ICU, 34 perlu kemasukan ke hospital, 32 melibatkan COVID-19 yang teruk, enam berkait dengan pneumonia, lima kajian tentang tempoh kemasukan ke hospital, dua kajian tentang durasi di ICU, dan satu kajian tentang durasi keperluan tiub pernafasan. 

Keputusan utama

Penemuan kami menunjukkan bukti kepastian tinggi obesiti kelas III dikaitkan dengan peningkatan risiko mortaliti dalam kalangan pesakit COVID-19. Walau bagaimanapun, kami mendapati dalam kes obesiti ringan (kelas I dan II), faktor ini mungkin tidak dikaitkan secara bebas dengan peningkatan risiko mortaliti dalam kalangan pesakit COVID-19. Begitu juga, kami sangat pasti obesiti adalah faktor bebas penting yang dikaitkan dengan risiko memerlukan tiub pernafasan dalam kalangan pesakit COVID-19. Walau bagaimanapun, saiz anggaran kesan tidak konsisten dengan hubungan tindak balas dos-responmerentas peningkatan kelas obesiti untuk kemasukan ICU, kemasukan ke hospital, penyakit COVID-19 yang teruk dan pneumonia. Sebagai kesimpulan, ulasan ini menyiasat potensi perkaitan antara obesiti dan hasil COVID-19 yang buruk. Kami dapat mengumpul bukti daripada pelbagai kajian dan membuat kesimpulan kepastian tinggi perkaitan obesiti dengan mortaliti dan keperluan tiub pernafasan.

Apakah batasan bukti?

Walaupun BMI adalah ukuran yang meluas diguna, hubungan antara BMI dan lemak badan adalah tidak linear. Tambahan pula, ulasan kami tidak mendiskriminasi laporan BMI kendiri dengan BMI yang diukur. Akhirnya, kami tidak dapat mengikut kepesatan penerbitan tentang COVID-19 walaupun telah berusaha sedaya upaya. 

Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini setakat April 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wan Anisa Azman (Klinik Pergigian Kok Lanas). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information