Probiotik untuk rawatan sembelit kronik pada kanak-kanak

Apakah matlamat utama ulasan ini?

Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada probiotik boleh digunakan untuk merawat sembelit kronik tanpa penjelasan fizikal pada kanak-kanak (berumur 0 hingga 18 tahun).

Kami menganalisa maklumat daripada 14 kajian untuk menjawab soalan ini.

Mesej utama

Kami tidak dapat membuat kesimpulan apabila membandingkan probiotik dengan plasebo untuk kekerapan membuang air besar pada kanak-kanak yang dirawat untuk sembelit kronik tanpa penjelasan fizikal. Mungkin tiada perbezaan dalam kejayaan rawatan antara kedua-dua kumpulan.

Mungkin tiada perbezaan dalam kekerapan membuang air besar atau kejayaan rawatan apabila membandingkan probiotik dan julap dengan menggunakan julap sahaja.

Kami tidak dapat membuat kesimpulan apabila membandingkan probiotik dengan magnesium oksida untuk kekerapan membuang air besar atau kejayaan rawatan.

Mungkin lebih kerap membuang air besar pada kanak-kanak yang dirawat dengan sediaan sinbiotik berbanding plasebo.

Mungkin tidak terdapat perbezaan dalam peserta yang menarik diri daripada kajian disebabkan oleh kejadian buruk apabila membandingkan sediaan probiotik dengan plasebo.

Kami tidak dapat membuat kesimpulan tentang keselamatan mana-mana perbandingan lain kerana sedikit orang yang menarik diri daripada kajian.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kanak-kanak sering mengalami sembelit untuk jangka masa yang lama, dan apabila tiada punca fizikal asas yang boleh ditemui kita memanggilnya 'sembelit berfungsi'.

Telah dicadangkan bahawa sediaan probiotik dan sinbiotik mungkin membantu memperbaiki gejala pada kanak-kanak ini. Probiotik adalah sediaan yang mengandungi bakteria hidup yang telah dicadangkan untuk memberi manfaat pada sistem pencernaan. Sinbiotik juga termasuk bahan makanan yang menyokong pertumbuhan bakteria ini.

Pada masa ini tiada konsensus mengenai sama ada ini berlaku, atau cara terbaik sediaan ini digunakan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) yang membandingkan sebarang rawatan probiotik atau sinbiotik dengan mana-mana rawatan lain (seperti rawatan dummy/plasebo) pada kanak-kanak yang mengalami sembelit kronik tanja penjelasan fizikal. Kami menemui 14 kajian yang melibatkan seramai 1127 peserta berusia di bawah 18 tahun. Kami membuat kesimpulan yang berikut.

• Mungkin tiada perbezaan dalam kejayaan rawatan apabila membandingkan probiotik dengan plasebo.
• Kami tidak dapat membuat kesimpulan sama ada terdapat perbezaan dalam kekerapan membuang air besar.
• Mungkin tiada perbezaan dalam kejayaan rawatan apabila membandingkan probiotik dan julap dengan julap sahaja.
• Kami tidak dapat membuat kesimpulan tentang kekerapan membuang air besar atau kejayaan rawatan.apabila membandingkan probiotik dengan magnesium oksida.
• Sinbiotik mungkin lebih baik daripada plasebo dalam meningkatkan kekerapan membuang air besar.
• Mungkin tiada perbezaan dalam bilangan orang yang menarik diri daripada kajian kerana kesan sampingan apabila membandingkan probiotik dengan plasebo, atau probiotik dan julap kepada julap sahaja.
• Kami mempunyai keyakinan yang terhad terhadap bukti kerana kajian hanya melibatkan sedikit kanak-kanak, dan kerana kekurangan perincian tentang beberapa kaedah yang digunakan.

Semua analisis adalah terhad disebabkan oleh perbezaan dalam probiotik tertentu atau rawatan yang dibandingkan dengannya, sedikit kanak-kanak yang dimasukkan dalam kajian dan, yang paling penting, penggunaan pelbagai ukuran kejayaan yang berbeza. Ini bermakna menggabungkan kajian adalah sukar, jadi keupayaan keseluruhan ulasan ini untuk menjawab soalan terasnya adalah terhad.

Apa selepas ini?

Kajian masa depan diperlukan untuk mengetahui betapa bergunanya probiotik untuk sembelit kanak-kanak. Penyelidik perlu bersetuju sama ada probiotik harus menjadi terapi pilihan pertama, tambahan kepada terapi lain, pilihan kedua selepas terapi lain gagal, atau gabungan semua di atas.

Penyelidikan masa depan harus mengukur item yang sama (dikenali sebagai set hasil teras) untuk memastikan keputusan ini boleh menyokong ulasan akan datang.

Adakah ulasan ini terkini?

Ulasan ini adalah terkini sehingga Jun 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wan Anisa Hanim Bt Mohd Nasir@Azman (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information